MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belasungkawa atas Pemergian Pemimpin Belia Berjiwa Hidup – Mohd Azmir Zainal Abidin

Oleh :

Muhamad Hanapi Jamaludin

Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia

Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia

Belasungkawa atas Pemergian Pemimpin Belia Berjiwa Hidup – Saudara Mohd Azmir Zainal Abidin

کُلُّ نَفۡسٍ ذَآئِقَۃُ الۡمَوۡتِ ؕ

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati”

Pergerakan belia di Malaysia menerima kejutan berita kepergian Sdr Azmir Zainal Abidin, Pengerusi Tetap Gerakan Belia 4B Malaysia pulang ke Rahmatullah pada 20 Oktober 2021. Seorang yang dikenali baik budi bahasanya, rendah diri dan tutur kata tertib.

Kami secara peribadi hanyalah baru kenal dengan Abang Azmir – nama yang penulis menyapa beliau pada awal Mac 2021 ketika menyertai lawatan Presiden MBM, Sdr Jufitri Joha ke Mersing. Bersama dalam rombongan kami Sdr. Farhan Rosli, Presiden PKPIM. Arwah Abang Azmir merupakan Pengerusi MBD Mersing menyantuni kami sejak daripada petang hingga ke tengah malam. Bermula daripada sembang minum petang Presiden MBM bersama pimpinan belia Mersing yang turut disertai ketika itu Tuan Haji Md. Salleheen Mohamad , Presiden Majlis Belia Negeri Johor.

Berhenti sebentar untuk solat maghrib, kami dibawa melawat ke Pusat Belia Mersing berlokasi di pinggir pantai yang dalam keadaan terbengkalai. Sempatlah mendengar iltizam beliau untuk mengambil alih semula wisma berkenaan, dimajukan dan dijadikan sebagai Pusat Belia Profesional seperti mana syor Presiden MBM. Diskusi bersambung di meja makan, maudhuk tentang ehwal nilai, perjuangan, kemandirian persatuan belia, keterangkuman serta isu-isu semasa MBM dan belia setempat menjadi tema. Beliau nampaknya mendengar dan berkongsi pandangan dengan penuh minat dan perhatian. Demikian berakhir sehinggalah jam 12 tengah malam sebelum kami bersiap meneruskan musafir ke Nilai, Bangi dan Saudara Farhan Rosli meneruskan pulang ke Kuala Lumpur.

Selepas perkenalan berkenaan, saya dan Abg Azmir agak kerap bertalian. Mungkin kami berada dalam organisasi yang sama GB4BM (Penulis baru ditaklifkan sebagai Ketua Penerangan 4B pada ketika itu). Entah beberapa kali beliau menelefon saya bertanya tentang beberapa soal berbangkit mengenai hantaran FB saya untuk mendapatkan penjelasan, dengan penuh perhatian dan mahu belajar sesuatu. Saya bukanlah orang yang tepat bahkan jauh daripada selayaknya untuk ditanyai. Tambahan berhadapan orang yang santun dan merendah diri seperti beliau lebihlah saya segani. Seringlah mengakhiri perbualan Abg Azmir akan meninggalkan pesan, teruskan dengan apa yang mahu diperjuangkan, beliau sokong lalu saya mohonkan doa juga.

Bermula beberapa minggu sebelum MPAT GB4BM pada 16 Oktober lepas beliau kerap menelefon memohon saya mohon bantuan mendrafkan usul untuk dibawa dan dibentangkan dalam MPAT. Saya agak lambat, kekangan banyaknya kerja-kerja tiada berperhentian jadikan lewat memberikan respon. Ada kesempatan saya menelefon beliau, untuk berbincang dan mengartikulasikan hasrat yang dimahukan. Sehingga minit terakhir sebelum mesyuarat pra-majlis (pre-council) Majlis Kerja Tertinggi 4B berlangsung pada 15 Oktober 2021, beliau masih cuba hubungi disebabkan ada arahan dan kesepakatan terbaru agar usul berkenaan tidak dibentangkan. Beliau telefon pada waktu maghrib dan menyusun maaf agak berkali, saya pula tiadalah rasa kesulitan bila dihubungi pada bila-bila waktu tambah kepada orang yang disenangi sebagai beliau. Begitulah interaksi terakhir sebelum sehari dua selepas MPAT saya mendengar berita beliau dikejarkan ke hospital akibat pendarahan otak, kemudian ditidurkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

20 Oktober 2021 ketika penulis bersama Sdr Fahami Ashraf, Pemangku Presiden GB4BM, Presiden MBN Perak, Sdr Aswanuddin Harifuddin dan Sdr Jufitri Joha, Presiden MBM sedang minum petang sambil menentangkan pandang menghadap hujan lebat bercurahan di Shah Alam kami dikejutkan panggilan telefon yang diterima Sdr Fahami mengenai kepergian selamanya Abg Azmir. Berkocaklah emosi dan ingatan, terasa sayu dan hiba mengenangkan. Kami memutuskan untuk bertolak ke Mersing pada petang itu juga, namun disebabkan beberapa kekangan saya dan Saudara Jufitri tidak dapat meneruskan perjalanan. Kami memutuskan untuk bertolak ke Johor Bharu keesokannya.

Dalam perjalanan berselang selilah cerita tentang sikap ramah dan santun beliau yang terdengar di sana sini. Tiba di sana kami disambut Sdr Sidek Roslan, Pengerusi Majlis Belia Daerah Johor Bahru serta sama-sama menziarah ke tanah perkuburan Bukit Alif, Skudai. Ketika itu di pertengahan talkin dibacakan. Masih ramai kerabat dan saudara. Maka, sempatlah kami mendatangi ayahanda beliau, Dato’ Zainal Abdin menyampaikan ucapan takziah. Ramai sahabat dan taulan beliau yang berada di tanah perkuburan. Antaranya yang sempat kami temui ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Sdr.  Khaizul Nizam Mohamad Zuldin  dan Ketua Pemuda UMNO JohorHairi Md Shah serta sudah tentu lebih ramai lagi yang telah datang lebih awal atau selepasnya yang tidak sempat kami temui semata-mata memberi penghormatan terakhir kepada Abang Azmir.

Usai pelayatan, kami menuju ke pejabat ABIM Johor di Bandar Baru Uda. Sambil melawat bangunan berkenaan masih lagi sambung bersambung cerita mengenai Abang Azmir. Daripada Sdr. Sidek, kami mendengar perihal keseriusan beliau untuk membangunkan belia, mempelawa ABIM dengan besar hatinya membuka cawangan di Mersing, sering beliau mencontohi gerakan dakwah itu yang memiliki kemandirian dan budaya ilmu yang unik. Demikian peribadi beliau yang tidak memandang belia berdasarkan segmen dan sentimen. Semuanya dirangkul demi membangunkan anak muda tanpa ada tercicir.

Segala kebaikan beliau akan dikenang. Dengan iringan doa, semoga sejahteralah ruhnya di alam sana. Seluruh keluarga Gerakan Belia 4B Malaysia tentu sekali terasa kehilangan, hangat dan mesra beliau sapa menyapa. Juga sudah tentulah keluarga belia Malaysia juga merasa kehilangan seorang yang jujur dan bersemangat membina belia yang berjiwa hidup. Penulis sudahi dengan memetik hantaran Sdr. Mohd Shahril Mazuki sahabat penulis di Mukabuku (FB) beliau juga merupakan Pengerusi 4B Terengganu perihal Abang Azmir –  “Orang yang baik wajar dikenang, orang yang baik harus didoakan, & orang yang baik akan kekal dalam ingatan.” 

Teringat penulis akan kata-kata bahawa “Payah untuk dapat mengenyangkan segala hati manusia dengan hidangan harta dan wang, hanya dengan akhlak mulia, jika tidak segala, semua jiwa pasti akan merasa kenyang”. 

Tugas kitalah meneladani kebaikan beliau serta menyambung hajatnya yang ditangguhkan Allah untuk membangunkan belia dengan penuh jiwa tanpa sengketa tanpa prasangka serta dengan seikhlasnya.

Semoga Allah mengampuni dan memberikan ganjaran syurga tertinggi buatmu saudaraku.

al-Fatihah

Bertarikh : 22 Oktober 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »