Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, usaha itu selari dengan hasrat membantu usahawan muda untuk menceburi dunia perniagaan.

“Ini kerana banyak maklum balas yang diterima mengatakan dana itu ada, tetapi cara mendapatkannya terlalu sukar.

“Faktor itu disebabkan dana atau skim yang ditawarkan perlu melalui terlalu banyak kerenah birokrasi,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara, Sidang III, Penggal ke-30 2015-2016 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini semalam.

Yang turut hadir Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’mar Ghadafi Jamal Jamaluddin.

Sehubungan itu, Khairy meminta supaya agensi berkenaan merakyatkan dana usahawan tanpa meletakkan syarat yang ketat terhadap pemohon dalam usaha membantu peniaga muda.

“Bayangkan usahawan muda yang datang dari luar bandar untuk pergi ke agensi berkaitan dan terpaksa melalui proses yang ketat, sudah pasti ia menjadi satu perkara yang menakutkan.

“Oleh itu kita perlu merakyatkan semua dana usahawan yang ditawarkan kerajaan supaya ia mudah diakses,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut menyentuh aspek memperhalusi penubuhan Tabung Usahawan Belia yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

“Kementerian bukan institusi kewangan yang sepatutnya diberi mandat untuk memberi pinjaman atau mengejar pembayaran balik pinjaman.

“Sebab itu saya cadangkan supaya setiap skim dan dana yang diwujudkan kerajaan bagi usahawan muda dikendalikan oleh institusi khusus yang wujud dalam kerajaan seperti Agro Bank atau Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) manakala Kementerian Belia dan Sukan menjadi fasilitator,” katanya. – UTUSAN ONLINE