Oleh :
Jufitri Bin Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia
MESYUARAT Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) kali ke-71 Majlis Belia Malaysia (MBM) hampir menjengah. Kurang daripada dua minggu, MBM akan memilih kepimpinan baharu berdepan dengan lembaran baru sejarah payung gerakan belia sebelum peralihan had umur di bawah 30 tahun.
Calon-calon badan gabungan yang berhasrat bertanding sudah mula bergerak berkempen membentuk blok kerjasama dan berkongsi manifesto mereka kepada badan gabungan dan perwakilan. Suhu semakin bertambah tinggi apabila semakin ramai yang menawarkan diri bertanding kerusi nombor satu MBM yang bakal penulis tinggalkan.
Tradisi merapati badan-badan gabungan mesti diteruskan bukan hanya sewaktu pemilihan tetapi berterusan hatta di waktu bukan musim pemilihan kerana tujuan penggabungan ke dalam MBM adalah bagi tujuan saling kenal-mengenal, menggalakkan kerjasama rentas gabungan dalam pelbagai arena sekaligus membawa mesej perpaduan dan integrasi nasional yang menjadi asas kepada kekuatan negara bangsa.
Ini juga merupakan sebahagian latihan dan persiapan sebelum menjadi wakil rakyat sebenar yang berjumpa pengundi bukan hanya pada waktu pilihan raya tetapi sentiasa berjumpa dan membantu pengundi. MBM memang terkenal sebagai wadah latihan kepada bakal kepimpinan politik dan kepimpinan negara.
Kepada calon-calon yang bertanding perlu betul-betul bertanyakan diri sendiri sebab mereka ingin bertanding. Adakah kerana perjuangan atau perdagangan? Adakah kerana ingin aktif menyumbang atau sekadar menambah koleksi jawatan untuk dipamerkan sewaktu kad hari raya dihantar? Terbukti apabila anda terlalu banyak jawatan dalam pelbagai organisasi anda tidak akan mampu fokus menggalas tugasan besar di MBM. Justeru itu nasihat penulis, yang sudah punyai jawatan banyak dan besar mesti berfikir semasak-masaknya jika ingin meneruskan hasrat bertanding di MBM atau anda kena kurangkan jawatan anda. Jangan ikutkan nafsu untuk membolot semua jawatan, berilah peluang kepada yang lain yang berkelayakan.
Adakah ingin menambah nilai kepada MBM atau menjadi liabiliti yang menyukarkan MBM. Persoalan mengapa ini yang perlu ditanyakan bagi mencari makna dan hakikat sebenar kepada kehidupan dan perjuangan sekaligus MBM akan benar-benar dapat manfaat daripada keberadaan kita dalam saf kepimpinan. Bila anda faham makna anda bertanding untuk menjadi Exco MBM maka anda jelas matlamat anda untuk memimpin dan menyumbang sepenuh jiwa dan raga.
Tugasan MBM memang sangat berat kecuali ada orang menganggapnya ringan dan mudah. Harapan belia dan rakyat terhadap MBM sangat tinggi kecuali anda menganggapnya mudah persis menghalau lalat yang hinggap di hidung.
Keberadaan anda seramai 29 Exco di MBM perlu sangat-sangat dirasai kehadiran dan kadar kenampakan (visibility) sebagai suara rasmi belia negara di pelbagai arena yang memerlukan kehadiran MBM sama ada di lapangan, media, medium pembuatan dasar atau di organisasi. Jangan pula lepas menang terus lesap dan hanya tahu menerima elaun mesyuarat sahaja. Memimpin MBM perlu ketahanan kerana jika anda lemah dan tidak fit anda akan gugur dan meletak jawatan di tengah-tengah perjalanan. Ini sangat-sangat menghabiskan beras MBM! Anda perlu menjiwai MBM dan membawa panji-panji bendera MBM sepenuh hati bukannya berbelah bagi dan kesetiaan.
Menjadi pemimpin MBM secara jujur tidaklah mudah. Anda mesti memberikan masa dan keutamaan terbaik kepada MBM. Anda mesti kreatif dan inovatif kerana sumber dan jaringan kepintaran MBM sangat banyak dan luas. Anda mesti jujur dan ikhlas berkhidmat kerana nama baik dan imej MBM sangat monumental di persada pentas pembinaan negara bangsa. Anda mesti cekap dan agresif kerana anda menyantuni kerencaman dan kemajmukan belia yang bersifat heterogen. Anda mesti menjadi pemandu dan bukannya penumpang yang menambah beban MBM. Anda mesti berani mempertahankan prinsip, mendahulukan kepentingan awam melebihi kepentingan diri sendiri.
Justeru secara ringkas anda mesti kompeten, credible, capable, available, ada kapasiti dan agresif bagi menghadapi tantangan yang semakin mencabar. Di pundak anda tergantungnya harapan hampir 15 juta anak muda Malaysia yang pastinya mahukan suara, isu dan keluhan mereka ditangani sebaiknya. Anda menggalas amanah menjambatani anak muda dengan aparat pemerintah. Anda mesti rajin bergelumang dengan permasalahan belia dan rakyat bukannya hanya syok menghadiri majlis bersama pembesar negara semata-mata. Anda mesti kelihatan marhaen namun tidak pulak kekok untuk duduk bersama pemuka-pemuka negara.
Kepimpinan MBM yang baharu mesti seimbang daripada segi komposisi kaum, gender, kedudukan geografi, fahaman politik dan aliran pemikiran. Jangan dilupakan juga wakil belia Orang Asli dan belia OKU. Wakil belia borneo perlu diberikan ruang yang lebih. Persoalan tempat tinggal bukannya isu utama kerana ada Exco yang duduk dekat dengan MBM tetapi bila tiada jiwa dan kebersamaan maka dia takkan menyumbang pun secara efektif tapi mungkin Exco itu duduk di Sabah tapi kerana jiwanya hidup bersama MBM, maka dia sanggup berkorban datang secara kerap untuk menyumbang. Dalam dunia digital jarak bukan lagi masalah utama kerana adanya aktivisme digital dan kerja belia digital namun perlu diingatkan keperluan kehadiran dan keberadaan Exco secara fizikal dalam mesyuarat harian dalam pelbagai jemputan mewakili MBM sangat-sangat diperlukan. Jangan biarkan muka yang sama Presiden dan Setiausaha Agung yang kepenatan menghadiri semua mesyuarat sedangkan apa guna Exco yang ramai?
Tidak dinafikan nadi kepada sesebuah organisasi adalah gandingan Presiden dan Setiausaha Agungnya. Justeru sangat crucial untuk perwakilan memilih calon dan gandingan yang paling bagus. Sepatutnya secara idealnya Setiausaha Agung dilantik bukan secara bertanding bagi memastikan kesetiaan dan kecekapan dia membantu Presiden namun di MBM Setiausaha Agung adalah jawatan bertanding.
Presiden merupakan imej kepada MBM. Ia berperanan mengemudi MBM dengan membina jaringan dan memfokuskan kepada polisi dan advokasi. Dia umpama pemandu utama yang memandu menentukan hala tuju dan arah pemanduan organisasi. Setiausaha dan Penolong Setiausaha Agung merupakan lokomotif utama organisasi yang membantu pemandu. Dia mesti agresif dan bekerja dua kali ganda lebih daripada Presiden bagi mengurus organisasi dengan baik.
Setiausaha juga penulis umpamakan seperti pemain tengah ibarat Lionel Messi yang bertindak mengumpan dan mencipta peluang untuk penyerang iaitu Presiden menjaringkan gol. Pemain atau perancang tengah organisasi mesti agresif, kreatif, strategik, sistematik, kerja keras dan rajin. Jangan biarkan penyerang terpaksa turun ke bawah mencari sendiri bola sehingga memenatkan penyerang kerana ketidakcekapan perancang tengah bahkan lebih teruk jika penyerang sendiri yang mendapatkan bola untuk perancang tengah. Penyerang juga tidak boleh terlalu selesa banyak curi ayam sehingga malas untuk turun sekali sekali ke bawah membantu pertahanan dan pemain tengah, hanya tahu marah-marah tetapi tidak tahu membantu yang di bawah.
Setiausaha Agung dalam banyak hal merupakan lokomotif utama organisasi. Dia mesti pandai mengatur organisasi. Ada power of command kepada staf dan Exco. Kreatif mencari duit dan bukan hanya menunggu duit gugur dari langit. Ia merupakan perancang strategik dan bukannya yang hanya menurut arahan dan hanya bersifat executor. Dia juga kreatif menyusun almanak tahunan dan melaporkan secara bertulis dalam laporan tahunan yang disiarkan kepada masyarakat awam. Pokoknya dia adalah nadi utama organisasi.
Jawatan-jawatan lain dalam pengurusan juga penting seperti Timbalan dan Naib-Naib yang sewajarnya sentiasa available untuk membantu Presiden. Timbalan dan Naib seumpama sayap kanan dan sayap kiri kepada Presiden yang bersedia menyerang dan sama-sama menghasilkan gol. Ketua Penerangan dan Bendahari juga tidak kurang pentingnya dalam menyusun gerak kerja penerangan, propaganda dan cybertrooper dan menguruskan kewangan serta penjanaannya demi kelangsungan MBM. Exco-Exco juga membantu rapat dengan menggerakkan biro-biro masing-masing secara berterusan dan melatih bakat-bakat baru sebagai anggota jawatankuasa.
Bersempena MPAT MBM ke-71, ruang dan peluang yang lebih akan diberikan kepada calon-calon memperkenalkan diri, menawarkan kelebihan diri dan membentangkan manifesto agar perwakilan dapat memilih secara well-informed bukan sekadar mengikut chai atau sentimen tanpa terlebih dahulu mengenal calon-calon. Debat calon Presiden akan diusahakan bagi memberikan ruang yang luas kepada bakal Presiden membentangkan visi dan misinya.
Memang setiap badan gabungan mengimpikan wakil-wakil mereka terpilih dalam saf kepimpinan MBM namun tempat terhad hanya 29 Exco. Badan gabungan perlu berfikiran rasional dengan memikirkan untuk menetapkan kriteria pemilihan utama kepada calon yang layak dan berkredibiliti dahulu sebelum memikirkan keperluan kepada keseimbangan perwakilan badan gabungan. Ia bagi memastikan bakat-bakat terbaik yang memimpin MBM.
Jika sentimen baju badan gabungan melebihi kriteria bakat maka akan ternafi hak MBM untuk dipimpin oleh bakat-bakat terbaik. Penulis tegas akan hal ini dengan menyatakan jika calon tersebut hatta datang daripada badan gabungan penulis sendiri tetapi tidak berkemampuan maka penulis sendiri tidak akan sama sekali menyokong calon tersebut demi kebaikan MBM. Bakat yang dipertahankan bukannya kepuakan yang sempit.
Bagi yang bertanding sebagai pemegang jawatan semasa atau incumbent, mesti menilai prestasi lepas adakah dia masih perlu kekal atau memberikan peluang dan laluan kepada yang lebih layak dan mampu. Jika dia membuat keputusan untuk kekal, maka perlu dipertanyakan sama ada dia layak berada di posisi semasa atau perlu berpindah ke posisi lain yang membolehkan dia berperanan dengan lebih efektif, tepuk dada tanya iman dan selera. Bagi para, perwakilan pilihlah bakal Exco yang terbukti kemampuannya dan yang dilihat mampu berkhidmat kepada MBM dan belia.
Penulis berharap lebih ramai Exco di bawah 30 tahun atau yang lebih muda diberikan ruang bagi memastikan transisi had umur berjalan lebih lancar selepas pewartaan pindaan had umur 2019.
Penulis menulis ini berdasarkan pengalaman sepanjang 20 tahun lebih dalam gerakan belia dan hanya mahu melihat MBM dipimpin oleh pemimpin belia yang benar-benar layak dan menumpahkan sepenuh dedikasi untuk berkhidmat dan berjuang untuk MBM, belia dan negara. Jika semua Exco berfungsi dengan baik dan tidak mandul di tengah jalan, MBM akan maju jauh kehadapan InsyAllah dan kebaikannya adalah kepada belia, rakyat dan negara. Itulah makna kepada kepimpinan MBM iaitu berjuang untuk nusa bangsa!
Kepada perwakilan, selamat memilih pemimpin terbaik MBM!
Bertarikh : 25 Februari 2022