MAJLIS BELIA MALAYSIA

Misi Kemanusiaan Palu Bersama Exco MBM

Palu 15 Nov – Hari ini genap 5 hari saya turut serta dalam misi Psikososial oleh HELWA ABIM, Global Peace Mission dan Sinar Harian.

Bencana yang dikategorikan sebagai Tsunami, gempa bumi dan Likuafaksi ini memberikan gambaran yang sering kita lihat di kaca televisyen melalui filem-filem yang menjarah muka bumi.

Kesan bencana alam ini perlu dirawat lebih daripada luka kecederaan fizikal. Memandangkan ibu-ibu dan anak-anak yang melihat secara langsung dan terkesan dengan kejadian tersebut memerlukan bantuan pemulihan semangat dan psikososial.

Kami telah melaksanakan aktiviti bersama kanak-kanak di 4 lokasi tumpuan termasuk di dalam sekolah rendah yang melibatkan 300 orang pelajar sekitar umur 6 hingga 12 tahun.

Pelajar di Sekolah Dasar Negeri Tatura 2 ini masih enggan untuk mengikuti sesi pembelajaran di dalam bangunan memandangkan masih trauma dengan gempa dan kemungkinan gempa susulan. Mujur, para guru yang komited gigih mengajar meskipun di dalam khemah dengan cuaca yang terik dan murid yang ramai untuk diuruskan.

Antara dapatan utama yang saya fikir penting untuk dikongsikan dengan para belia di Malaysia adalah berkait keberanian dalam mengutip semangat dan menyalurkan kebaktian anak muda. Kumpulan kami disokong oleh anak muda seperti Abu dan Cici (Syerryl), dua anak muda Indonesia yang tampil membantu warganya sendiri.

Mereka punya seribu satu kemahuan dan keinginan sebagai anak muda untuk menggapai cita-cita, tetapi tetap juga memperuntukkan masa berbakti untuk mangsa yang terkesan.

Justeru, Saya menyeru kepada belia Malaysia agar celik dan cakna dengan isu semasa dan aktif dalam menghulur sumbangan dan bantuan di segenap peringkat. Marilah kita sama-sama doakan agar warga Palu yang kuat dan gagah ini terus bangkit dan melangkah tabah menuju masa depan yang lebih baik.

Atiqah Syairah Bt Shaharuddin

Exco Majlis Belia Malaysia
15 November 2018
@ Desa Sibalaya

 

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »