MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kenyataan Media : Usaha Mengurangkan Kebergantungan Pekerja Asing

KENYATAAN MEDIA
USAHA MENGURANGKAN KEBERGANTUNGAN PEKERJA ASING

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik kenyataan Menteri Tenaga Manusia, YB M. Kulasegaran mengenai usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, tidak kira ianya dari Bangladesh mahupun negara sumber yang lain.

Ketika ini, hampir separuh pekerja asing berdaftar berasal dari Indonesia, diikuti Nepal dan Bangladesh, bakinya dari pelbagai negara seperti India, Myanmar, Pakistan, Filipina dan Vietnam. Media pernah melaporkan bahawa statistik Jabatan Imigresen Malaysia setakat 30 Jun 2017 menunjukkan seramai 1,781,598 pekerja asing sah berada di negara ini.

Kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja separa mahir dan tidak mahir yang mendominasi sektor pembuatan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. Kehadiran pekerja asing secara berlebihan adalah satu fenomena membimbangkan negara. Apa yang lebih membimbangkan adalah kemasukan mereka secara tidak sah yang jumlahnya mengatasi pekerja asing secara sah. Pekerja asing tanpa izin kini dianggarkan seramai 3 juta orang!

Masalah utama isu kebergantungan pekerja asing ialah sikap dan komitmen majikan di Malaysia. Terdapat 2 sebab iaitu:

Meringankan beban majikan dalam mendapatkan pekerja. Kehadiran pekerja asing sama ada secara sah mahupun tidak sah mampu menyelesaikan masalah majikan dalam mendapatkan pekerja ketika diperlukan. Ini boleh menjimatkan kos pencarian dan kos masa yang boleh membantutkan ‘output’ sesebuah operasi pengeluaran.

Menjimatkan kos pengeluaran. Pekerja asing sanggup menerima upah lebih rendah dan bekerja lebih masa. Walaupun kerajaan telah melaksanakan upah minimum, majikan masih boleh mengelak daripada membayar pekerja upah minimum ini dengan mengambil pekerja asing tidak sah. Malah pekerja asing ini sanggup menerima apa saja upah dibayar, di samping mampu memberi komitmen yang lebih tinggi berbanding dengan pekerja tempatan.

Malaysia menuju ke arah negara maju yang bertunjangkan teknologi tinggi dan penggenap kepadanya adalah pekerja berkemahiran tinggi. Oleh itu, selagi berlaku ledakan pekerja asing tidak mahir, selagi itu ia memberi gambaran kepada teknologi rendah yang masih mendominasi proses pengeluaran di Malaysia.

Ini memberi implikasi negatif kepada pertumbuhan output, produktiviti dan keperluan kemahiran, sekali gus memburukkan lagi masalah pengangguran di kalangan belia dalam jangka panjang. Sektor swasta yang mendominasikan dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di Malaysia, mempunyai tanggung jawab besar dalam mengoptimumkan pekerja asing.

Di dalam era Revolusi Industri 4.0, automasi dan penggunaan teknologi lebih canggih juga mewujudkan permintaan tersendiri bagi pekerja berkemahiran lebih tinggi, yang kebiasaannya datang dengan gaji lebih baik dan boleh diisi oleh belia yang dilatih melalui pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta program upskilling & reskilling. Malangnya, ini sukar berlaku di sebabkan majikan bergantung kepada pekerja asing upah rendah sekali gus tidak menggalakkan industri dipertingkatkan.

Kebergantungan tinggi ke atas pekerja asing, jika tidak ditangani, akan mengurangkan usaha automasi, menjejaskan gaji keseluruhan dan menghalang usaha meningkatkan produktiviti. Ia juga akan menjejaskan penghasilan pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengakibatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan berintensifkan buruh serta berkemahiran rendah.

Majikan perlu lebih bertimbang rasa dalam menawarkan upah yang lebih tinggi tanpa mengaut keuntungan berlebihan. Ini boleh menarik minat pekerja tempatan untuk menceburi pekerjaan yang kini dipenuhi pekerja asing. Berdasarkan kepada bilangan penganggur yang ramai berpendidikan menengah, adalah tidak sukar bagi mereka berkecimpung dalam pekerjaan tahap rendah yang kini dipegang oleh pekerja asing.

Majikan perlu telus dalam mengambil pekerja dengan mengiklankan keperluan pekerja dan mengutamakan pekerja tempatan. Dalam hal ini campur tangan kerajaan diperlukan dalam merangka undang-undang bagi memastikan perkara ini berlaku.

Perubahan minda pekerja tempatan. Dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat, mereka sepatutnya mengubah minda agar tidak terlalu memilih pekerjaan.

Golongan belia juga di cabar untuk komited terhadap pekerjaan. Mereka perlu lebih komited terhadap pekerjaan seiring dengan apa yang mampu dilakukan oleh pekerja asing. Mereka perlu menghayati konsep bahawa pekerjaan adalah satu amanah yang perlu dilakukan dengan baik dan berkesan. Dalam hal ini, elemen kemahiran insaniah (softskills) perlu di tekankan dalam peringkat pengajian tinggi dan institusi kemahiran.

MOHAMMAD RIZAN BIN HASSAN
KETUA PENERANGAN
MAJLIS BELIA MALAYSIA

TEL: 013-7733676

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »