KUALA LUMPUR 2 Sept. 2013 – Golongan belia Malaysia sebulat suara mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia termasuklah amalan demokrasi di Mesir.
Sokongan yang dinyatakan oleh belia negara itu merupakan satu daripada lapan deklarasi yang dicapai dalam Persidangan Meja Bulat: Pergolakan Demokrasi di Mesir – Perspektif Generasi Muda anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) serta Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, deklarasi hasil perbincangan meja bulat oleh wakil-wakil persatuan belia termasuklah golongan pelajar di Mesir sendiri itu cukup menyeluruh daripada aspek pengisiannya.
Beliau berkata, lapan deklarasi yang telah digariskan juga selari dengan pendirian kerajaan Malaysia berhubung isu pergolakan di Mesir dan beliau akan memanjangkannya kepada Kabinet serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Selain itu, deklarasi ini juga menggesa kerajaan Malaysia serta mana-mana kerajaan dunia mengecam pencabulan hak asasi serta demokrasi di Mesir. Perkara lain yang disentuh di dalam deklarasi ini turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan bersepadu bagi menyelesaikan pergolakan yang berlaku di Mesir.
“Ini membuktikan bahawa belia di Malaysia bukan hanya menumpukan kepada apa yang berlaku di dalam negara, tetapi prinsip-prinsip sejagat yang membabitkan isu pergolakan di negara-negara seperti Mesir turut diberi perhatian,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri persidangan tersebut di Pusat Belia Antarabangsa di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Antara lain deklarasi berkenaan menegaskan pendirian bahawa pergolakan di Mesir merupakan isu demokrasi dan kemanusiaan serta perlu diperjuangkan oleh negara-negara seluruhnya.
Deklarasi itu juga meminta supaya usaha kerjasama antara semua negara digerakkan untuk membangun dan melaksanakan langkah yang efektif serta berkesan bagi membantu menyelesaikan isu sosioekonomi di Mesir.
Dalam pada itu, Khairy menyatakan rasa kagum terhadap keberanian persatuan belia dan wakil-wakil pelajar di Mesir untuk menyatakan pendirian masing-masing berhubung pergolakan di negara itu menerusi persidangan tersebut.