MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kepemudaan dan Gelora Cinta Dalam Kemerdekaan Nusantara

Oleh:

Sdr. Muhamad Hanapi Jamaludin

Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia

Prakalam

“Kepemudaan adalah satu cabang daripada kegilaan”

Makalah ini dimulai dengan memajukan premis di atas. Sebatas pembacaan penulis, perkataan ini dinisbahkan kepada peribahasa/pepatah Arab. Isinya cerdas dan bernas.

Ada dua yang mendorong penulis untuk menoktahkan karangan ini pada tintanya yang terakhir di hujung nanti. Iaitu cinta dan tanah air. Manakala pemuda dan kepemudaan pula sebagai jodoh sandingannya. Dua ini juga yang kita saksikan di serata belahan dunia yang mendorong seseorang tampil merekayasa karya mereka. Sepotong kata-kata yang penulis pernah karangi ditampalkan sebagai renungan ;

“Cintailah cinta. Ia lebih tinggi daripada cita-cita. Tanpa cinta, tiada kemahuan keras untuk seseorang membela dan mempertahankan cita-cita. Tiada penyerahan, ketundukan dan kepatuhan untuk mengabdi dan menuruti suruh larangan Maha Pencinta. Tiada perajurit yang sanggup bersabung nyawa membentengi kedaulatan tanah air. Tiada para pejuang hadapan yang berani menjadi kubu melindungi kesejahteraan semua. Seorang pengkarya menghalus-halus hasil kerjanya itu oleh dorongan cinta. Seorang pendidik berdiri di hadapan mengadabkan pelajarnya hanya kerana cinta. Seseorang keluar berpagian sampai meninggi malam mengintip rezeki tidaklah lain kerana cinta. Tiada perjuangan yang tumbuh tanpa dorongannya. Tiada kemahuan yang teguh berdiri tanpa sandarannya. Tiada hadiah dapat dipersembah jadi tanda mata kenang-kenangan oleh tiada cinta yang menggubahkannya”

Sempena bulan kemerdekaan ini kita harus kembali hayati potongan babak-babak yang menggelegakkan gelora cinta para pemuda untuk melihat Nusantara-nya berhasil dimerdekakan.

Jawiraya sebagai Medan

Kesedaran bahawa Alam Melayu atau Nusantara atau apa sahaja istilah yang dinamai merujuk wilayah geografi yang menganjur di Tenggara Benua Asia ini telah berakar dalam kesedaran mental warganya jauh sebelum wilayahnya dipetak-petakkan oleh kolonial. Ketika penjelajahan bermula daripada pusat ketamadunan dunia di Timur Tengah, India dan Eropah untuk menemui dunia Timur, rantau ini telahpun mempunyai kebudayaan. Apabila para penjelajah ini bersinggah, mereka pulang dengan membawa laporan-laporan dan catatan mengenai wilayah ini. Bertolak daripada itu, pelbagai penamaan daripada sudut geografi, ras dan bahasa telah diungkapkan untuk mengidentifikasi daerah yang masih dianggap asing ini.

Daripada catatan India, bumi ini pernah digelar ‘semenanjung emas’, manakala catatan pengembara Arab pula menamakan penduduk di bumi ini sebagai ‘Jawi’. Catatan yang lebih jauh pula membuktikan bahawa bangsa Yunani telah menggelar daerah ini sebagai Kolandia atau Kolan yang pernah dirujuk sebagai ‘kolek’ yang bermaksud sampan oleh para peneliti. Begitu banyaknya lagi catatan yang mengarah atau merujuk kepada rantau Alam Melayu ini demi mencapai suatu maksud yakni, merungkaikan rahsia penemuan dunia yang masih belum banyak diketahui dan berhubung dengan segitiga peradaban besar lainnya.

Terbitnya istilah Nusantara, Alam Melayu, Pascabima, Kepulauan Melayu (Malay Archipelego), Malayonesia dan beberapa yang lainnya adalah lanjutan daripada percubaan daripada zaman kuno, klasik, pra-moden dan moden untuk memadankan nama yang paling sesuai bagi menggambarkan kebersatuan budaya dan topografi wilayah ini daripada sudut ras, geografi dan linguistik. Idea penyatuan subjek kawasan yang bertebaran di seluruh rantau Austronesia – Polinesia ini bertujuan untuk mewujudkan sebuah korpus kajian ketamadunan yang bertunjangkan ciri sepunya tertentu.

Di garis perpolitikan juga tidak terkecuali. Indonesia Raya, Melayu Raya dan terakhir kalinya Maphilindo dilihat terus gagal mempersatukan wilayah ini di bawah satu jenama. Nampaknya di antara kebanyakan istilah ini, penulis cuba mengajukan istilah Jawiraya sebagai membawa maksud yang sama dengan beberapa definisi khas berdasarkan ciri fizikal dan spiritual. Penggunaan nama jawi itu pun sudah mapan dan tekal, menjadi rujukan daripada lensa dunia Arab atau dunia Islam yang mesra dengan penganut agama di wilayah ini. Seperti mereka menamai diri mereka sendiri. Manakala, ‘raya’ merujuk kepada makna ‘besar’. Jawiraya itu jelas dapat difahami sebagai wilayah besar yang ditumpangi oleh warganya yang beragam ciri etnik, namun menyatu secara budaya, bahasa dan dominasi agama.

Penjajahan Jawiraya

Bermula 1511 oleh pendaratan Portugis di Melaka berakhir dengan kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Dalam rentang waktu 446 tahun, seluruh wilayah Jawiraya telah berhasil menyambut pendaratan kolonial. Maluku, Ambon, Sumatera, Jawa, Kemboja, Fillipina termasuk. Daripada detik berkenaan kita saksikan babak perjuangan kemerdekaan yang digerakkan oleh sebilangan para pemuda. Keterujaan kita berganda oleh dorongan yang memotori mereka ini adalah cinta. Kita sisihkan pergerakan yang didorong oleh faktor modal, atau alat bantuan kolonial seperti yang sering didendang dan dilagukan sejarah. Perhatian makalah ini tentang keberahian para pemuda yang tiada lain dorongannya untuk melihat tanah air ini merdeka selain oleh cinta.

Idea Melayu Raya Sebagai Bangsa Cita

Bangkitnya semangat mengusir penjajah di Alam Melayu seluruhnya didorong oleh kesamaan nasib. Kesedaran tentang persamaan sejarah dan budaya memunculkan idea mengenai konsep “negara raya” atau Pan Malay/Malayan Unity dikalangan para pemuda terpelajar di rantau ini. Babak kemudiannya menyaksikan terbitnya beberapa nama bagi menggambarkan konsep berkenaan. “Malaysia Irrendenta” di Fillipina, “Indonesia Raya” di Indonesia dan “Melayu Raya” di Malaysia kesemuanya mempunyai satu maksud, iaitu gagasan bagi pembentukan negeri-negeri Melayu menjadi sebuah negara bangsa besar. Beberapa tokoh penting dalam perjuangan mewujudkan Melayu Raya boleh disebutkan di sini seperti Jose Rizal, Apolinario Mabini, Wanceslao W. Vinzons, dan Diosado Macapagal di Fillipina, Muhammad Yamin, Soekarno, Hatta di Indonesia, Dr Burhanuddin al-Helmi, Mustapha Hussein dan Ahmad Boestamam di Tanah Melayu atau Malaya (Roff 1994 ; Rustam A. Sani 1975) .

Garis Besar Negara Raya

Jose Rizal (1861-1896) tumbuh sebagai seorang pejuang besar pengarang beberapa karya novel antaranya Noli Me Tangere (Jangan Usik Daku), dan El Filibusterismo (Sang Subversif). Perjuangan beliau merebut kemerdekaan tanah airnya daripada Sepanyol membawa inspirasi kepada rakyat dan penulis sejarah selepasnya sehingga digelar patriot dan ‘tokoh kebanggaan bangsa Melayu oleh Sarkisyanz. Gendang kemerdekaan “Maharlika” mula dipalu di tangan Rizal. Wawasannya mengambil garis besar takrif “Melayu” sebagai tapak penyatuan negara raya ini atas dasar ras. Warga yang mendiami kepulauan Fillipina hari ini merupakan bahagian daripada ras Melayu. Sesuatu yang tidaklah mengejutkan jika merujuk tesis oleh Johann Blumenbach (1752-1840) sarjana (physician, naturalist, physiologist, antropologist) Jerman mengenai pengkategorian ras berdasarkan fizikal. Melayu adalah salah satu bangsa utama dan tertua di dunia. Malah majoriti pengkaji dan cendekiawan Barat pada kurun ke-18 hingga ke-19 hanya mengiktiraf/mengkelaskan lima sahaja bangsa utama di dunia seperti berikut :-

i. Melayu

ii. Kaukasus

iii. Red Indian

iv. Mongul

v. Negroid

Bagi lain-lain bangsa yang tidak disenaraikan di dalam pengkelasan lima bangsa utama dunia ini mereka dikelaskan atau menjadi sub bangsa kepada lima bangsa utama dunia ini. Malah cendekiawan barat yang lain seperti John Henry Walker (1831-1899), George Franklin Cram (1883) dan Robert Knox (1850) turut sependapat dengan Blumenbach.

Kesedaran Rizal yang bertolak daripada idea ras besar ini tidak lama dapat dijuangkan. Beliau dipinjamkan untuk membebaskan tanah airnya hanya dalam waktu yang hanya singkat. Pada usianya 35 tahun beliau terbunuh di tangan penjajah Sepanyol. Gagasan beliau itu kemudian disambung oleh tokoh selepasnya, bermula oleh Apolinario Mabini yang sejak tahun 1898 lagi telah mencetuskan idea pembentukan Persekutuan Negara-Negara Melayu. Gambaran mental tentang ras Melayu dibuat berdasarkan definisi besar senada dengan Rizal. Selepasnya, Wanceslao Vinzons menambah lagi dengan wawasan “Malaysia Irredenta” yang sempadannya bermula dari “Malaya hingga ke New Guinea, Madagaskar hingga ke Fillipina”. Pejuang kemerdekaan dengan gelora pembebasan tanah air yang berfaham untuk menubuhkan persekutuan besar negara-negara Melayu yang merdeka telah bergabung di bawah Kesatuan Fillipina Muda yang dipimpin oleh Vinzons. Kami teruja untuk menyebutkan ketika pidato “Malaysia Irredenta” digemakan, Vinzons cumalah baru berusia 22 tahun. Satu contoh keberanian zaman oleh pemuda.

Gerakan kemerdekaan di Fillipina tidak bersentuhan langsung dengan tokoh-tokoh pejuang daripada Indonesia dan Tanah Melayu pada peringkat awalnya. Faktor bahasa dan alat komunikasi barangkali membatasi.

Di Sumatera, hubungan kesatuan emosi dan budaya terjelma lebih erat. Diikat oleh persamaan agama. Ia sempat dirakamkan oleh Ben Anderson dalam Imagined Communities (1983) sebagai ;

“Some of the people on the eastern coast of Sumatra are not only physically close, across the narrow Straits of Malacca, to the populations of the western littoral of the Malay Peninsula, but they are ethnically related, understand each other’s speech, have a common religion, and so forth. These same Sumatrans share neither mother – tongue, ethnicity, nor religion with the Ambonese, located on islands thousands of miles away to the east. Yet, during this century they have come to understand the Ambonese as fellow – Indonesians, the Malays a foreigners”

Kedekatan hubungan Melayu di Semenanjung dan jurai rumpunnya di Sumatera lebih daripada sekadar persamaan ras, malahan, etnik dan suku. Justeru, dapat disaksikan begitu kerap interaksi dan saling berkomunikasi antara pejuang awal kemerdekaan negara masing-masing yang pernah mahu disatukan.

Mohammad Yamin, antara tokoh pemuka gagasan Indonesia Raya. Beliau merumuskan sempadan konsep berkenaan secara fizikal meliputi wilayah yang terbentang daripada bekas Hindia Belanda, Borneo Utara (Sabah dan Sarawak), Malaya, Timor Portugis (kini Timor Leste), hingga Papua. Menurut Yamin, secara historis, politik, dan geopolitik, wilayah-wilayah tadi merupakan satu kesatuan yang tidak terpisahkan. Yamin, Sukarno tetapi tidak oleh Mohammad Hatta termasuk yang mendukung gagasan negara raya ini.

Lebih awal daripada itu yang menjadi perhatian makalah ini ialah sedutan kajian oleh Profesor Ahmat Adam yang mengupas dengan luas dan mendalam tentang gagasan “Melayu Raya”. Menurut beliau, idea Melayu Raya atau Indonesia Raya ini pertama kali dilantunkan oleh Tan Malaka pada tahun 1925 melalui sepucuk surat beliau daripada Chiang Mai kepada Budi Sujitro yang berada di Singapura. Beliau mengulang kembali gesaannya tentang sangat perlu segera diwujudkan pusat persatuan bagi mencantumkan seluruh bangsa Indonesia, Fillipina dan Semenanjung bagi membendung terperosoknya penduduk peribumi disebabkan kebanjiran buruh dan modal asing. Beliau menegaskan “sekalian daja oepaja [me] ngembang-ngembangkan dan menciptakan satu persatoean Indonesia Raya di seloeroeh kepoelauan Indonesia mesti dan perloe ada dan dirikan”.

Gagasan beliau ini dituangkan lagi dalam tulisannya pada tahun 1927 ketika melihat keadaan daif orang Melayu di Malaya (termasuk Singapura).

“Satoe poesat persatoean antara seloeroeh bangsa Indonesia [baca Melayu] jakni Indonesia kita, Semenandjoeng dan Philipina […] adalah sine qua non sjarat oentoek merampas dan mendjaga kebebasan kita. Tjilaka soenggoeh, tak dapat bangsa Indonesia [Melayu] di Semenandjoeng Malaka [Malaya] mempertahankan diri dari kebandjiran bangsa India dan Tiongkok jang teroes mengalir ke sana – Bumipoetera di kota-kota pesisir senantiasa didesak ke pinggir kota dan jang tinggal di laoet makin sehari makin djaoeh ke poentjak-poentjak goenoeng ”

Pandangan-pandangan oleh Tan Malaka ini telah mempengaruhi sebilangan besar tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan beraliran alternatif di Malaya pada ketika itu seperti Ibrahim Yaacob melalui Kesatuan Melayu Muda yang kemudiannya didukung oleh Dr Burhanuddin Hilmi, Ishak Hj Muhammad dan beberapa lagi lainnya. Kebanyakan tokoh daripada Malaya ini mengarahkan perhatiannya terhadap konsep Melayu Raya ini terhadap dasar sosialis, Islam dan bangsa untuk menyelamatkan kaum peribumi daripada terus dilulur kaum penumpang negeri apalagi diperbudak oleh penjajah. Mereka amat menyedari benar pengaruh kesatuan bangsa melalui bahasa dan agama yang sama sebagai wadah.

Namun, gagasan berkenaan terus terbengkalai. Cita-cita yang tidak kesampaian itu berlaku kerana Jepun yang telah merancang untuk memberikan kemerdekaan kepada Indonesia melalui penubuhan Badan Penyelidik Usaha Kemerdekaan Indonesia telah hancur digodam bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Ini menyebabkan Sukarno mengumumkan kemerdekaan Indonesia bersendiri tanpa penglibatan Malaysia kerana tidak sanggup menghadapi dua kuasa penjajah – Belanda dan Inggeris serentak.

Cinta, Merdeka atau Mati

Kemerdekaan Indonesia dipertaruhkan dengan darah dan air mata. Tidak mudah walaupun selepas proklamasi, Belanda dan Inggeris masih lagi tidak mahu menyerahkan kedaulatan penuh kepada Indonesia. Memang pengisytiharan kemerdekaan Indonesia dibuat pada 17 Ogos 1945 dibuat tidak disangkakan sesegera itu. Ekoran kekalahan Jepun, tanah air Indonesia terbebas sementara daripada kuku penjajah, kesempatan itulah yang direbut oleh Sukarno – Hatta untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Dampaknya? Rentetan peristiwa berdarah disaksikan di seluruh belahan Indonesia. Wiranya di setiap pergerakan itu – pemuda

November Berdarah (Peringatan Merdeka Indonesia dan Patani)

Perjuangan para pemuda untuk menebus semula kemerdekaan Nusantara tidak hanya terhenti pada kesatuan dalam sebuah entiti politik sahaja. Selepas masing-masing menentukan nasib sendiri, perjuangan sambung menyambung tetap terus menyala. Indonesia lebih dahulu mendapat kemerdekaan – tidak di meja rundingan, api cinta menyala di medan pertempuran. Dengan buluh runcing sekecil-kecil kepada kelengkapan perang yang ditinggalkan British dan Jepun, pemuda Indonesia menggelora.

“……Dan untuk kita saudara-saudara lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka semboyan kita tetap MERDEKA atau MATI. Dan kita yakin saudara-saudara pada akhirnya pastilah kemenangan akan jatuh ke tangan kita sebab Allah selalu berada di pihak yang benar percayalah saudara-saudara tuhan akan melindungi kita sekalian.

Allahuakbar! “

Petikan di atas ini ialah hujung pidato Bung Utomo pada 09 November 1945 untuk membangkitkan semangat pemuda mempertahankan kemerdekaan Indonesia pada masa kembali dihurung oleh tentera Belanda dan Inggeris.

Keesokannya, 10 November 1945 menyaksikan pertempuran pemuda peribumi di Surabaya dengan dua kuasa Britain dan Belanda yang bergabung di bawah Allied Forces Netherlands East Indies. Setidaknya 6000 pejuang rakyat yang terkorban. Peristiwa itu telah membangkitkan semangat para pemuda daripada berbagai latar belakang, kaum santri, petani di seluruh Indonesia. Pada akhirnya, kemerdekaan Indonesia terus dapat dipertahankan.

Manakala, jauh sebelumnya 11 November 1785, kemerdekaan Patani dicabut setelah dilanggar oleh Siam Bangkok dalam beberapa siri peperangan yang panjang. Seramai 4000 ribu orang Melayu di bawa ke Bangkok sebagai tawanan perang. Ribuan yang lain membelah banjaran Titiwangsa membina pemukiman lain di Semenanjung Tanah Melayu. Namun, semangat merebut kembali kemerdekaan tidak pernah tercabut. Nama-nama seperti Tengku Mahmood Mahyideen dan Tuan Guru Haji Sulung serta jutaan syuhada tidak terbilang akan terus dikenang sebagai pembela tanah air. Merdeka atau mati!

Penulis teringat juga nada dan getar yang sama diucapkan oleh Che Guevera dalam pidatonya di PBB mengenai Negara Cuba.

Hasta la victoria siempre! (Maju terus menuju kemenangan)

Patria o muerte! (Tanah air atau mati)

Lambaian Malaya

Walaupun hasrat untuk mendapat kemerdekaan serentak bersama Indoensia tidak kesampaian, itu tidak mematahkan semangat para pejuang kemerdekaan tanah air. Marilah kita tumpukan pula terhadap suasana di tanah air sendiri.

Rosli Dhobi, seorang pemuda yang menurut hitungan hari ini hanyalah remaja belasan tahun yang belumpun mendapatkan pendidikan menengah. Pada usianya 17 tahun beliau telah mengambil tindakan berani yang tidak terduga oleh manusia waras iaitu menikam mati Gabenor Negeri Sarawak, sir Duncan Stewart yang baru sahaja memulakan tugas di bumi kenyalang. Lawatan rasmi bertukar menjadi lawatan berdarah di tangan Rosli Dhoby. Beliau menyertai Rukun 13 yang menghimpunkan para pemuda bergelora untuk segera membebaskan tanah air Sarawak daripada pemerasan sejak tahun 1841 oleh Keluarga Brooke. Kemuncak kemarahan para pejuang ini apabila Brooke sendiri mengingkari janji untuk memberikan hak kemerdekaan kepada peribumi Sarawak dan melanggar perjanjian Perlembagaan Sarawak 1941. Rosli Dhoby mewakili semangat “Dum Spiro Spero” (berharap selagi bernafas) yang menyalakan api perjuangan kepada para pemuka kemerdekaan Sarawak kemudian.

Kisah Rosli Dhoby hanyalah rentetan daripada perjuangan sebelumnya bermula daripada pencerobohan Portugis yang menyaksikan angkatan Melaka yang berpindah ke selatan menyusun serangan demi serangan. Kemudian, era perjuangan oleh para pembesar dan para alim ulama’ secara bersenjata seperti Dol Said, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Munas, Tok Bahaman, Mat Kilau, Dato’ Maharajalela dan Sipuntum serta barisan pejuang yang lain. Kemudiannya, secara diplomatik, pergerakan kemerdekaan tanah air memindahkan gelora mereka di meja rundingan, menuntut haq yang telah tersurat di dalam kenyataan sejarah untuk mendapatkan kemerdekaan sendiri. Piagam Atlantik yang dimasyhurkan oleh Britain sebagai kuasa kolonial terbesar yang menyuratkan bahawa tanah jajahan berhak menentukan pemerintahan sendiri ikut mendorong.

Kebangkitan para pemuda menurut jurus diplomasi dan demokratik dapat disaksikan secara saksama dimotori oleh kelompok beraliran kiri. Dr Burhanuddin al-Hilmi, Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestaman, Pak Sako antara kelompok terpelajar Melayu terawal yang bergelumang dalam gerakan politik melalui penubuhan Kesatuan Melayu Muda pada tahun 1937 dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya beberapa tahun selepasnya. Namun, gerakan ini sering dicap sebagai subersif dan dikenakan sekatan demi sekatan kerana dituduh membawa faham kiri atau komunis. Mereka lebih senang dengan pendekatan tidak berdiplomasi dengan British. Sesudah mereka adalah angkatan anak-anak bangsawan atau feudal yang kelak menubuhkan UMNO dan gabungan Parti Perikatan untuk merebut kemerdekaan tanah air.

Di atas robohan kota Melaka

Kita dirikan jiwa merdeka

Bersatu padulah segenap baka

Membela hak keadilan pusaka

Itulah bagaimana kemerdekaan dapat dicapai oleh mereka yang telah ditentukan Allah. Tidak kira siapa yang memulai, yang berada pada garisan yang tepat dan masa yang tepat dan tempatnya yang telah ditentukan masing-masing oleh kudrat kuasa Allah. Semuanya demi satu tujuan yang satu, cinta dan keghairahan untuk melihat tanah air bebas dan berdaulat.

31 Ogos 1957 dan detik-detik selepasnya tidak hanya dirayakan di Tanah Melayu sahaja. Getaran bahawa persaudaraan serumpun dan sekandung itu justeru menebal di tanah air yang bernama Indonesia hari ini. Sebagai bekas wilayah yang mempunyai persamaan sejarah, budaya dan darah yang sama, seorang putera, ulama, pengarang besar di sana telah menurunkan sumbangsihnya dalam Kenang-Kenanganku di Malaya yang terbitkan pada tahun 1957 secara khusus untuk merayakan bersama hari besar, Tanah Melayu merdeka. Beliau ialah Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Buya Hamka), demi cintanya kepada tanah air walaupun sudah terbahagi sempadan politik, beliau tidak surut memandang daripada kacamata sempit.

Dalam karangannya itu, beliau mengesani bahawa tidak syak lagi Malaya dan Indonesia itu sebuah kesatuan juga atas ikatan batin walaupun secara zahir terpisah oleh sempadan geopolitik moden. Kesamaan agama, bahasa, budaya, nilai sosial menjadi tali pengikat. Yang membezakan adalah nasib politik asbab pengalaman penjajahan masing-masing.

Penggemar karya Hamka akan menemui cinta di mana-mana sahaja buah karangan beliau. Cinta adalah modal beliau mengarang. Labanya adalah persaudaraan. Sudah tentu, mencintai bukanlah semestinya memiliki. Gagasan negara raya yang berasaskan cita-cita dan perasaan kesatuan tanah air walaupun tidak dapat dimiliki, tetapi tetap hidup dicintai.

Alam Melayu ini tetaplah sebuah negara raya walaupun dipetakkan kepada beberapa negara moden hari ini. Kecintaan Buya Hamka terhadap Malaya yang dianggap sebahagian tanah airnya sendiri dirasakan sangat dalam sehingga sahaja mendengar Malaya bakal merdeka mengiringi saudaranya Indonesia betapa gembira hatinya, laksana kekasih mendengar khabar kepulangan yang dicintai. Sebagai seorang Indonesia beliau menuntut Irian Jaya daripada pangkuan Belanda. Tetapi, kecintaan beliau kepada Malaya lebih bergetar dirasakan.

Buya Hamka tidak membahagi-bahagikan cintanya kepada kedua tanah air ini. Tetapi, menurut beliau secara bahasa, agama dan budaya, jiwanya lagi terbuka menghadapi Malaya. Rumpun Melayu yang sama uratnya dagingnya dengan beliau. Cuma, mengalami persamaan nasib berbeza selepas gagasan penubuhan negara raya yakni percantuman wilayah alam Melayu Nusantara ini di bawah sebuah negara Indonesia Raya atau Melayu Raya telah gagal. Gagasan ini dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Soekarno, Muhammad Yamin, Ibrahim Yaacub, Burhanuddin Hilmi seperti yang telah dibincangkan di atas.

Buya Hamka membincangkan perihal tonggak-tonggak negara Malaya yang baru muncul itu. Sungguh luas pemerhatian, kesan halus jiwanya itu, kerana yang sedang dibicarakan itu adalah bahagian daripada alam kehidupannya sebagai anak Minangkabau dari Sumatera, yang menurut beliau sepotong daripada kebudayaan Melayu juga.

Perihal nama Malaya, kebangsaan Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan ulama dan raja-raja, bahasa dan kebudayaan Melayu yang ada antaranya beliau tidak dapat nikmati di negaranya sendiri. Indonesia yang memakai sistem Republik telah meletakkan dasar Pancasila sebagai tapak telah menghilangkan tonggak-tonggak Melayu itu. Justeru harapan beliau tertanam kepada negara Malaya.

Jiwa beliau terasa dekat halus dan santun sekali pada kita mengamati perkataan yang digunakan. Kerendahan hati dan semangat berapi disulam dengan kata-kata beralun. Di Malaya juga karangan-karangan beliau mendapat perhatian. Ketika Kongres Bahasa Melayu diadakan pada tahun 1956 yang mana Za’ba dianugerahkan gelar Pendeta, Ungku Aziz sebagai Setiausaha. Buya Hamka awalnya tidak diminta sebagai mewakili rasmi Indonesia. Namun gelojak jiwa dan kecintaan tinggi terhadap bahasa Melayu menyebabkan beliau mengutus surat kepada Za’ba memohon untuk hadir sebagai pendengar, pelajar dan penambah pengetahuan. Bukankah beliau seorang yang ahli? Ketika Indonesia mahu membangunkan nafas baru pada bangsa yang akan dilahirkan, mereka giat sekali memisahkan bau Arab dalam Bahasa Indonesia. Ni’mat ditukar nikmat, hampir-hampir kepada niqmat yang bererti bencana. Beberapa huruf sebutan Melayu yang sesuai dengan bunyi al-Quran dihapuskan demi mengIndonesiakan. Tetapi, beliau kesal mengapa pengaruh Arab tidak dibenarkan, tetapi pengaruh Belanda dan Inggeris dipersilakan.

Bahasa Melayu yang menurut Prof. Al-Attas telah mengalami revolusi rohaniah dengan membanjirnya istilah Arab dan Parsi yang layak mendaki makna-makna kudus dan metafizik yang tinggi. Begitu juga tentang peranan ulama, kedudukan raja-raja sebagai pemelihara agama, kebudayaan Melayu yang kecintaan Buya HAMKA pada perkara itu disuluh oleh iman. Semuanya beliau tuangkan bersama gelas cinta itu dalam persembahan hidangannya bertajuk ‘Kenangan-kenanganku di Malaya’. Mengenai kecintaannya itu, beliau torehkan ;

“akan sampaikah seseorang kepada kedudukan yang dicita-citanya, kalau dia tidak dihantarkan oleh sanjungan dan celaan? Oleh pujian dan penghinaan? Tentu tidak. Di Indonesia dan Malaya, saya selalu mendapat sanjungan dan celaan, pujian dan penghinaan, kadang-kadang disinduk gajah, kadang-kadang digigit nyamuk dan semuannya itu hanya menambah cinta saya kepada tanah air saya, Indonesia dan Malaya” (KKDM, Hlm. 221)

Buya Hamka contoh peribadi pemuda yang bergelora. Saat pena tidak berguna lagi ketika Indonesia mendarurat pada tahun 1948 – 1949, beliau malah menyertai gerombolan tentera merah putih masuk ke dalam hutan turut sama mengangkat senjata. Seorang ulama yang tahu perihal di mana keutamaan dan di mana sebenarnya kepemudaan patut ditumpahkan dahulu.

“Bunuh dirikah namanya seorang yang merasa terpanggil oleh tanah airnya tampil ke medan perang mempertahankan tanah air itu, sehingga dia tewas di medan perang? Tidak, sebab mempertahankan tanah air adalah kewajiban segenap putra tanah air. Mati dalam mempertahankan tanah adalah mati dalam membayar kewajiban” (Lembaga Budi, 2015, hlm. 52)

Penutup

Demikianlah sedikit yang dapat kami kongsikan dalam coretan ringkas ini. Bahawa harus kita ketahui sesuatu yang akan terus malar segar sepanjang zaman tidak tertakluk kepada pasang surut pergiliran hidup ialah kepemudaan dan gelora cinta. Tanpanya, tiada cita-cita yang buat untuk dikejar. Sudah pasti jalan buat menempuhnya tidaklah mudah dan seringan ucapan. Penulis sendiri mengulang bahawa “Kata-kata tidak pernah memberi kenyang. Samalah juang tidak sekali menjamin senang. Di antara keduanya akan ada yang membawa tenang. Dengan cinta dicantumkan ia lalu diperjalankan di medan menuju kota tujuan yang dicita-cita. Samada sampai atau terbuang, hilang atau terbilang, kedua-duanya layak untuk dikenang.

Makalah ini disudahi dengan sama-sama kita merenung kata-kata yang digoreskan oleh “Putera Besar Melayu Raya” seperti di bawah ini ;

“Kita jangan takut jatuh dalam perjuangan, sebab kita tidak akan jatuh lagi. Sebagai anak jajahan kita telah berada di tempat yang paling rendah dan sudah tidak ada tempat yang lebih rendah lagi buat kita jatuh” – Burhanuddin Al-Helmy (1911-1969)

Benarlah, tidak ada kejatuhan yang lebih menyayat hati selain jatuh di tempat paling rendah sebagai bangsa terjajah di tanah air sendiri. Dr Burhanuddin al-Hilmi, bukanlah dihitung sebagai bapa kemerdekaan rasmi. Beliau cumalah berjasa, jauh membayangkan erti kemerdekaan hakiki. Bukan sekadar melepaskan tubuh daripada perbudakan sahaja, tetapi membebaskan aqal fikiran, jiwa dan keperibadian untuk kemudiannya sanggup memikul beban amanah Tuhan di atas muka bumi dan menanggung derita rakyat – manusia yang merintih dari bawah. Ialah Khalifah.

Selamat hari kemerdekaan ke – 64.

Bertarikh : 31 Ogos 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »