Majlis Belia Malaysia (MBM) menyifatkan apa sahaja bentuk penghinaan keatas perlembagaan Negara adalah satu sifat khianat dan tidak boleh dimaafkan.
Apa juga yang difikirkan oleh Keon Wong dalam bukunya Rebirth Reformasi Resistence and Hope in New Malaysia yang melakarkan perlambangan mirip Jata Negara secara menghina, tidak dapat diterima sama sekali.
Meletakkan gambar bayi bogel di atas simbol bulan sabit yang melambangkan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan adalah tahap penghinaan tertinggi.
Manusia seperti ini selayaknya disiasat dan dikenakan hukuman yang berat. Berterusan wujudnya watak-watak penghina asas-asas bernegara ini adalah virus yang lebih dasyat dari Covid-19. Selepas Jalur Gemilang, sistem beraja, agama Islam dan hak-hak kaum bumiputera telah lama dulu dihina nista lebih awal.
Selagi penguatkuasaan undang-undang lemah dan gemalai, selagi itulah akan lahir badut-badut penghina negara.
Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang membawa hukuman penjara hingga 3 tahun dan denda hingga RM20,000.00 hendaklah disegerakan. Pemenjaraan adalah ubat terbaik kerana mereka menghina lambang Malaysia Jata Negara.
Janganlah Kementerian Dalam Negeri tersentuh dengan permohonan maaf yang telah Keon Wong ajukan. Itulah wataknya. Menghina dulu, mohon maaf kemudian. Skrip sama yang mudah dibaca.
Murah sungguh harga Jata Negara kalau sebegitu mudah maaf kita berikan.
MBM juga difahamkan ada artikel yang dimuatkan dalam buku tersebut tidak mendapatkan keizinan penulis artikel tersebut sekaligus memalitkan nama buruk penulis tersebut. Ini jelas melanggar etika penulisan dan penerbitan.
MBM mendesak siasatan dan tindakan undang-undang segera diambil ke atas Keon Wong. Buku-buku tulisannya itu hendaklah dirampas dan diharamkan daripada terus diedarkan.
Mohd Fared bin Mohd Khalid
Pengerusi Biro Perundangan Advokasi & Hak Asasi
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 30 Jun 2020