KENYATAAN MEDIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA
MBM ANGGAP BELANJAWAN 2019 MEMUASKAN
Majlis Belia Malaysia (MBM) terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap Belanjawan 2019 yang telah dibentangkan oleh pihak Kerajaan melalui Menteri Kewangan Y.B. Lim Guan Eng sebentar tadi. Ia merupakan belanjawan yang ditunggu-tunggu oleh belia dan rakyat jelata memandangkan ia merupakan belanjawan pertama di bawah Kerajaan baharu dan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Secara keseluruhan, MBM menganggap Belanjawan 2019 adalah memuaskan dan MBM terpanggil untuk memberikan maklum balas terhadap beberapa perkara berikut:
- MBM menyambut baik pelan pengurusan hutang Negara dan pelbagai inisiatif yang diumumkan oleh pihak Kerajaan dalam mengurangkan beban ekonomi dan kos sara hidup rakyat B40 melalui Bantuan Sara Hidup (BSH);
- MBM juga menyambut baik inisiatif Graduate Enhancement Programme for Employability (GENERATE) namun jumlah peluang pekerjaan wajar dipertingkatkan daripada masa ke semasa;
- MBM menyambut baik usaha membantu bekas banduan yang terdiri ramai di kalangan generasi muda untuk diberikan peluang kedua melalui potongan cukai tambahan diberi kepada syarikat yang menggaji pekerja dengan had jumlah saran sebanyak RM 4000;
- MBM juga menyambut baik dana RM 70 juta untuk Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) melibatkan belia berumur 15-17 tahun di bawah Kementerian Belia dan Sukan sambil menegaskan keperluan untuk mengerakkan Sekolah ini dengan kerjasama pintar Kerajaan-Korporat-Ngo dan lebih fokus kepada kepimpinan beliawanis;
- MBM juga menyambut baik Dana Wibawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Program Bootcamp namun MBM berasa kecewa kerana jumlah dananya masih lagi rendah dan perlu ada iltizam tinggi Kerajaan untuk menaikkan jumlahnya;
- MBM juga menyambut baik bantuan dana Kerajaan RM 1 bilion kepada golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM 2300.00 sebulan yang rata-rata terdiri di kalangan anak muda untuk memiliki rumah buat kali pertama berharga sehingga RM 150 000.00;
- MBM menggesa agar Kerajaan terus serius memikirkan kenaikan gaji minimum kepada RM 1500.00 pada masa hadapan dengan mengambil kira bebanan majikan bagi memastikan belia dan rakyat Malaysia dapat menangani kos sara hidup dan membuat tabungan;
- MBM berasa kecewa apabila desakan MBM untuk Kerajaan menghapuskan Ujrah PTPTN tidak diendahkan sebagai langkah awal ke arah pendidikan percuma sambil menggesa agar Kerajaan serius memikirkan soal penghapusan ini pada belanjawan seterusnya;
- MBM juga berasa kecewa kerana tidak banyak peruntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khususnya untuk bantuan pentadbiran dan aktiviti pertubuhan belia yang menjadi nadi penggerak agenda pembangunan bakat belia dan agenda sosial Negara. Di kesempatan ini juga MBM suka untuk mempertegaskan semula idea untuk memisahkan belia daripada sukan supaya KBS benar-benar fokus kepada pembangunan belia sahaja;
- MBM sukacita mencadangkan agar pihak Kerajaan mempertimbangkan bantuan khas sara hidup kepada nelayan dan petani sementara menunggu hasil dituai dan sewaktu berhadapan dengan musim tengkujuh;
MBM juga ingin terus berperanan menjadi agen semak dan imbang kepada Kerajaan khusus dalam merangka dan melaksanakan belanjawan agar pengagihan kekayaan Negara berlaku secara adil dan saksama. MBM akan terus menyumbang idea-idea yang bernas kepada Kerajaana demi kepentingan belia dan Negara.
Di ksempatan ini juga, MBM ingin memohon agar belia dan rakyat agar sama-sama menggembling usaha menunaikan tanggungjawab membantu Kerajaan membangunkan ekonomi dan memakmurkan Negara dengan menunjukkan kesungguhan di dalam pelajaran, pekerjaan, perniagaan dan kegiatan kesukarelawanan.
MBM mendoakan agar Kerajaan berjaya menjadikan Malaysia sebagai Harimau Asia semula.
JUFITRI BIN JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 2 November 2018 / 24 Safar 1440 H
Tel : (017) 353 3625
Emel : jufitri1979@gmail.com