Oleh :
Ts Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah Kanan
Sekolah Pendidikan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia
Pada era kini, media sosial menjadi tempat lambakan pelbagai video yang boleh ditonton secara bebas oleh pelbagai lapisan masyarakat seperti di facebook, instagram, twitter, tik tok dan lain-lain. Reception theory (stuart hall, 1980) menyatakan interpretasi seseorang terhadap paparan video tersebut iaitu penerimaan positif dan negatif bergantung kepada individu itu tersendiri. Individu itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti umur, pekerjaan, pendidikan, latar belakang keluarga dan sebagainya. Apa yang merisaukan, kita sering melihat kandungan video yang dipaparkan di media sosial seakan menjadi trend normalisasi perkara yang bertentangan dari sudut tuntutan agama.
Sebagai contoh video yang menunjukkan wanita sentiasa betul, tarian ahli keluarga yang melampaui batas sebagai lambang sporting, buli sebagai satu gurauan sahaja dan pelbagai lagi. Seharusnya setiap perlakuan tersebut dinilai berdasarkan apa yang telah dituntut dalam agama dan bukan berdasarkan pendapat masing masing mengikut status quo. Lebih malang lagi, apabila ikon atau idola masyarakat sendir menjadikan ia sebagai isu kecil dan perkara biasa dalam kehidupan. Ini jelas diterangkan dalam law of attraction, jika minda kita adalah makanan yang positif pasti pemikiran dan tindakan yang positif yang akan dilakukan. Akan tetapi jelas masih ramai lagi memberi pendapat berdasarkan rasa dan pengalaman sendiri berbanding apa yang dituntut agama.
Budaya normalisasi kesalahan yang tidak selari kepada tuntutan agama perlu diambil tindakan yang serius. Kita sering memperjuangkan kepada generasi Z dan ALPHA bahawasanya adab itu lebih penting dari ilmu. Hakikat sebenar yang berlaku kini, negara kita telahpun berjaya melahirkan ramai cerdik pandai, cendiakawan seperti peguam, jurutera, doktor, guru dan lain-lain. Akan tetapi masalah berkait adab pula menular tinggi di kalangan masyarakat. Kenapa ia berlaku, adakah berpunca daripada diri kita sendiri yang telah menormalisasikan perkara yang tidak sepatutnya seperti isu disiplin pelajar di sekolah mahupun universiti, menormalisasikan budaya buli di tempat pengajian atau tempat kerja, isu politik tanpa perlu merujuk pakar agama dan pelbagai lagi. Sebagai contoh, golongan bangsawan yang didapati bersalah oleh mahkamah boleh dipertimbangkan hukuman yang ringan sedangkan hukuman bagi rakyat biasa sebaliknya.
Ini menunjukkan apa yang kita rancang untuk melahirkan masyarakat minda kelas pertama tidak selari kerana adanya budaya normalisasi yang kian menular. Benar, semakin ramai bijak pandai namun semakin kurang adab yang berlaku. Oleh itu, tindakan perlu diambil segera agar ia tidak melarat kepada perkara yang lebih teruk lagi untuk generasi akan datang. Ada tindakan yang betul dan baik perlu dikekalkan seperti membenarkan pelajar sekolah memakai baju pendidikan jasmani sewaktu musim panas, membenarkan pelajar universiti belajar secara dalam talian sewaktu musim cuti perayaan, memberi pilihan kepada pekerja bekerja dari rumah dan lain-lain.
Kita sering diajar secara turun temurun, sistem yang ada pada masa kini dibuat oleh manusia, maka ia tidak sempurna dan tepat. Oleh itu, mengapa tidak kita sendiri memperbaiki sistem sedia ada dari masa ke semasa agar ia lebih relevan mengikut peredaran zaman. Langkah pertama dalam proses pembetulan sistem ini adalah mengenal pasti kesalahan yang telah berlaku. Kesalahan ini boleh berlaku dalam pelbagai aspek, seperti pengumpulan data yang tidak tepat atau interpretasi data yang salah. Sama seperti dalam tuntutan agama, al-Quran itu sendiri tidak boleh diterjemahkan sendiri secara terus direct melalui pemahaman kita. Ia perlu dirujuk kepada ilmuan agama.
Selepas itu, adalah penting untuk menilai risiko kesalahan tersebut terhadap keputusan atau pengetahuan yang berkaitan. Komunikasi dengan jelas kepada komuniti pakar bidang seperti ilmuan agama perkara berkaitan tuntutan agama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perkara berkaitan dengan bahasa, Kementerian Kesihatan berkaitan dengan infomasi penyakit dan wabak. Ini membantu mencegah penyebaran maklumat yang tidak tepat atau menyesatkan. Kesalahan yang telah dikenal pasti perlu diperbetulkan dengan cara yang sesuai mengikut medium sedia ada seperti langkah advokasi DBP dalam penggunaan ayat dan tatabahasa bahasa Melayu yang betul di media sosial.
Pihak bertanggungjawab perlu lebih kreatif dalam memberikan garis panduan kepada pencipta kandungan (content creator) agar video paparan yang dihasilkan mempunyai mesej positif dan memberi nilai tambah kepada masyarakat. Ini boleh dilakukan dengan melibatkan aktiviti pengujian semula, analisis data yang lebih mendalam, atau pembuktian semula konsep-konsep yang terkesan. Akhirnya, adalah penting untuk mengambil pengajaran dari kesalahan yang telah berlaku. Ini melibatkan pembaharuan prosedur pengujian dan peningkatan kesedaran terhadap faktor-faktor yang boleh menyebabkan kesalahan di masa depan. Proses ini memerlukan kerjasama antara para ilmuan, pakar bidang dan pihak yang berkepentingan lain bagi memastikan integriti dan kandungan yang dihasilkan tidak membawa kesan yang buruk kepada generasi muda.
Justeru itu, untuk menangani penularan normalisasi perkara yang tidak betul di kalangan masyarakat khususnya generasi muda, tindakan yang serius perlu diambil. Pendidikan dan kesedaran masyarakat harus ditingkatkan melalui program-program pendidikan awam dan kempen kesedaran yang menyeluruh. Ini penting untuk membentuk persepsi yang betul tentang nilai-nilai moral dan etika dalam masyarakat. Penguatkuasaan undang-undang perlu diperketatkan untuk memastikan individu yang terlibat dalam perilaku yang tidak betul dikenakan tindakan yang sewajarnya. Tindakan tegas ini akan memberi amaran kepada masyarakat bahawa tindakan melanggar undang-undang tidak akan ada toleransi.
Kesimpulannya, peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat sangat penting. Media harus bertanggungjawab dalam memberikan liputan yang seimbang dan tidak mempromosikan atau normalisasi perilaku yang tidak betul. Dengan tindakan bersama-sama dalam pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan peranan media, diharapkan penularan normalisasi perkara yang tidak betul dapat hindarkan. Model triangulation seperti kerjasama antara ibubapa, pelajar dan pendidik perlu memahami secara jelas kod etika profesional agar ia tidak melangkaui dari tugasan utama masing-masing. Ibu bapa memainkan peranan penting di rumah, pendidik pula sewaktu pelajar berada di sekolah atau kolej. Selain itu, pelajar sendiri perlu dilatih, diajar, dipandu, dibimbing untuk bijak memilih perkara yang positif, memilih keputusan yang betul adalah penting demi masa depan negara.
Dengan hikmah, kita teroka, kerana tuhan untuk Manusia.
Bertarikh : 16 April 2024