MAJLIS BELIA MALAYSIA

Jangan Biarkan Golongan Muda Mengabaikan Sistem Demokrasi

Oleh:

Sdr. Sivanesan Tamil Selvam

Felo Penyelidik

Majlis Belia Malaysia

“Dekad Ini Dekad Anda” tema ini bukan sekadar penghias sahaja tetapi mempunyai makna tersendiri jika dikaji dengan teliti. Menurut Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, jumlah pengundi akan meningkat kepada 22.7 juta menjelang tahun 2023 setelah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019  umur mengundi kepada 18 tahun diluluskan. Kenyataan beliau ini sebagai yang dipetik daripada laporan akhbar Berita Harian bertarikh 16 Julai 2020.

Pada masa itu, “atas cadangan barisan pembangkang, kerajaan ketika itu bersetuju dengan cadangan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bagi membolehkan semua warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 tahun layak mendapat hak untuk mengundi.

Persetujuan ini bagi memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka bersama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya, Di Malaysia sokongan  pengundi muda terhadap parti politik terbahagi kepada beberapa faktor antaranya isu-isu lokaliti yang berhubungkait dengan sosio ekonomi, lokaliti dan yang utama adalah cenderung kepada kaum.

Menurut kajian sikap yang dijalankan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14  didapati ramai anak muda tidak berminat mendaftar sebagai pengundi kerana muak dengan ketidakstabilan landskap politik semasa negara.

Menurut Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha seramai 4.2 juta rakyat yang belum mendaftar sebagai pemilih dipercayai dalam kalangan golongan muda dan sebahagian besar mereka adalah Melayu. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana sikap ini akan menjadi virus selamanya sehingga anak muda tidak menunjukkan minat terhadap politik negara.

Sikap dan juga pendirian ahli politik yang sering bertukar parti bagi kepentingan sendiri dan tidak menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat selaku pendukung sistem demokrasi menjadikan golongan muda tidak berpuas hati serta tidak menunjukkan sebarang minat dalam agenda politik negara khususnya pelaksanaan sistem demokrasi asas iaitu mendaftar sebagai pengundi.

Generasi muda hari ini mengharapkan perubahan dalam pemilihan calon yang bukan sekadar dianggap ‘Hero Politik” tetapi mampu berkhidmat untuk kepentingan rakyat. Perkara ini akan memberi impak dalam PRU ke-15, di mana golongan muda yang bukan pengundi akan mengabaikan pilihan raya akan datang.

Melihat kepada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini dan Slim baru-baru ini, jika parti politik meletakkan muka baharu sebagai calon, saya yakin ramai anak muda menunjukkan minat mengundi serta secara langsung memupuk minat mereka untuk mendaftar sebagai pengundi. Sekurang-kurangya masyarakat di lokaliti mengenal siapa calon tersebut, pernah berkhidmat sebagai wakil NGO atau persatuan belia untuk memantapkan kedudukan beliau sebagai calon.

Pemilihan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyaksikan beberapa calon muda diketengahkan yang menjadi agen transformasi arena politik tanah air. Keberanian parti-parti politik yang meletakkan calon muda mengambarkan mereka memahami keperluan untuk mewujudkan “test ground” untuk membuktikan calon muda akan jadi pilihan rakyat pada PRU ke-15 nanti.

Saya percaya lebih ramai calon muda akan dikenalpasti sebelum PRU ke-15 yang mampu berkhidmat atas dasar “ peoples first” demi kepentingan rakyat dan negara.

Lebih ramai calon atau produk dari pergerakan belia yang boleh di angkat sebagai calon pada PRU ke-15 jika kelayakanya menepati misi dan visi parti politik.

Bertarikh : 24 September 2020

(Penulis juga merupakan Ketua Penerangan, Majlis Belia Selangor Daerah Klang)

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »