MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bina landasan saling mengerti

maliki_songkokOleh Mohamed Maliki Bin Mohamed Rapiee

“BAPAK! Ayuh beli songkok ini pak! Murah saja. Songkok ini Safee Sali pun sudah beli pak!”. Begitulah kata-kata penjual pakaian di Pasar Baru, Bandung sewaktu saya dan rombongan belia Malaysia berkunjung ke kota raya itu pada awal Disember lalu. Terasa lucu tetapi bangga apabila nama penyerang sensasi bola sepak negara menjadi buah mulut rakyat Indonesia, malah menjadi pelaris barangan jualan mereka.

Populariti dan penerimaan Safee Sali di negara jiran jelas berlawanan dengan sikap yang ditunjukkan sebahagian orang sebagaimana yang kita lihat sewaktu Demonstrasi Bendera atau perlawanan bola sepak membabitkan pasukan kedua-dua negara.
Bagi pihak Majlis Belia Malaysia (MBM), hubungan antara Malaysia dan Indonesia perlu sentiasa dalam keadaan baik dan dipertingkatkan. Umumnya mengetahui kedua-dua negara ini memiliki jati diri dan latar belakang persejarahan hampir sama.

Selain berada pada kedudukan geografi yang terikat sebagai jiran yang berkongsi sebuah selat antara paling sibuk dan penting di dunia, kedua-dua negara ini sebenarnya mempunyai kepentingan yang saling berhubungan dan simbiosis.

Sebagai contoh paling jelas, Kumpulan AirAsia Berhad dalam laporan Julai 2011 mencatatkan peningkatan aliran trafik udara sebanyak 19.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Terdapat 14 destinasi penerbangan yang menghubungkan KLIA dengan bandar raya utama Indonesia. Pergerakan ulang-alik rakyat memberi impak besar ke atas sosioekonomi kedua-dua negara.

Bagi pihak Malaysia, Indonesia adalah pembekal tenaga kerja utama yang menggerakkan pembangunan negara ini. Sebagai pulangannya, Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di Malaysia mengirim pulang ke tanah air mereka wang berjumlah AS$1.7 bilion (RM5.3 bilion) pada suku ketiga 2011.

Catatan Bank pusat, Bank Indonesia (BI) juga menyatakan angka terbabit lebih daripada separuh jumlah wang dikirim pulang TKI yang bekerja di rantau Asia Pasifik.
Hubungan erat dan perkongsian kepentingan kedua-dua negara ini tidak pula mampu mengelakkan terjadinya konflik serta isu yang membimbangkan. Jika tidak ditangani dengan bijak ia mampu menyemarakkan api ketegangan kedua-dua pihak.

MBM melihat punca kepada permasalahan ini ialah terdapat isu yang bertindih membabitkan hal kedaulatan seperti sempadan laut dan maritim. Isu seterusnya adalah yang berkaitan kebudayaan dan ekonomi.

Ini adalah isu yang perlu ditangani secara bijak dan berterusan. Bagi pihak MBM, adalah menjadi satu perkara penting untuk memastikan golongan belia di kedua-dua negara memiliki sikap sederhana dan hormat-menghormati dalam mendepani isu yang tercetus.

Kita sedar golongan belia adalah individu paling ramai terbabit dalam demonstrasi anti-Malaysia. Sebab itulah MBM secara konsisten membina hubungan baik dengan pertubuhan belia di sana.

Pada 17 September 1979, Persefahaman Belia Malaysia dan Indonesia ditandatangani di Kuala Lumpur. Ia membabitkan Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) dan Majlis Belia Malaysia (MBM). Sejak itu, terdapat beberapa MoU membabitkan persefahaman bagi pelbagai kepentingan bersama ditandatangani sebagai bukti komitmen kedua-dua pihak.

Sebagai acara kemuncak, kedua-dua badan induk belia ini bersetuju mengadakan Dialog Malindo yang dijalankan secara bergilir pada setiap tempoh dua tahun. Namun, menyedari isu yang timbul tidak boleh diselesaikan melalui dialog berkala dua tahun sekali, MBM mengorak langkah menggalakkan pelbagai bentuk perhubungan, termasuk lawatan kerja, forum serta pertukaran nota perbincangan dari semasa ke semasa.
MBM menyambut baik idea yang dilontarkan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, agar kita dapat memanfaatkan warga belia kita yang bekerja atau belajar di Indonesia sebagai Duta Kecil yang mampu membina hubungan serta menjelaskan sikap sebenar rakyat Malaysia terhadap rakyat Indonesia.

Kini terdapat kira-kira 6,000 rakyat Malaysia iaitu majoriti belia yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di Indonesia. Inisiatif mengadakan Bandung Games oleh Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS) sejak 2010 harus dipuji kerana mampu meningkatkan perhubungan kedua-dua negara. Melalui program interaksi sukan ini, mahasiswa Malaysia dan Indonesia bergabung mewakili wilayah (propinsi) masing-masing dalam pertandingan sukan.
Pada tahun akan datang, MBM mencapai persetujuan dengan KNPI agar Bandung Games diselitkan dengan acara dialog, inap desa dan persembahan kebudayaan. Lebih menggembirakan apabila Pemerintah Walikota Bandung iaitu Dada Rosada sendiri begitu menghargai inisiatif belia Malaysia dan berjanji akan menyokong penganjuran akan datang.

Kotaraya Bandung dipilih sebagai pusat aktiviti dan pertemuan belia Malaysia – Indonesia kerana kedudukannya sebagai destinasi popular rakyat Malaysia yang ingin melancong, membeli-belah dan beriadah.

Tambahan pula kini terdapat kira-kira 2,000 mahasiswa Malaysia yang mengikuti pengajian di sana. MBM akan memanfaatkan mahasiswa ini sebagai ejen penyalur maklumat dan pembina hubungan dengan rakan belia Indonesia.

Malah, jika terjadi sebarang kejadian yang memerlukan bantuan di sana seperti bencana atau gempa bumi, maka kita boleh menggerakkan mahasiswa ini sebagai sukarelawan belia Malaysia. Hal ini pasti lebih menjimatkan kos serta mampu mencapai kesan lebih mendalam kerana mereka berada pada kedudukan lebih hampir dengan lokasi serta sedia memahami suasana di sana. Kepentingan hubungan antara belia Malaysia dan Indonesia diakui sendiri Akbar Tanjung, Bekas Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia serta Ketua Umum Partai Golkar sewaktu majlis Dialog MBM-KNPI berkenaan Demonstrasi Bendera anjuran Persatuan Pelajar Indonesia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu.

Beliau menyatakan pengalaman terbabit sebagai pemimpin pemuda dan seterusnya menjalinkan hubungan kerja dengan Datuk Seri Najib Razak yang pada waktu itu pemimpin belia Malaysia banyak mempengaruhi sikap dan pemikirannya sewaktu mentadbir Indonesia.

Hubungan awal tersebut memudahkan proses perhubungan antara kedua-dua negara. Hal ini juga saya tanyakan kepada Perdana Menteri dan beliau turut mengakui bahawa pemimpin belia perlu memahami isu di antara negara dan membina hubungan awal sesama mereka.

Perdana Menteri mengakui hubungan akrab beliau bersama pemimpin Indonesia yang terjalin sewaktu terbabit sebagai pemimpin belia memudahkan penyelesaian beberapa isu yang tercetus antara Malaysia-Indonesia.

Justeru, Perdana Menteri berharap Dialog Malindo yang beliau cetuskan pada 70-an dimanfaatkan sepenuhnya. “Carik-carik bulu ayam, akhirnya bertaut juga. Bagaikan aur dengan tebing”, begitulah perhubungan belia Malaysia dan Indonesia yang ingin kita capai demi kelangsungan dan manfaat rantau Asean yang semakin menjadi tumpuan daripada sumber dan perekonomian seluruh dunia.

Penulis berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »