SERIAN, SARAWAK, 13 Mac 2016 – Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia (MyVOC) meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat melalui misi Pasca Banjir dengan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Tebakang Melayu pada 13 Mac 2016 di Masjid Darul Taqwa Tebakang Serian, Sarawak.
Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dengan kerjasama Kelab Rakan Kembara dan Kelab Belia Petrajaya ini merupakan program kedua MyVOC di Sarawak dalam bulan ini. Program ini dijayakan dengan penglibatan 15 orang sukarelawan dari Kelab Belia Petrajaya dan turut disertai dua orang pelancongan asing dari Poland yang bercuti di sini.
Sdr. Eric Choo, Naib Presiden MBM hadir menyampaikan simbolik sumbangan berupa barangan keperluan harian dan makanan kepada Pengerusi Masjid Darul Taqwa Tebakang, Encik Apandi Dan selain turut menyampaikan sumbangan di beberapa buah rumah terpilih.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan usaha kecil ini sebagai ‘semangat’ dan keprihatinan generasi muda untuk berbakti kepada masyarakat yang dilanda musibah seperti banjir khususnya melalui MyVOC.
Terdahulu, Encik Apandi Dan, Pengerusi Masjid Darul Taqwa Tebakang melahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas keprihatinan dan sumbangan yang diterima.
Sumbangan ini akan diagihkan kepada semua penduduk-penduduk yang terlibat. Beliau memaklumkan sebanyak 210 rumah penduduk terjejas dalam banjir besar kali kedua yang melanda Sarawak ini.
Turut serta dalam program ini ialah Sdr. Iszuan Haroni, Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) dan Pengerusi Kelab Belia Kg Tebakang Melayu, Sdr. Kamarul.