Catatan Perjalanan Pendidikan MyVOC
Di bawah bayangan sebatang pokok, sekumpulan anak-anak bermain sebagaimana anak-anak yang lain. Bermain bola tanpa padang yang sempurna, bermain tali pada tanah berbatu, main masak masak tanpa api, dan ada yang tanpa alas kaki juga celana.
![Tempat kanak-kanak bermain](https://belia.org.my/wp/wp-content/uploads/2015/10/AiE5xhMGQZ6G0oRSwiRj5IJdSPd3euiB4fsDca05kK6r.jpg)
Namun mereka adalah kanak-kanak yang mahu terus hidup walau yang diketahui hanyalah lautan, perahu, pulau dan hal berkaitannya. Malah ada yang tidak mengenali papan hitam, pensil warna hatta tangga sekolah walau sekolah hanya sepelaung dari mereka.
Di bawah bayangan pokok itulah antara dunia mereka selain rumah di atas air. Disitulah dunia kanak-kanak mereka habiskan jika tiada rutin mengikut ibu bapa. Mereka sentiasa riang walaupun terkadang-kala diselangi tangisan akibat wujud ketegangan dan ‘gaduh’ kanak-kanak.
“Kenapa bermain di sini”
“Di rumah tidak boleh buat apa-apa” ujar salah seorang mereka.
“Siapa yang bersekolah, angkat tangan? ”
Hanya dua orang daripada hampir 60 orang kanak-kanak itu yang mengangkat tangan.
Fahamlah kami bahawa apa latar mereka.
Saat pertama kali menghampiri kelompok kanak-kanak ini, mereka hanya memandang kehadiran kami yang berbaju hijau bertulisan MyVOC. Disusuli beberapa laungan suara orang dewasa dari rumah atas air itu memanggil mereka pulang.
Sebagai team leader, saya mula menyapa dan masuk memesrakan diri bersama kelompok kanak-kanak ini. Penerimaan mereka positif terutamanya bila sudah boleh bermain bola dan bertegur sapa dengan kanak-kanak yang lebih besar dan agak dominan di situ.
Memandangkan tiada orang dewasa di situ, khidmat kanak-kanak yang lebih besar tadi kami gunakan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan kanak-kanak lain. Nyata mereka punya sifat kepimpinan dalam mengatur kelompok tersebut yang kurang faham berkaitan arahan lisan kami.
Sedikit ‘jajan’ sebagai salam perkenalan kami mula keluarkan daripada beg kami. Suasana agak kelam kabut bila mana kami mula mengedarkan salam perkenalan itu, seterusnya membahagikan buku dan pensil warna. Sekali lagi kelompok kanak-kanak yang lebih besar itu menunjukkan sifat kepimpinan walaupun sedikit kasar. Mungkin sesuai dengan bahasa mereka.
Saat tersebut beberapa anak-anak kecil mula terhimpit dan mohon simpati bila dalam barisan yang teratur tadi mula kucar kacir menjadi kelam kabut. Mana yang kecil kami beri keutamaan dahulu kerna mahukan kanak-kanak dewasa akan kekal di situ untuk misi kami yang utama iaitu pendidikan asas mengenalkan buku dan pensil warna.
Suasana ini menarik beberapa kanak-kanak lain dan orang dewasa wanita dari rumah atas air itu datang ke bawah pokok itu berjalan mengharungi tanah lumpur akibat air laut surut. Mereka turut sama meminta untuk anak-anak mereka, mujurlah bekalan kami mencukupi.
Selesai pembahagian kami mulai dengan mengenalkan alatan yang kami bawa dan edarkan tadi (buku drawing dan pensil warna). Kami ajak mereka untuk mula melukis di bawah bayangan pokok itu namun tak seorang pun melakukannya. Kami mula membuat demo cara membuka kotak pensil warna dan cara melukis di dalam buku tersebut.
“Siapa yang tahu melukis ?” tiada jawapan.
“Apa yang selalu kamu lihat?”
“perahu !” sahut mereka.
Mari kita lukis sama-sama.
Kami pun melakukan demo melukis pada buku lukisan tersebut sambil mengarahkan pandangan kanak-kanak itu menghadap pemandangan di hadapan mereka. Selepas itu kanak-kanak yang berminat dan teruja mencuba mula mengambil ‘port’ masing-masing di bawah lindungan pokok itu.
Kepuasan dan kegembiraan terbayang, sambil melukis sambil menjamah jajan di tangan masing-masing. Beberapa kanak-kanak itu tidak melepaskan peluang merakamkan gambar bersama kami dengan penuh keseronokan. Kami nikmati suasana ini semahunya, betapa kanak-kanak ini merasakan sesuatu yang berlainan pada hari itu.
Rombongan kami mula meninggalkan kelompok kanak-kanak itu kembali menaiki cerun bukit ke tempat pakir kereta. Langkah kami diiringi ucapan terima kasih dan lambaian daripada kanak-kanak itu.
Setiba di pakir kenderaan kami, saya melangkah kembali menoleh dan melambai kepada kumpulan kanak-kanak itu. Beberapa orang kanak-kanak di bawah pokok itu meluru berlari mendaki cerunan sambil menjerit
“Cikgu!! Cikgu!!” sambil buku di tangan mereka
![Skuad MyVOC menyerahkan set buku mewarna kepada 200 orang kanak-kanak di pusat pemindahan Kg Simunul. Aktiviti yang diadakn bersama kanak-kanak bersama komuniti sukarelawan pendidik di Semporna sedikit sebanyak telah menceriakan kanak-kanak terbabit.](https://belia.org.my/wp/wp-content/uploads/2015/10/12108962_1111945785490200_6773596253223685157_n.jpg)
Kami sedikit tersentuh, apakah mesej yang mereka cuba sampaikan. Mereka mengejar masa depan mereka. Mungkinkah seperti cerita Laskar Pelangi.
Sepohon pokok itu mungkin lebih setia menaungi mereka disitu dan hidup berbakti dan menjadi saksi kehidupan kanak-kanak itu.
Persoalan itu bermain di minda kami. Mungkin usaha kita ini masih terlalu sikit dan terlalu singkat. Pasti ada sukarelawan yang lebih maklum akan hal ini dan akan kekal serta cekal membangun generasi kanak-kanak Bajau Laut @ Pala’u ini.
Ini adalah sedikit sentuhan rasa Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui program Komuniti Kesukarelaan Belia 1 Malaysia (MyVOC) bidang Pendidikan memberi khidmat dan mendekati masyarakat minoriti. Mereka adalah salah satu kelompok dalam Dasar Belia Malaysia yang akan terus didekati.
Ahmad Saparudin Yusup
Kg Kabok Kunak
Sabah.
14 Oktober 2015