Hati emas warga Malaysia terserlah lagi. Sumbangan untuk mangsa banjir datang mencurah-curah jauh lebih lebat dari curahan air hujan yang membanjiri sungai dan lembah yang dinaiki air baru-baru ini. Pelbagai sumbangan berbentuk wang tunai mahu pun barangan, dihulurkan setulusnya oleh rakyat Malaysia. Ada yang unik seperti sambal ikan bilis untuk para petugas hospital, sumbangan pengangkutan juga khidmat memasak makanan di lapangan turut ditawarkan.
Sumbangan-sumbangan ini paling tidak menterjemah luahan perasaan warganegara sebagai tanda perkongsian derita dan kesedihan; tanda kebersamaan masyarakat yang turut berkongsi denyut nadi Umat. Pasti ada beberapa persoalan yang timbul lewat pengurusan sumbangan. Antaranya letika ada pihak yang memilih untuk menerima sesetengah jenis barangan sahaja dan menolak yang lain sehinggalah kepada senarai barangan keperluan yang sering berubah-ubah dari semasa ke semasa.
Bagi sebahagian dari kita yang pernah berhadapan bencana banjir mungkin tidak begitu sukar untuk memahami situasi ini. Begitu juga dengan mereka yang pernah menghantar bantuan banjir. Berikut mungkin membantu kita memahami situasi lapangan dan pengurusan ketika menghadapi musibah bencana banjir. Apabila banjir melanda, kesan kerosakan banyak ditentukan oleh jumlah atau paras air, tempoh atau masa banjir melanda dan luas kawasan yang diliputi air.
Pada ketika tempoh paras air meningkat, kewajaran berpindah dan usaha memindahkan pendudukn dilakukan dengan membuka pusat-pusat penempatan sementara. Ketika inilah bermula perjalanan pengurusan bantuan banjir dicakna oleh badan-badan sukarela seperti NGO dan sebagainya. Antara lain usaha mengenalpasti jumlah dan penempatan-penempatan sementara, jumlah besar magsa yang dipindahkan, keperluan-keperluan segera dan terkini selain terdesak dan pembukaan bilik-bilik operasi bantuan banjir yang dibuka 24 jam pada hari- hari awal banjir melanda.
Malahan, selain penghantaran bantuan segera bagi menampung keperluan mangsa, menempatkan tim perubatan dikira tepat kerana pusat pemindahan secara tidak langsung adalah pusat kepada pengumpulan dan tum;uan penduduk mangsa banjir. Bekalan air paip biasanya dihentikan ketika ini. Bekalan elektrik pula bergantung kepada keseriusan situasi banjir tersebut.
Amat jarang pusat-pusat pemindahan sementara ini berlanjutan melebihi seminggu. Adakala bekalan makanan akan dihantar ke pusat-pusat pemindahan ini bagi menambah jumlah bekalan makanan, kerana jumlah mangsa yang terlibat tidak dapat dijangka dengan tepat, dan keperluan juga berbeza dan pelbagai. Ada juga situasi yang mana mangsa-mangsa banjir terperangkap di kawasan tempat tinggal masing-masing. Antaranya yang enggan berpindah kerana masalah kesihatan dan penjagaan.
Namun tidak dinafikan ada yang enggan berpindah kerana degil. Atau yang tidak mahu berpindah kerana khuatir keselamatan barang yang ditinggalkan di rumah sama ada dicuri atau dihanyutkan air. Yang menyedihkan ada yang tidak sempat berpindah menuju ke pusat penempatan yang disediakan atau pusat pemindahan dilanda banjir sehingga terpaksa berlindung di tempat tinggi berhampiran yang lebih tinggi.
Ketika inilah, kemahiran survival sangat penting dalam menjaga diri dan ahli keluarga lainnya. Bagi penduduk yang berpengalaman menghadapi banjir, persediaan rapi biasanya telah dimulakan lebih awal. Menyedia dan memperlengkap bekalan makanan dan memindahkan barangan ke tempat yang lebih tinggi dan selamat dilakukan seawal mungkin.
Ada juga dalam kalangan mangsa banjir yang bertindak secara pro aktif menghubungi sahabat handai atau saudara mara meminta bantuan. Dalam zaman teknologi digital ini media sosial memainkan peranan menyebarkan maklumat dengan pantas dan berkesan. Ketika inilah maklumat palsu, separa palsu dan kabur mula memenuhi laman-laman sosial.
Memburukkan lagi keadaan apabila ada pihak dipersalahkan, tuduhan dilemparkan secara melulu dan diparahkan jika ia melibatkan kehilangan nyawa. Maklumat yang bersimpang siur amat mengelirukan dan amatlah diharap agar masyarakat dapat berfikir secara matang dan rasional dan menapis kepelbagaian maklumat yang sampai kepada mereka.
Penduduk akan mula pulang ke rumah setelah air surut dan disahkan selamat. Ketika inilah pengurusan menumpu dan membekalkan tenaga sukarelawan amat diperlukan. Tumpuan membersihkan kesan air banjir, pembuangan dan pembersihan sampah dan pembersihan premis-premis kediaman, premis-premis awam seperti sekolah, masjid, balai raya dan seumpamanya juga diberikan perhatian. Keperluan sukarelawan turut disertakan dengan peralatan dan bahan pembersihan.
Menjadi satu kemudahan selain sumbangan peralatan mencuci, sumbangan tunai juga diperlukan bagi menampung kos pembelian peralatan lain yang lebih sesuai dan relevan untuk digunakan di kawasan ditimpa bah. Keperluan pembelian peralatan ini dan bahan makanan adalah lebih mudah dan menjimatkan dari sudut kos pengangkutan jika dapat dibeli ditempat terdekat yang telah pulih bekalan barangannya.
Oleh itu sumbangan berbentuk wang tunai ketika ini amat dialu-alukan berbanding barangan. Ini kerana kos pengurusan sukarelawan juga perlu diambil kira. Selain makan dan minum, ia juga melibatkan pengangkutan dan tempat tinggal. Biasanya badan-badan sukarela akan meminimumkan kos tersebut dengan menyediakan dan memasak sendiri makanan dan minuman. Tempat tinggal pula biasanya yang tidak melibatkan kos seperti surau, masjid dan sekolah.
Ketika ini juga khidmat menyediakan makanan siap masak amat dialu-alukan. Mangsa pulang ke rumah dengan keadaan dapur yang masih belum berfungsi sepenuhnya. Makanan ini biasanya dimasak di lapangan dengan peralatan yang dibawa sendiri, sebagai bekal bukan sahaja kepada sukarelawan bahkan kepada mangsa banjir yang mencuci kediaman masing-masing.
Pada masa inilah sebenarnya makanan berbentuk biskut dan roti sangat penting dan mudah dimakan banyak membantu dan sangat diperlukan. Jelas di sini, keperluan pasca banjir jauh lebih rencam dan pelbagai. Begitu juga dari sudut kos dan pembiayaan. Jika kerosakkan akibat bencana banjir ini terlalu besar maka fasa pembinaan semula atau rehabilitasi akan dilaksanakan. Fasa ini juga memerlukan dana yang besar, perancangan yang teratur dan yang lebih penting adalah tekad, azam dan iltizam yang kuat dan kukuh.
Semoga tulisan ini berupaya membantu warga Malaysia yang prihatin dan pemurah memahami gerak kerja bantuan mangsa banjir. Semoga kita mendokong semangat ‘amalan terbaik’ seperti yang terkandung dalam Firman Allah pada Surah al-Mulk:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)- untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).
Wallahu a’lam Sejahterakan Malaysia dengan Dakwah.
AMIDI BIN ABDUL MANAN PRESIDEN ABIM