MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kenyataan Rasmi Persatuan Asrama Belia Malaysia

Assalamualaikum
Berita kematian menyayat hati seorang pemimpin belia kebangsaan, Abu Qassim Nor Azmi, 28 tahun di langgar dan digilis lori kontena amat mengejutkan saf kepimpinan dan gerakan belia seluruh negara. Pemandu lori di lapor melarikan diri namun difahamkan pihak polis sudah berjaya mengesan pemandu tidak berhati perut itu.

Allahyarham merupakan Exco Majlis Belia Malaysia yang menunjukan pencapaian kepimpinan mengagumkan dan dilihat berpotensi sebagai pemimpin masa hadapan negara. Kejadian malam semalam itu lebih memilukan apabila berlaku di hadapan mata isteri tercinta. 

Kemalangan jalan raya yang diakibatkan oleh kecuaian pemandu-pemandu lori ini bukan cerita baru, malah telah sering kita dengar di dalam berita. Hari-hari pun ada orang yang mati akibat kemalangan dengan lori. Tidak setakat memandu dengan cuai, ramai di kalangan pemandu lori juga terlibat dengan penyalahgunaan dadah sehingga mendedahkan pengguna jalan raya yang lain dengan risiko kemalangan

Ini menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan khalayak misalnya apakah para pemandu lori kita sudah tidak mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan juga apakah pemandu lori kita semakin bongkak dan menganggap diri mereka hebat apabila berada di atas jalan raya kerana memandu kenderaan yang jauh lebih besar berbanding dengan orang lain?

Memang tidak wajar untuk kita menuduh kesemua pemandu lori berperangai sebegitu, namun kejadian yang baru berlaku ini terus memperkukuhkan dan mengiyakan persoalan-persoalan tersebut. Ternyata kemalangan melibatkan lori adalah antara kemalangan yang paling ngeri dan cukup membahayakan.

Walaupun tidak semua kemalangan yang berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu lori terbabit, namun ada baiknya pemandu lori juga lebih berhati-hati dan lebih bertimbang rasa.

Hal ini penting kerana pengalaman kita menunjukkan baik di lebuh raya mahupun di jalan persekutuan, pemandu lori sering kali seolah-olah mengetepikan soal keselamatan diri dan juga pengguna jalan raya yang lain di mana mereka akan memandu dan memotong kenderaan lain dengan laju terutamanya apabila tiada muatan. Ini menyebabkan mereka mudah hilang kawalan sehingga boleh merempuh kenderaan lain.

Apa yang diharapkan ialah di samping pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas ke atas pemandu seperti ini, kita juga menuntut perubahan sikap dan tingkah laku para pemandu lori kita. 

Dalam kes Allahyarham Abu Qassim, kes di disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan OKT hendaklah dihukum dengan penjara mandatori untuk tempoh tidak kurang daripada 2 tahun sehingga tempoh 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5000 dan tidak melebihi RM20000. Hukuman yang menanti di lihat agak ringan dan sepatutnya hukuman jauh lebih berat perlu dikenakankan memandangkan ianya berkai dengan soal nyawa manusia. 

Pada masa sama, soal sikap timbang rasa dan menghormati pengguna jalan raya yang lain perlu dipupuk dan dihayati oleh setiap pemandu lori agar tidak mudah hilang kawalan dan pertimbangan.

Semoga roh Allahyarham Abu Qassim tenang dan damai di sana. Al-Fatehah.

RIZAN HASSAN
Ketua Penerangan
Malaysian Youth Hostels Association (MYHA)
18 Ogos 2014

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »