MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kaji kembalikan nama Universiti Pertanian

PUTRAJAYA 25 Mei 2013 – Kerajaan diminta mengkaji supaya nama Universiti Putra Malaysia (UPM) ditukar kembali kepada Universiti Pertanian bagi membantu mengubah persepsi negatif orang ramai mengenai pertanian.

Mengesyorkan perkara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, suatu ketika pelajar lepasan Universiti Pertanian pernah dilabel sebagai golongan bijak pandai yang ada kaitan dengan pertanian.

Namun, apabila nama universiti itu ditukar, perkara itu semakin dilupakan masyarakat.

“Pertukaran nama kepada Universiti Putra Malaysia mungkin disebabkan universiti itu menawarkan kursus-kursus lain selain pertanian, tetapi ia tetap boleh dinamakan sebagai Universiti Pertanian walaupun menawarkan kursus lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan MAHA Youth 2013 sempena Festival Belia Putrajaya di sini hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, persepsi orang muda yang melihat pertanian sebagai kerjaya untuk mereka yang berusia dan miskin perlu diubah untuk meningkatkan pembabitan golongan belia dalam aktiviti penjana ekonomi tersebut.

Menurutnya, misi untuk mengubah persepsi negatif tersebut menjadi fokus kementeriannya untuk beberapa tahun akan datang.

Kata beliau, persepsi tersebut tidak betul kerana aktiviti pertanian menjadi pilihan kerjaya popular di negara maju seperti Korea Selatan, Belanda dan Jepun.

“Aktiviti pertanian kini bukan lagi kerja yang mengotorkan kerana teknologi pertanian moden telah menggantikan kaedah cucuk tanam tradisional.

“Kita dalam proses untuk mengubah persepsi supaya belia sedar bahawa pertanian adalah kerjaya dunia moden,” katanya.

Dalam hal ini, kata beliau, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menambah baik prasarana institusi latihan di bawah kementerian itu serta meningkatkan jumlah pengambilan pelatih mengikut keperluan industri.

“Kementerian memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan untuk melahirkan tenaga kerja mahir tempatan dalam bidang pertanian,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »