Oleh :
Sdr. Jufitri Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
Tulisan ini adalah respon kepada saranan dan cabaran yang dilontarkan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) oleh Profesor Dr. Haslinda Abdullah bertajuk “Kepimpinan Wanita, Di mana Ruang dan Peluang?”
Dalam makalah tersebut Profesor Haslinda menyorot senario, cabaran dan dilemma kepimpinan dan bakat tenaga mahir wanita yang memerlukan tindakan dan santunan daripada pelbagai pihak.
Antara medium penting yang dipetik Profesor Haslinda secara jelas bagi membidani permasalahan kepimpinan pelapis wanita untuk masa depan negara ini adalah MBM. Beliau menegaskan bahawa MBM adalah platform terbaik untuk mengenengahkan kepimpinan belia wanita sebagai pelapis kepada kepimpinan wanita negara.
MBM sudah pun mula menyahut cabaran dengan membariskan tujuh Exco wanitanya pelbagai kaum pada sesi 2018-2020 dan 2020-2022 buat julung-julung kali dalam sejarah pergerakan belia itu bahkan dua daripada mereka berada di pengurusan kanan. Tidak dinafikan bahawa penguasaan kaum Adam mendominasi kepimpinan MBM semenjak 1948. Belum ada lagi seorang pun beliawanis yang berjaya menawan puncak kerusi nombor satu MBM sepanjang 22 set Presiden MBM hatta MBM masih belum memperolehi Timbalan Presiden mahupun Setiausaha Agung dalam kalangan beliawanis. Namun begitu, MBM boleh berbangga kerana mempunyai Rohani Abu Hassan sebagai Pengerusi Tetap wanita pertama suatu ketika dahulu. Ianya sudah tentu tidak mencukupi.
Ketujuh-tujuh Exco wanita MBM itu bukan sekadar menjadi hiasan di papan kepimpinan MBM, namun mereka terbukti memiliki kekuatan dan kualiti yang tersendiri bahkan sesetengahnya lebih berkualiti daripada Exco lelaki. Mereka juga membentuk Jawatankuasa (JK) Wanita MBM yang aktif dengan pelbagai aktiviti dan advokasi. Jika tidak dek kerana pandemik, Jawarankuasa Wanita MBM mungkin boleh terus dipacu kehadapan membentuk pentas yang lebih besar iaitu Majlis Wanita MBM. Mereka juga diberikan peluang menggalas tugasan besar seperti mewakili MBM menjadi Exco Majlis Aids Malaysia dan menghadiri persidangan belia mengenai krisis alam sekitar di United Nations (UN) yang turut dihadiri Greta Thunberg, aktivis cilik alam sekitar Sweden.
MBM melalui Presidennya sentiasa prihatin dengan kepimpinan beliawanis dalam MBM dan gabungannya sementelah sentiasa memperingatkan betapa pentingya beliawanis diberikan lebih ruang dalam kepimpinan tertinggi MBM. Pemilihan MBM dalam Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) MBM ke-71 yang bakal berlangsung Mac 2022 ini, wajar mempertimbangkan dengan lebih serius dan lebih ramai calon beliawanis bawah 30 tahun yang berbakat oleh badan-badan gabungan yang berhasrat menduduki kerusi MBM.
Tidak cukup hanya menempatkan mereka dalam bangku kepimpinan MBM, satu pelan strategik, pelan career pathway dan pelan sokongan ekosistem bagi memastikan mereka tidak terhenti sekadar di MBM tetapi dilonjakkan sehingga menjadi ahli legislatif, pembuat dasar dan ahli kabinet kerana MBM adalah inkubator yang sinonim melahirkan kepimpinan negara.
Sistem latihan dan modul khas kepimpinan beliawanis harus dirangka dalam MBM bagi meletakkan agenda kepimpinan beliawanis sebagai agenda utama. Penulis pernah beberapa kali menjadi juri pemilihan Tokoh Belia Negara dan selalu bersimpati dengan calon tokoh wanita kerana mereka boleh pergi lebih jauh jika ada sistem latihan yang betul, pendedahan yang luas dan paling penting sistem dokongan daripada ahli keluarga khususnya suami. Kerana kekangan ini ramai tokoh-tokoh beliawanis sebenarnya mampu mendapat skor markah yang tertinggi dan pergi lebih jauh tetapi ternafi. Penulis sendiri pernah mencadangkan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melihat serius akan hal ini dengan membentuk modul kepimpinan beliawanis yang kontemporari dan kompetatif tatkala KBS suatu ketika berbangga dengan Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara adalah wanita. Modul ini juga boleh ditangani dengan kerjasama Profesor Haslinda yang sedang memimpin Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM yang terkenal dengan makmal penyelidikan isu belia.
Semenjak dahulu lagi, penulis bukan hanya mendidik bakat-bakat belia tetapi juga sentiasa mencari-mencari bahkan tercari-cari bakat beliawanis untuk dilatih, digilap dan diberikan peluang memimpin dan menjadi individu yang berjaya di pelbagai lapangan. Dalam ucapan pengisian sempena Muktamar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Tampin pada 12 Februari 2022 turut sekali lagi menekankan kepimpinan beliawanis atau Helwa (Hal Ehwal Wanita) ABIM diberikan penekanan dan penghakupayaan berterusan.
Keyakinan dan pendirian penulis sebagai Presiden MBM tentang kepimpinan wanita konsisten semenjak dahulu bahkan ianya bukan hanya dipraktiskan di MBM tetapi di rumah. Dibesarkan sebagai anak lelaki tunggal dalam 4 orang adik beradik sedikit sebanyak menyumbang kepada keyakinan ini. Ia juga ditambah dengan tiga puteri yang dimiliki oleh penulis menambahkan lagi keyakinan dan dokongan ini. Mereka terkadang mengadu peluang kepimpinan dan pendedahan yang tidak sama diberikan kepada mereka hanya kerana mereka adalah perempuan.
Acapkali penulis membawa ketiga-tiga puteri sejak kecil ke majlis-majlis dan program-program yang dihadiri penulis atas kapasiti sebagai pemimpin MBM termasuk Presiden MBM. Ia sebagai latihan dan pendedahan kepimpinan kepada ketiga-tiga puteri tersebut di samping membentuk bonding ayah-anak tatkala kesibukan ayahnya sebagai pemimpin dan masa yang sangat terbatas. Ia juga memberi ruang dan peluang kepada isteri penulis melakukan aktiviti kegemarannya dan menghadiri kursus-kursus peningkatan kualiti diri atau dalam erti kata lain sebagai pendayaupayaan kepada kepimpinan dan akademik isteri. Senario yang agak ‘rare’ apabila Presiden MBM membawa bersama-sama ketiga-tiga puterinya ke majlis-majlis besar namun ianya sebagai pendedahan dan tanggungjawab menjaga anak untuk memberikan peluang dan fokus pada isteri pula beraktiviti dan menjalankan tugasannya dengan baik.
Hadith (Sahih, Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim) Baginda ﷺ tentang kelebihan memiliki tiga puteri yang diasuh sebaiknya sebagai tiket ke syurga sentiasa menjadi inspirasi kepada penulis. Walaupun sibuk, penulis sentiasa memberikan masa berkualiti kepada ketiga-tiga kerana peranan dan sentuhan ayah sangat signifikan kepada anak-anak perempuan. Penulis juga sentiasa mengasah bakat kepimpinan mereka dengan memberikan kata-kata semangat termasuk meyakinkan mereka mampu menjadi Presiden MBM wanita pertama mengikuti jejak langkah ayahandanya. Ia persis seperti Sultan Muhammad al-Fatih yang diberikan keyakinan berulang kali semenjak kecil bahawa dialah individu yang dimaksudkan oleh hadis Nabi ﷺ yang bakal memimpin pembukaan kota Istanbul. Ternyata ianya berhasil menanam keyakinan Sultan Muhammad al-Fatih.
Qudwah yang baik ini diharap menjadi ikutan kepada pemimpin-pemimpin belia yang lain. Sebagai sokongan dan mewujudkan ekosistem kepada isteri, penulis turut membantu melunaskan kerja-kerja rumah seperti menyidai kain dan menghantar anak ke sekolah setiap hari walaupun berhadapan jadual harian yang padat, tekanan dan kepenatan. Penulis juga melakukan kerja-kerja rumah berkaitan keperluan diri seperti membuat air, menggosok baju dan menjahit baju sendiri (cuma jangan suruh memasak sahaja kerana ia kelemahan penulis) kerana ini merupakan sunnah Nabi ﷺ. Walaupun Baginda ﷺ sibuk sebagai pemimpin agung namun ia tidak menghalang untuk melakukan sendiri kerja-kerja rumah. Alangkah indahnya rumahtangga jika akhlak ini dipanuti oleh para suami bagi menghakupayakan isteri dan wanita.
Penulis sangat berharap kepimpinan baharu MBM Mac 2022 ini akan terus membawa agenda kepimpinan beliawanis ini sebagai satu agenda tersangat penting MBM dan pembangunan belia.
Selamat bertanding dan selamat memilih!
Bertarikh : 14 Februari 2022