Kepelbagaian budaya dan agama dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan keunikan di negara ini. Pesta Ponggal merupakan perayaan yang disambut mengikut kalendar Tamil sempena musim menuai, menandakan kesyukuran terhadap hasil yang diterima.
Sambutan Pesta Ponggal memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk memahami dengan lebih dekat keunikan budaya masyarakat India yang menyambut perayaan itu.
Mengambilkira kepelbagaian adat resam dan budaya dalam keluarga besar pergerakan belia Malaysia ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Gabungan Belia-belia India Malaysia (UMIY) yang terdiri daripada Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO), Majlis Kelab Bell Belia Tamil (MKBBT), Majlis Belia India Malaysia (MIYC), Persatuan Belia Sikh dan Gerakan Belia India Muslim (GEPIMA) akan menganjurkan Pesta Kebudayaan Ponggal Peringkat Kebangsaan pada 2 Februari 2020 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kheow Bin, Batu Caves, Selangor.
Program bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini mensasarkan kehadiran pengunjung seramai 10,000 orang.
Pelbagai pengisian aktiviti disediakan seperti pertandingan memasak ponggal, pertandingan melukis ponggal, pertandingan gubahan daun kelapa, pertandingan pecah periuk, pertandingan mereka cipta tanglung dan wau serta banyak lagi.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PERPADUAN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Program ini merupakan platform untuk memupuk perpaduan kaum serta mekanisme dalam memberi pendedahan kepada pelancong berhubung seni, budaya dan warisan di Malaysia selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), YB Senator Tuan Waytha Moorthy Ponnusamy akan hadir merasmikan program ini pada jam 10.30 pagi.
Turut sama dijemput hadir ke program ini adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Mohamaddin Ketapi, Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa kenamaan lain.
Dalam pada itu, MBM juga mengambil maklum berhubung pandangan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada umat Islam yang turut serta dalam program ini.
Bagi memastikan hukum hakam dan garis panduan yang telah ditetapkan dipatuhi dan dihormati, pihak penganjur akan memastikan umat Islam yang hadir nanti hanya menyertai acara tertentu sahaja.
MBM berharap sambutan ini tidak akan menimbulkan sebarang kontroversi dan implikasi negatif. Jadikan kepelbagaian kita ini sebagai satu kekuatan dalam membina perpaduan di negara yang kita cintai.
Sambutan ini menjadi saksi kepada prinsip bahawa kepelbagaian budaya merupakan satu kekuatan dan keunikan bangsa Malaysia. Ayuh bersama kita hargai semangat kesatuan dalam kepelbagaian ini dan kita didik generasi muda ke arah perpaduan yang lebih utuh.
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi MBM, https://www.belia.org.my
Sekian, terima kasih.
HASNUL HANIFF HARUN
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh: 28 Januari 2020