MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kemurungan atau depresi bakal membunuh lebih ramai anak muda jika tidak tangani dengan drastik

Oleh :

Sivanesan Tamil Selvam

Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia

Sejak situasi pandemik melanda Negara kita, Angka rakyat Malaysia yang cuba bunuh diri meningkat secara mendadak. Persatuan Psikiatri Malaysia mendedahkan 90 peratus daripada kes cubaan bunuh diri yang dirujuk kepada pakar di semua hospital dalam negara, membabitkan belia.

Menurut laporan kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 melaporkan sebanyak 11 peratus rakyat di negara ini berdepan masalah psikiatri dengan 20 peratus remaja ada masalah gangguan psikologi dan berisiko mengalami masalah mental. Kajian  itu juga menyatakan mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan trend bagi prevalent idea bunuh diri sebanyak 10 peratus.

National Suicide Registry Malaysia (NSRM) melaporkan, kadar bunuh diri adalah 1.3 bagi setiap 100,000 penduduk dengan jumlah kes sebanyak 1,100 kes dari tahun 2008 sehingga 2010. Bagaimanapun, ini hanya berdasarkan kepada kes yang disahkan melalui bedah siasat sahaja.

Kemurungan Punca Kes Bunuh Diri Meningkat Di Malaysia

Kemurungan ini bukan perkara biasa, masyarakat perlu ada kesedaran tentang bahaya penyakit ini. Masyarakat sekurang-kurangnya perlu diberi pendidikan awal agar mereka tahu bagaimana untuk membantu golongan terbabit.

Ada yang mengklasifikasikan kemurungan sebagai isu mental (gila) tetapi bukan semua isu mental sama dengan istilah gila. Masyarakat perlu faham asas gejala mental. Masalah kebimbangan melampau (anxiety), kemurungan (depression) dan ketegangan jiwa (stress) bukan istilah gila. Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 sebelum ini membuktikan sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri. Kajian sama turut menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.

Statistik berkenaan memperkukuhkan lagi hipotesis di mana, isu kesihatan mental di Malaysia, khususnya dalam kalangan anak muda amat serius dan perlu ditangani secara berkesan. Isu ini juga tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Isu depresi ini bukanlah isu yang berlegar di Malaysia sahaja. Di peringkat global, kesannya lebih parah. Menurut laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia ‘Preventing Suicide, A Global Imperative‘, dianggarkan lebih daripada 800,000 orang di seluruh dunia membunuh diri setiap tahun.

Ini bersamaan dengan satu kematian akibat bunuh diri setiap 40 saat. Manakala bagi setiap satu kes kejadian bunuh diri, terdapat kira-kira 25 kes cubaan bunuh diri. Ini adalah satu angka yang agak membimbangkan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab kedua kematian bagi mereka yang berumur 15 sehingga 29 tahun.

Menurut Tan Sri Lee Lam Thye, Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) depresi atau kemurungan menjadi penyakit kesihatan mental utama dialami rakyat Malaysia susulan semakin ramai orang dijangka mengalami peningkatan stres akibat tekanan kerja dan keluarga.

Tanggungjawab Komuniti Bagi Menangani Isu Bunuh Diri

Secara  peribadi saya berharap Kerajaan dapat menambah jumlah pakar psikiatrik dan pakar kaunseling di hospital kerajaan. Mungkin Kerajaan juga boleh memperkenalkan insurans yang turut melindungi golongan ini kerana ia dapat meringankan kos perubatan mereka.

Selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab marilah kita menjadi seorang pendengar dan jangan sesekali mengetepikan mereka. Dengar masalah yang dialami secara aktif. Biasanya mereka yang sedang mengalami tekanan tidak mencari nasihat secara khusus tetapi memerlukan seseorang untuk mendengar secara empati. Ini dapat membantu mereka untuk rasa tidak berkeseorangan di samping mengurangkan tekanan.

Organisasi sosial juga boleh memainkan peranan dengan mengurangkan stigma terhadap mereka yang membuat cubaan bunuh diri serta penyakit mental. Ini dapat dilakukan dengan meningkatkan kesedaran serta sokongan terhadap mereka menerusi media sosial, kempen, bengkel dan sebagainya.

Bunuh Diri Perlu Terus Dijadikan Sebagai Jenayah?

Kerajaan perlu mengkaji sedalam-dalamnya cadangan pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menjadikan kes bunuh diri sebagai satu jenayah. Ini membolehkan mereka yang membuat cubaan bunuh diri mendapatkan rawatan yang sewajarnya dan bukannya dihukum. Ia harus ditangani secara klinikal bukan secara undang-undang semata-mata.

Bertarikh : 2 Disember 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »