BEBERAPA hari lalu, penulis menerima e-mel daripada seorang pemimpin belia veteran yang mengadu mengenai sikap sesetengah pemimpin belia sekarang yang dikatakan besar kepala. Rupa-rupanya teguran tersebut lebih ditujukan kepada beberapa orang Ahli Parlimen Belia Malaysia (Percubaan) yang menurut beliau bersikap seolah-olah ‘lebih sudu daripada kuah’.
Pemimpin belia veteran yang sudah lama berkecimpung dalam aktiviti pertubuhan belia serta politik ini agak kesal kerana terdapat Ahli Parlimen Belia yang terlalu ghairah menjaja ‘title’ Yang Berhormat ini hingga menimbulkan kekeliruan sesetengah pihak di kawasan berkaitan.
Dikatakan juga ia mengundang rasa gusar Yang Berhormat Ahli Parlimen sebenar di kawasan terbabit. Namun begitu pemimpin belia veteran ini amat menyokong serta mengalu-alukan penubuhan Parlimen Belia Malaysia sebagai bukti pengiktirafan kerajaan terhadap peranan serta bakat golongan belia di negara ini.
Penulis sempat menjawab e-mel beliau dan menerangkan bahawa mereka adalah kelompok terpilih dalam status percubaan. Pihak Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Belia Malaysia (MBM) sedang meneliti lebih mendalam mengenai kaedah pelaksanaan serta pemilihan Ahli Parlimen Belia akan datang.
Penulis berharap rakan Ahli Parlimen Belia di luar sana dapat mengambil iktibar daripada teguran ini demi menjaga imej serta sikap masing-masing. Seingat penulis, perkara berkaitan sikap serta tingkah laku yang sepatutnya ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Belia sudah dinyatakan secara jelas sewaktu sesi bengkel kira-kira tiga bulan lalu.
Penulis berharap tiada kejadian pemimpin muda kita ini yang bersikap sombong dan besar kepala hanya selepas menerima Ahli Parlimen Belia Malaysia (Percubaan). Kalau sekadar bersikap sedikit teruja dan seronok masih boleh difahami dan diterima. Mungkin mereka juga terbawa-bawa dengan keterujaan masyarakat kita yang juga amat berminat dengan cerita perkembangan Pilihan Raya Umum Ke-13 dan jangkaan senarai Ahli Yang Berhormat yang mungkin terpilih.
Justeru, masyarakat juga diminta melihat hal seperti ini dengan penuh pemahaman dan jangan pula isu ini diperbesarkan. Parlimen Belia adalah platform untuk pemimpin muda memahami proses menggubal rang undang-undang negara ini.
Kita mahu pemimpin belia menjadi kelompok pemimpin matang yang mengutamakan negara dan rakyat, bukan sekadar hebat berjuang berdasarkan ketaksuban terhadap parti atau pemimpin tertentu.
Sikap besar kepala ada kaitan dengan sifat sombong atau ‘arrogant’. Menurut kamus Wikipedia, sifat sombong ini merujuk kepada individu yang sentiasa berperasaan bangga terhadap dirinya sendiri sehingga terbawa-bawa dalam setiap tingkah laku dan perbuatannya.
Maknanya kita tidak dapat lari daripada bertembung dengan individu yang memiliki ciri sedemikian kerana sifat bangga diri adalah sebahagian daripada lumrah seseorang manusia.
Pokok persoalannya ialah sejauh manakah seseorang itu dapat mengawal perasaan dalamannya agar tidak terserlah dalam perbuatan serta percakapan sehingga mengundang imej negatif kepada dirinya.
Sebenarnya sikap besar kepala ini bukanlah hanya berlaku kepada orang muda semata-mata. Ia turut terjadi kepada ahli sukan, penjawat awam, ahli politik, malah bijak pandai akademik serta agama.
Seseorang individu yang memiliki sikap besar kepala ini amat mudah dikesan apabila membuat permintaan berlebih-lebihan berbanding keupayaan atau kelayakan dibenarkan. Percakapannya juga sentiasa meninggi dan tidak mahu mengalah dalam setiap perbincangan. Ia juga sentiasa ingin dilayan penuh istimewa dan mahu kelihatan penting di hadapan semua orang. Pencapaian kecil dirinya sering diperbesar-besarkan sehingga menutupi pencapaian orang lain.
Bagi seorang pelajar, sikap besar kepala akan menyebabkan seseorang berasakan cukup bijak dan sewenang-wenangnya melihat orang lain sebagai bodoh atau tidak berilmu.
Ia akan terbuai dek pencapaian yang masih sedikit sedangkan hakikatnya ruang untuk terus meneroka ilmu baru kini sudah tertutup ekoran sikap buruk sendiri.
Guru dan rakan akan keberatan menegur kesilapan atau berkongsi pengetahuan baru. Akhirnya ia akan hanyut dengan ilmu segenggam bagi menggalas segunung cabaran hidup.
Bagi seseorang pemimpin sedang berkuasa, sikap besar kepala dan sombong juga mampu menjejaskan kewibawaan dan imej diri. Selalunya mereka juga insan yang jujur dan bersederhana.
Kedudukan serta kuasa yang dimiliki adalah mandat diperoleh daripada prestasi cemerlang terhadap tugas dan masyarakat. Namun, terdapat pemimpin yang berasa semakin selesa dengan kuasa dan jawatan sehingga ia dianggap suatu keistimewaan yang harus dimiliki secara kekal.
Maka ia akan sentiasa berasa bimbang akan kehilangan keistimewaan itu. Maka, bermulalah episod hitam dalam dirinya. Ia akan sanggup berbuat apa saja untuk mengekalkan kedudukan sama ada dengan cara menabur fitnah kepada individu lain yang dianggap pesaing atau lebih buruk lagi membuat serangan dan gangguan fizikal.
Malah, ada yang terdesak sehingga menggunakan khidmat bomoh dan percaya kepada sihir serta khurafat.
Tanpa beliau sedari imej dirinya semakin merudum dan tumpuan terhadap tugas secara tulus juga terjejas, rakan dan sahabat sentiasa dicurigai. Apatah lagi jika terdapat kehadiran orang atau bakat baru pasti saja akan dianggap musuh yang mampu mengancam kedudukan diri.
Sedangkan beliau lupa bahawa pencapaian hebat dirinya sekarang juga adalah dengan ihsan serta sokongan pemimpin masa lalu yang bersedia memberikan laluan untuknya mendaki puncak kejayaan.
Kesannya, proses melahirkan pemimpin dan kepemimpinan akan terjejas kerana tiada lagi bakat baru yang mampu meneruskan legasi perjuangan parti atau organisasi.
Dalam konteks perjuangan belia di Malaysia, adalah amat penting bagi kita semua memiliki sifat kesederhanaan tinggi. Sifat dan pemikiran wassatiyah ini menjanjikan kita menjadi pemimpin matang dan sentiasa bersikap terbuka sama ada semasa menerima pujian atau teguran.
Dalam Islam sendiri digariskan dengan jelas agar setiap insan apatah lagi seorang pemimpin bersikap sederhana, merendah diri dan bertakwa.
Kita harus memahami firman Allah yang dinyatakan dalam Surah Luqman ayat 18 bermaksud: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM