Oleh :
Emma Emmanuelle Gerard
Ketua Junior MBM
Sejak kebelakangan ini, isu buli di sekolah Malaysia terutamanya sekolah berasrama penuh dan MRSM semakin kritikal. Walaupun sekolah-sekolah ini bergelar sekolah cemerlang, mereka kini terkenal dengan kes buli yang mendapat perhatian rakyat malaysia.
Gejala buli sering dianggap sebagai sebahagian daripada budaya belajar di sekolah berasrama penuh dan MRSM. Namun, kita tidak boleh terus leka dengan krisis ini. Menyatakan bahawa perkara ini merupakan sebahagian daripada berada di sekolah-sekolah ini hanya menormalkan tingkah laku ini sehingga ramai mangsa tidak dapat mendapatkan bantuan.
Tingkah laku antisosial seperti ini bukanlah sesuatu yang kita lahirkan. Sebaliknya, mereka diajar dan diasuh oleh masyarakat sekeliling kita. Justeru, persoalannya, mengapakah komuniti di sekolah-sekolah ini membolehkan gejala buli dan ragging berlaku dengan kerap? Memandangkan sekolah ini sepatutnya melatih pelajar yang paling berbakat dan cemerlang, perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
Pada 6 Jun 2021, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan Forum #SekolahSelamat yang telah membincangkan isu gangguan seksual dan buli dalam sekolah-sekolah di Malaysia. Melalui forum ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengenal beberapa tindakan yang perlu diambil untuk mengatasi krisis buli ini.
Pertama sekali, persekitaran toksik sekolah-sekolah ini perlu disingkirkan sepenuhnya. Pelajar di sekolah berasrama penuh ini diharapkan untuk belajar dan bersaing sesama sendiri, tanpa berehat untuk kesihatan mental mereka. Ramai bekas pelajar sekolah ini telah keluar dan berkongsi kisah mereka tentang bagaimana ini memberi kesan negatif kepada kehidupan mereka. Jadi, pihak berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap perkara ini dan membetulkan sistem di sekolah-sekolah ini.
Seterusnya, ibu bapa bertanggungjawab dalam mengajar anak-anak mereka apa itu adab dan kesopanan asasi manusia. Ibu bapa tidak boleh mengharapkan anak-anak mereka hanya mempelajari perkara penting ini di sekolah kerana mereka menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga di rumah. Tanpa mengira usia, kanak-kanak perlu diajar apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, terutamanya dengan rakan sebaya.
Selain itu, pihak sekolah perlu lebih peka terhadap kejadian buli dan ragging. Selalunya, kejadian ini tidak dilaporkan kerana pihak berkuasa sekolah tidak mengambil tindakan terhadapnya serta memanipulasi mangsa untuk berfikir bahawa mereka melebih-lebih dan bahawa keadaannya tidak begitu teruk. Salah laku seperti ini perlu ditangani segera. Jika kita mahu membantu generasi akan datang, kita perlu memastikan bahawa pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan sempurnanya.
Di samping itu, hukuman yang setimpal harus diberikan kepada penyerang. Menggantung mereka dari sekolah sahaja tidak akan menghalang individu ini daripada mengulangi tindakan mereka. Sebaliknya, mereka harus dibuang sekolah dan dihantar ke pusat pemulihan untuk dididik semula. Hanya melalui pendidikan semula individu-individu ini akan bertaubat atas tindakan masa lalu mereka dan menjadi orang yang lebih baik.
Dengan ini, saya menyeru semua pihak untuk mengambil tindakan dalam mengatasi krisis buli di Malaysia. Perkara ini merupakan tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia dan tidak dapat diselesaikan tanpa bantuan dan kerjasama oleh semua pihak. Saya juga ingin menasihati mana-mana belia yang menjadi mangsa gejala buli untuk melaporkan kejadian ini kepada pihak berkenaan atau ibu bapa kamu. Kamu tidak bersendirian dalam pertempuran ini.
*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis
Bertarikh : 22 Disember 2021