KENYATAAN MEDIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM)
BERSEMPENA SIDANG DEWAN TERTINGGI MBM
29 MAC 2015
Bersempena dengan Sidang Dewan Tertinggi MBM pada kali ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil kesempatan untuk menyatakan pendirian belia terhadap beberapa perkara besar yang berkaitan dengan pembangunan belia di negara ini.
Pertama, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut positif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 yang bakal dilancarkan bulan hadapan sebagai satu langkah penting dalam pembangunan sosial, ekonomi dan negara secara keseluruhannya.
MBM berpandangan pelan ini bersesuaian dengan cabaran baru pendidikan tinggi negara (trend pendidikan global) dalam masa yang sama menyantuni keperluan asas dan domestik negara seperti soal perpaduan dan ekuiti di samping menyokong agenda dan program nasional.
MBM yakin menerusi pelan ini negara bakal melahirkan golongan belia yang benar-benar menjiwai identiti sebenar rakyat Malaysia dengan gabungjalin antara enam aspirasi Palajar dan lima Aspirasi Sistem. MBM melihat kesinambungan dari pelan sedia ada iaitu Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan pada 2007 telah menjadi landasan utama dalam merangka hala tuju seterusnya.
MBM turut ingin mengutarakan aspek kualiti output pelan ini terutamanaya dalam hal komunikasi dan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan. Bagi maksud itu aspek kualiti tenaga pendidik perlu ditekankan sama ada mempertingkat kompetensi pendidik sedia ada dan melatih tenaga pendidik baru yang lebih kompeten.
Pastinya MBM menyokong penuh komitmen Kementerian yang meletakkan kualiti graduan TVET sebagai pilihan kedua bagi laluan kelayakan terutamanya dalam memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan sebagai salah satu daripada 10 lonjakan. MBM mengadakan Bicara Terus Terang pada 1 April 2015 sebagai usaha untuk meneliti secara tuntas hal berkaitan demi pembangunan belia seimbang.
Kedua, MBM mengajak golongan belia menggunakan kuasa dan hak pengguna dengan sebaiknya terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan pelaksaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Umum mengetahui terdapat banyak faktor menyebabkan kenaikan harga barang berlaku , namun menjadikan masa pelaksanaan GST sebagai alasan adalah suatu tidakan yang tidak amanah dan bertanggungjawab.
MBM akan menggerakkan sukarelawan Sahabat MBM memulakan pemantauan dan tinjauan ke atas harga barang. Jika terdapat kenaikan sedangkan kedai tersebut tidak mempunyai persijilan GST, mereka dan juga para pengguna boleh lapor terus kepada pihak kerajaan untuk diambil tindakan.
MBM menyarankan usaha penerangan dan perundingan perlu diteruskan dari semasa ke semasa antara pihak yang berkaitan. MBM ingin menegaskan walaupun perlaksanaan GST telah berjalan namun proses penambahbaikan perlu berterusan agar sistem yang mengelakkan ketirisan sumber negara ini dapat dijayakan.
Ketiga, MBM berasa terpanggil untuk menyatakan kebimbingan terhadap menularnya gejala Ekstremisme yang ditonjolkan oleh kelompok Islamic State of Iraq and Syam (IS). Gerakan ini yang turut mempengaruhi belia di negara ini dengan budaya Ekstremis perlu dibendung seutuhnya. Pemahaman terhadap konsep keutamaan dan konsep kesederhanaan perlu dijadikan asas sebagi benteng penghalang unsur ini.
Pihak MBM juga komited memerangi kebatilan IS melalui aspek pendidikan dan penerangan terhadap belia dan masyarakat Malaysia. Usaha MBM ini juga melengkapi usaha yang digerakkan oleh pihak Polis melalui aspek penguatkuasaan dan tangkapan dan usaha yang digerakkan oleh institusi agama melalui aspek pewartaan fatwa.
MBM juga turut akan menggerakkan himpunan besar-besaran pada 4 April 2015 bagi mengumpulkan seramai mungkin belia, NGO dan masyarakat Malaysia daripada pelbagai latarbelakang bertujuan untuk mendedahkan identiti sebenar IS dan melancarkan kempen belia dan masyarakat Malaysia menolak Ekstremisme.
MBM menyeru agar seluruh belia dan rakyat Malaysia menolak IS dan berusaha sebaik mungkin untuk menamatkan perang di Syria serta memfokuskan kudrat untuk membantu penderitaan pelarian dan mangsa perang Syria yang telah dilupakan kesan kesilapan daripada pengangkatan IS sebagai pejuang umat.
Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin
Presiden MBM