PUTRAJAYA 18 Januari – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menyerahkan memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui koordinator PBB di Malaysia berhubung pertikaian Masjid Babri-Ran Mandir di Ayodhya, India.
Memorandum ini bertujuan mendesak PBB untuk mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan ancaman pertembungan antara penganut Hindu dan Muslim yang kian memuncak berhubung konflik tersebut.
Memorandum disampaikan Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha kepada UN Focal Point, Mr. Patrick Pee di pejabat UN di sini.
Peristiwa Masjid Babri pada 1992 memberi kesan besar kepada hubungan antara penganut agama sehingga kini. Atas alasan bahawa masjid yang dibina pada abad ke-16 itu didirikan di atas tempat kelahiran dewa Rama, mereka menuntut supaya diruntuhkan Masjid Babri dan dibina sebuah kuil di atas tapaknya.
Ekoran pemusnahan Masjid Babri, pergaduhan agama berlaku selama beberapa bulan antara masyarakat Hindu dan Islam India yang menyebabkan kira-kira 2,000 orang terbunuh.