PASIR PUTEH 19 Ogos – Kehidupan daif seorang ibu tunggal beranak tiga betul-betul teruji selepas mereka tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kayu peninggalan arwah suami hangus dalam kebakaran di Kampung Cherang Ruku di sini dua hari yang lepas.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi, mangsa, Siti Hasiah Ab. Ghani, 44, dan anak bongsu, Fitri Mohamad, 4, tidak berada di rumah manakala dua lagi anaknya, Ramadan, 10, dan Firdaus, 12 berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku.
Firdaus berkata, semasa kejadian dia berada di sekolah yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya dan mengikuti pengajaran Pendidikan Jasmani (PJ) di padang sekolah.
“Saya tidak sangka asap hitam yang kelihatan itu adalah musibah yang menimpa kami sekeluarga. Saya dimaklumkan oleh guru sebelum dibenarkan pulang ke rumah bersama guru.
“Apabila tiba di rumah saya lihat rumah kami sudah menyembah bumi. Rumah ini tempat saya dibesarkan, bermain dan belajar. Namun saya dan Ramadan beruntung sekurang-kurangnya saya masih mempunyai sehelai lagi baju sekolah untuk bersekolah,” katanya yang sedih dengan kejadian tersebut.
Turut hadir melawat keluarga mangsa ialah Guru Besar SK Cherang Ruku, Wan Abdul Aziz Wan Noh dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung (JKKP) Persekutuan, Yusof Awang mat.
Dalam pada itu, Siti Hasiah berkata, kebakaran tersebut disedari selepas dia terdengar bunyi letupan kecil di ruang tamu diikuti kepulan asap tebal yang keluar menerusi pintu hadapan rumah.
“Saya hilang harta benda dan tempat tinggal dalam sekelip mata. Rumah yang menjadi tempat berteduh peninggalan arwah suami kini menjadi abu. Semua dokumen penting dan barangan gagal diselamatkan.
“Saya tidak mampu membina semula rumah untuk keselesaan anak-anak. Rumah yang terbakar itu dibina hasil keringat suami saya yang dahulunya hanya seorang nelayan. Hanya motosikal Modenas Kriss arwah sempat diselamatkan jiran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
“Saya hanya mampu menitis air mata pilu apabila melihat keseluruhan bahagian rumah kecil yang selama ini menjadi tempat berteduh ini ranap dalam tempoh 10 minit. Namun, bersyukur kami semua selamat,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustafa ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.01 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota penyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Hadi Hassan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
“Kebakaran rumah kediaman jenis separuh kekal berjaya dikawal daripada merebak. Anggaran kerugian berjumlah RM25,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” tambahnya.
MBM melalui Presiden MBM Tuan Hj. Mua’amar Ghadafi Jamal dan Pengerusi Tetap MBM Sdr. Mohd Syahbuddin menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran..