Sempena Hari Belia Negara 2020, Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia menganjurkan Konvensyen Belia Kebangsaan 2020 pada 15 Ogos 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
Melalui tema “Dekad Baharu Belia: Peluang dan Cabaran”, konvensyen ini bertujuan melihat semula realiti belia semasa dalam fasa membentuk norma baru sepanjang tempoh pemulihan pandemik semasa. KBK 2020 ini turut bertujuan untuk membina sudut pandang kepimpinan belia Malaysia yang lebih luas melalui peluang dalam perkembangan ekonomi dalam mempersiapkan diri sebagai aset pembangunan negara.
Seramai 200 orang belia dari pelbagai latar belakang mewakili pertubuhan belia masing-masing disasarkan menyertai konvensyen kali ini. Konvensyen dimulakan dengan sesi pertama bertajuk ‘Masa Depan Pekerjaan dan Cabaran Ekonomi Belia’.
Ucapan pembukaan sesi pertama disampaikan oleh YB Tuan Ahmad Fadhli Shaari, Pengerusi Lembaga Pengarah, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). Ahli Panel untuk sesi ini terdiri daripada Encik Ahmed Faris Amir (Ketua Pegawai Eksekutif, IMPACT Malaysia) dan Dr. Wan Hasifi Amin (Pengasas Bersama Baitul Jannah dan Pemenang Forbes 30 Under 30 – Asia-Consumer Technology 2020). Sesi ini akan dipengerusikan oleh Sdri. Nurliana Muhammad, Exco MBM.
Sesi kedua dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh YB Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Sesi ini akan menyentuh isu ‘Kepimpinan Muda – Antara Realiti dan Stigma’. Ahli Panel terlibat dalam sesi ini terdiri daripada Puan Dira Abu Zahar (Pengerusi Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Nasional), Encik Abdul Muqit Muhammad (Felo Penyelidik ILHAM Centre), dan Encik Hafiz Ariffin (Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Luar Negeri). Sesi 2 dipengerusikan oleh Sdr. Haziq Zakaria, Ahli Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan MBM.
KBK merupakan acara tahunan yang diadakan sempena Hari Belia Negara setiap 15 Mei. Namun demikian, pada tahun ini KBK 2020 dilaksanakan sebagai satu simbolik permulaan baru bagi menjana semula program dan aktiviti pembangunan belia negara. KBK 2020 juga merupakan satu usaha melaksanakan program kolektif belia dalam melalui fasa pembentukan norma baharu sepanjang tempoh pemulihan pandemik ini.
Oleh itu, KBK 2020 merupakan satu wadah yang amat penting untuk pemimpin belia berinteraksi secara lebih aktif dan membina rangkaian kerjasama demi manfaat bersama. Dalam memacu negara ke arah melahirkan masyarakat yang maju, bersatu-padu dan saksama dengan tahap kehidupan yang tinggi, perubahan asas perlu dilakukan dalam pelbagai aspek. Adalah menjadi harapan agar konvensyen ini mencapai objektifnya dan memberi manfaat kepada belia malah negara.