PASIR PUTEH 2 Jan. – Bekas Setiausaha Gerakan Belia 4B Malaysia cawangan Bandar Hilir Kota Bharu, Mohd. Hadzri Dollah, 52, yang dihimpit kemiskinan selepas kaki kanannya dipotong sejak setahun lalu mendapat perhatian Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Gerakan Belia 4B Negeri Kelantan.
Hari ini, Mohd. Hadzri menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Rekreasi dan Seni Warisan MBM, Mohd. Faizal Abu Bakar.
Rombongan tersebut menyampaikan sumbangan kecemasan seperti bantuan kewangan, pakaian dan makanan bagi meringankan beban terutama untuk menanggung kos perbelanjaan awal persekolahan untuk empat anaknya.
Sementara itu, Mohd. Faizal yang juga Pengerusi Gerakan Belia 4B Kelantan berkata, pihaknya mengetahui mengenai keadaan Mohd. Hadzri yang daif selepas membaca berita yang disiarkan dalam Utusan Online.
“Jasanya sebagai aktivis Gerakan Belia 4B sepanjang tahun 1982 hingga 1987 yang aktif dengan program Kurnia Belia Jaya (KBJ) seharusnya dihargai dengan sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak.
“MBM simpati dengan nasib yang menimpa Mohd. Hadzri apabila terbaca cerita mengenainya menerusi Utusan Online dan disebabkan itu kami mengunjungi hari ini untuk kami bertanya khabar dan menyalurkan bantuan yang sekurang-kurangnya akan meringankan bebanannya.
“Saya berharap lebih banyak pihak akan tampil untuk membantu Mohd. Hadzri kerana jasa dan sumbangan dia sebelum ini amat tidak ternilai,” katanya ketika ditemui di Taman D’ Bali Kuala Semerak di sini hari ini.
Bekas aktivis belia itu hidup serba kekurangan dan dihimpit kemiskinan apabila kaki kanannya terpaksa dipotong akibat penyakit diabetes lebih setahun lalu.
Mohd. Hadzri kini hilang kudrat bagi mencari nafkah untuk menyara isteri dan enam anak dan hanya mengharapkan bantuan anak sulungnya, Balqis Aisyah, 25, yang bekerja di sebuah resort di sini dengan gaji yang tidak seberapa.
Dalam pada itu, Mohd. Hadzri berkata, dia sekeluarga merasa amat terharu dengan perhatian yang diberikan oleh MBM dan Gerakan Belia 4B Kelantan yang bertindak pantas untuk menghulurkan bantuan selepas mengetahui keadaannya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang datang untuk membantu hari ini, jasa mereka tidak mampu saya balas.
“Hari ini, tiga anak saya ke sekolah dengan berjalan kaki yang jaraknya kira-kira tiga kilometer (km) dari rumah.
“Wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digunakan sepenuhnya untuk pakaian tidak termasuk kasut sekolah. Mereka tidak membawa wang saku dan kami juga terpaksa menagih simpati untuk membeli beras bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Tambahnya, dia amat memerlukan sebatang kaki palsu bagi membolehkannya bergerak sekurang-kurangnya untuk berusaha dan bekerja bagi mendapatkan sumber rezeki.
© Utusan Melayu (M) Bhd