SHAH ALAM 28 Mei – Kementerian Belia dan Sukan akan memperluaskan program FitMasjid ke seluruh negara berikutan sambutan menggalakkan pada hari pelancaran di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, lokasi seterusnya adalah Pahang yang dijangka dilaksanakan selepas Aidilfitri ini.
Katanya, program tersebut bukan sahaja menggalakkan belia mengimarahkan masjid, malah menggalakkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti kecergasan.
“Kementerian mahu menarik belia untuk merapatkan diri dengan masjid dan komunitinya. Selain itu, kita juga mahu menggalakkan gaya hidup sihat iaitu masjid menjadi tumpuan termasuk menjalankan aktiviti dan kegiatan riadah.
“Ini bersesuaian dengan slogan Beribadat dan Beriadah, Fit Dunia dan Akhirat. Kita mahu bentuk belia menjadi individu yang bukan sahaja cergas di dunia tapi juga cergas persediaan di akhirat,” katanya selepas melancarkan program FitMasjid yang julung kalinya diadakan di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim.
Dalam program hari ini, kira-kira 1,000 peserta hadir seawal pukul 5.30 pagi yang turut diselitkan dengan kuliah pagi oleh pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias.
Program seterusnya diikuti aktiviti berjalan kaki sejauh tiga kilometer, larian sejauh tujuh kilometer, kayuhan basikal dan senamrobik.
Khairy menambah, sambutan di negeri ini amat baik dan beliau difahamkan kehadiran peserta sama seperti jumlah jemaah semasa solat Jumaat.
“Pengunjung terutama belia yang hadir menunjukkan minat dan sanggup menunggu sehingga habis program,” ujarnya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/fitmasjid-diperluas-8232-ke-seluruh-negara-8211-khairy-1.335885#sthash.epcRxn79.dpuf