Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Program bagi menarik golongan mak nyah kembali menjadi lelaki tulen seperti dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).
Penolong Setiausaha Agung Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya bersedia dan mengalu-alukan usaha sama Jakim dan institusi agama untuk menarik minat golongan berkenaan menyertai program seumpama itu.
“Kami harap Jakim dapat kemukakan modul dan cadangan yang diguna pakai ketika menganjurkan program berkenaan selain dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk sama-sama memantapkan program sedia ada.
“Di pihak Abim sendiri, kami mengambil pendekatan secara umum dengan mengadakan program khusus untuk mak nyah. Namun, kami amat berbesar hati jika modul yang digunakan Jakim dapat diperluaskan serta dikongsikan bersama badan bukan kerajaan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, pihaknya menyambut baik program berkenaan dan jika diberi peluang, MBM sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi membantu memulihkan golongan berkenaan.
“Ketika ini, kami dalam perancangan untuk mengadakan program Fasilitator Kesihatan Mental untuk melahirkan jurulatih atau fasilitator di kalangan belia dan menawarkan sokongan dalam bentuk kaunseling termasuk mengenai isu jantina dan krisis identiti.
“Kami harap, selepas program itu kita berupaya melahirkan lebih banyak jurulatih dan fasilitator belia untuk membantu memberi sokongan. Selain itu, setiap Majlis Belia Negeri juga diharap mampu menjadi rujukan kepada mereka yang bermasalah termasuk golongan mak nyah,” katanya.
Beliau berkata, MBM sememangnya mengambil perhatian terhadap isu berkaitan golongan mak nyah malah dalam mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara November lalu, isu berkenaan turut diberi penekanan.
Harian Metro semalam melaporkan mengenai 40 pondan atau mak nyah disuntik keinsafan dan melafazkan ikrar untuk kembali menjadi lelaki tulen sempena Maal Hijrah Ahad lalu. Kebanyakan mak nyah terbabit yang bergelumang dosa menjadi ‘wanita palsu’ sejak sekian lama menunjukkan keazaman tinggi mahu bertaubat selepas mengikuti Program Mukhayyam anjuran Jakim. Program tiga hari itu diadakan sejak kelmarin di sebuah resort di Perak, dengan dikendalikan 10 kakitangan Jakim serta penceramah bebas.