Bangi 28 Disember – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Jufitri Joha telah meluangkan masa untuk mengadakan kunjungan hormat sambil mendapatkan pandangan serta panduan daripada Prof. Dato Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. Pertemuan yang berlangsung kira-kira 2 jam ini telah berjaya mencapai beberapa hasil kepada halatuju MBM.
Prof. Zaini Ujang menggesa MBM mula merangka halatuju perjuangan berdasarkan konsep yang diterima umum, Sustainable Development Goals (SDG) adalah salah satu konsep yang dicadangkan oleh beliau. Menggunakan idea Eco-Shift, beliau yakin bahawa MBM mampu mencapai sasaran-sasaran yang ditetapkan oleh SDG. Beliau juga mahu MBM untuk kekal berada pada kedudukan non-partisan. Menjelang era Malaysia Baru, rakyat tidak lagi bergerak berdasarkan panduan daripada parti-parti politik. Justeru MBM sebagai sebuah non-political organization mendapat kepercayaan yang tinggi daripada rakyat, melalui kepercayaan ini maka MBM perlu mula memimpin perjuangan rakyat atas konsep shared value yang diraikan bersama.
Bercakap mengenai universiti di Malaysia pula, Prof. Zaini Ujang mempunyai pandangan tersendiri mengenai politik dalam kalangan mahasiswa. Beliau tidak mahu melihat mahasiswa terlibat dalam politik yang bersifat politik jalanan tetapi lebih kepada politik ideologi. Mahasiswa tidak harus dipergunakan sebagai cheap labour oleh parti-parti politik, penglibatan mahasiswa dalam politik mestilah sebagai pemikir dan pengkritik terhadap gagasan kerajaan. Model politik mahasiswa di United Kingdom adalah yang terbaik untuk dijadikan contoh, kelab-kelab politik dibenarkan untuk didaftarkan disana namun kelab-kelab politik ini bukanlah mewakili mana-mana parti politik tetapi ia mewakili ideologi-ideologi politik yang pelbagai. Perbincangan mahasiswa di sana bukanlah untuk mempertahan mana-mana parti politik tetapi lebih kepada mempertahankan ideologi politik yang mereka rasa sesuai diamalkan. Prof. Zaini Ujang juga membangkitkan isu berkenaan endowment (wakaf) untuk dipraktikkan oleh universiti-universiti tempatan. Beliau yakin bahawa konsep ini adalah jawapan untuk merealisasikan janji pendidikan percuma oleh kerajaan pada hari ini. Keadaan ini dapat dibuktikan melalui universiti-universiti terkemuka dunia seperti Oxford dan Al-Azhar yang mengamalkan konsep endowment (wakaf) dalam pendanaan operasi universiti.
MOHD. FAUZI B FADZIL merupakan Felo Penyelidik, Pejabat Presiden, Majlis Belia Malaysia.