Oleh:
Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik
Majlis Belia Malaysia
Bukan tidak ramai mahasiswa yang menghadapi masyarakat. Tetapi sifat kehadiran mereka itu seperti potongan parcel yang terpisah daripada kek sosial. Tidak menjadi sebahagian daripada ‘krim’ dalam kek berkenaan. Bukanlah ini akan membantah peranan mahasiswa sering mengambil bahagian dalam program-program bersama masyarakat. Samada ia datang oleh kesedaran dhamir dan intelektual mereka akan tanggungjawab moral atau senaifnya masuk melalui program yang menjadi pra-syarat graduasi atau program persatuan.
Pertama perlu didefinisikan istilah ini. Belia tercerah adalah kelompok anak muda tidak dihitung daripada latar belakang pengajian atau pekerjaan. Mereka adalah kategori sosial yang berbeza dengan kolompok seangkatan lainnya yang merangkul gelar kemahasiswaan atau kebeliaan dalam pagar kampus sahaja. Di luar daripada itu mereka hanyalah kelompok massa yang tidak lebih daripada bahagian masyarakat yang regresif. Belia tercerah bukan semestinya menerima latihan tingkat pelajaran tertentu. Memiliki ijazah atau sijil bergulung lipat bukanlah ciri yang menonjol kepada kelompok ini. Mereka boleh ditemui daripada kumpulan orang lambak yang tidak menerima pendidikan sekalipun. Apa yang menjadikan mereka tercerah ialah sikap terhadap soal-soal besar dalam hidup dijalani dengan kritis. Mereka tidak dicairkan di tengah hangat udara atau termasin oleh lautan gelombang yang memenuhi seluruh nafas mereka. Pergaulan dengan kelompok massa di luar tidak menghilangkan kecerahan aqal rohaninya. Seperti ular, menyusur di akar, berdiam di belukar, menggeser di tanah, tetapi bisanya tidak pernah hilang. Mereka tidak dipengaruhi oleh sekitaran sosial yang bagaimana sekalipun berlawanan.
Tentang bagaimana sikap mereka itu terlahir boleh dicarik dan dihuraikan. Budaya membaca merupakan pokoknya. Pekerjaan yang tidak akan pernah tamat sepanjang usia. Usai dia hadir mencampuri kerja masyarakat, dia menyelak selaman dua buku. Halaman yang dibaca diperfikirkan sedalamnya. Berita yang tiba disaring, dikomentar dan direnung sehalus siasatnya. Dia dapat membaca tanda-tanda. Ketika orang lain tidak dapat melihat hutan kerana pohon-pohonnya, dia dapat sahaja menangkap kedua-duanya. Kelompok ini tidak langka, cuma mereka kurang disuburkan oleh wawasan-wawasan besar tentang sikap kegunaan pengetahuan untuk mengubat dada rakyat. Pengetahuan dikalangan kelompok yang melalui sosialisasi samada di universiti atau pentas-pentas kepimpinan seperti mereka banyah diarah dan dinisbahkan kepada membidik kerjaya. Kepada belia tercerah, itu hanyalah kesan hiliran. Selesai pada urusan di hulu falsafah pengetahuannya untuk membaik-baik kemanusiaan, mengutuh dimensi keinsanan, kerjaya dengan rupa begitu akan sendiri terbangun di tangan kreativitinya.
Melawan kejahilan dan pembodohan – simbol yang sering tersangkut di pagar kampus atau gelanggang wacana berprestij sentiasa dalam radarnya untuk dipindahkan ke dada warga. Gelora intelektualisme dalam halaqah-halaqah buku sangat sering didengungkan di sana. Setengahnya jadi perhiasan lisan untuk melambungkan diri oleh kefasihan. Sedangkan di wacana rakyat tidak ada suatu kelompok yang menjambatani. Oleh belia tercerah diharap dapat menangani.
Harus juga dibicarakan kelompok ini dalam kalangan kaum siswa terpelajar. Di sana paling kerap kegiatan pencerahan kelompok ini diintip. Mereka membandingkan apakah sistem yang ada hari ini masih boleh diharapkan untuk menangani keciciran, ketirisan, rasuah dan penyelewengan. Atau bentuk ekonomi bagaimana yang lebih membawa sejahtera. Dalam mandala epistemologi terdengar perlawanan mereka terhadap ilmu-ilmu warisan kolonial yang harus segera dibalas oleh citra kesejagatan nilai sendiri yang sarat. Masyarakat tertawan harus dibebaskan daripada terperangkap oleh hegemoni Barat. Bagaimana budaya ilmu, perbahasan sihat dapat dipertingkatkan. Apakah kualiti kepemimpinan yang ideal dapat dijelmakan – jika pantulan perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri dijadikan ukuran, di mana kita sekarang? Cukupkah dengan bertempik, bertegang urat mempertegak benang basah tanpa asas dan landasan ilmiah masih menjadi nuansa yang dipersembahkan? Apakah kita tidak boleh membangun dengan swa-acuan, tidak sebagai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Ke kiri tidak menjadi, ke kanan tidak menepi. Akhirnya duduk di tengah-tengah dilambung arus datang, tidak menemui dataran tempat mendarat.
Secara normatif ada kelompok yang bicara tentang negara Islam, bagaimana mendaulatkan masyarakat qurani lagi rabbani dengan pendekatan inklusif – merangkul semua khalayak. Rangkaian perbincangan ini walaupun telah berpuluh tahun didengungkan, namun ianya masih jauh daripada merakyat di tengah masyarakat luas. Alasannya apakah? Kerana sentuhan belia tercerah setidak-tidaknya tidak tampil menyarung baju, memakai bahasa, bersenda dengan hawa rakyat terbanyak dan menanamkan cita-cita pembaharuan yang sepatutnya. Kita tidak boleh mengharapkan perubahan yang dicita-cita dapat berlangsung dengan pertolongan langit semata, tanpa tangan dan kaki berani berusaha. Memang ada kelompok tercerah itu yang masuk ke tengah masyarakat, menjadi ahlinya – namun mereka akan tumpul. Entah larut dan cair, menurut arus tengah yang lesu itu atau sememangnya idealisme pencerahan itu tersangkut dalam bulatan (circle) intelektual di dada-dada gerakan buku sahaja? Di sini kita tegaskan – peribadi yang kuat itu, hidup menentukan arus bukan ditentukan arus. Merekalah sepatutnya yang dapat mengolah.
Aktivis pelajar sering dibelit nostalgia tentang zaman pendahulu mereka di kampus yang menjadi jurubicara rakyat. Penulis ini juga bahkan. Tenggelam benar dalam keasyikan mengenang gelora perjuangan mahasiswa khususnya era 60 – 70-an Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Teknologi MARA yang benar-benar meletakkan satu penanda aras giat gelora kemahasiswaan yang bersemayam dalam sejarah yang gemilang. Namun, kita hari ini harus berani bukan lagi melantun sejarah, malah mengulangnya. Berani memikul beban derita dan sahut bersahutan suaranya yang garau dan resah.
Beberapa kelebihan anak muda tercerah ini tentunya dapat diterangkan. Mereka menguasai saraf nadi ilmu yang membantu memecahkan kekelabuan yang muncul di muka masyarakat. Mereka kiranya diharapkan dapat mengenalpasti masalah, mengecam, mengiktiraf dan menemukan jalan keluarnya. Kelompok ini juga sentiasa bersikap self – retrospective (muhasabah kendiri), bercermin diri di tengah terang dan menyuluh ke muka di malam kelam. Istimewanya, kerana mereka belia – muda dan bertenaga – apalah lagi diharap untung yang lebih daripada itu? Justeru, kelompok ini benar-benar jika tidak berlebihan ditagih jasanya memikul perubahan di gelanggang masyarakat. Tentu sekali mereka itu tidak sekali-kali dapat diceraikan sifat kemanusiaannya. Lemah juga oleh sebab-sebab yang ganjil sekali. Ia tidak akan dibicarakan di sini.
Untuk memberikan saranan, aktivisme kelompok ini harus menciptakan kepelbagaian pusat kuasa (multiple centers of power), menyelinap di setiap premis sosial khususnya di peringkat umbi luar bandar. Mereka boleh bergiat dalam kegiatan bukan kebendaan semata. Tidak terpasung oleh teori dan konsep-konsep berfalsafi. Jika berkuasa, mereka pastinya diharapkan menguasai modal yakni menguasai komuniti melalui sumber ekonomi. Punca kuasa yang menguasai ubun-ubun masyarakat seperti kekuatan tauhid, kepimpinan dan ekonomi diyakini terhimpun dalam bakat belia tercerah ini. Menguasainya sepertilah metafora deep people (rakyat dalam rakyat) – menguasai rakyat, memastikan mereka berada pada kompas moral dan kemajuan. Belia tercerah yang mengawal dan memberikan arah kepada perjalanan rakyat dalam perlumbaan yang jauh ini.
Adalah tidak mustahil untuk memberikan definisi baharu kepada kelompok tercerah yang sebelum ini merupakan kutub yang sering dilihat berlawanan dengan pemain industri, terapung dan tidak membumi. Diperlukan kedua-duanya untuk menolak plat tektonik manusia menuju ke arah gempa perubahan yang dicita.
Setidaknya secara sederhana, kelompok belia tercerah harus masuk membaur (diffuse) dalam gerakan belia yang mempunyai akar merakyat di luar bandar khususnya. Gerakan Belia 4B Malaysia sebagai mithalnya. Dengan cawangan sebanyak 1950 buah di seluruh Malaysia, gerakan ini bahkan mengalu-alukan keterlibatan kelompok ini. Membawa perubahan tidak semestinya halangan sekufu pemikiran menjadi alasan. Jika belia tercerah berperibadi kuat, anjuran perjuangannya membawa makruf, akhlak dan kebijaksanaan ditaruh, tiada alasan lain untuk kelompok massa di luar untuk menyertai daftar pembaharuan yang dijuangkan. Bayangkan jika kita memiliki kekuatan di akar umbi – para ideolog, pemikir dan kumpulan pelaksana dikalangan belia massa yang jujur untuk belajar dan berkhidmat dan bergerak sederap. Cuma, mereka tidak memiliki peluang atau terlepas daripada bimbingan cerdas.
Menyertai gerakan yang memiliki tunjang mungkin agak susah pada awalnya. Amalan politik dan kepuakan oleh sebab organik, budaya selesa dengan cara lama, sikap nafi ilmu, kurangnya pendedahan pada tema dan gagasan besar semua boleh diperhitungkan sebagai alasan. Tetapi, dengan kejujuran dan kesabaran, saudara-saudari belia tercerah, dengan bakat dan kemahuan untuk menyumbang pintunya akan terbuka menjelang. Justeru, di sanalah patut ditumpahkan segala kecemburuan yang sering dirundung dalam teks dan teori. Tiba masa belia tercerah terjun menghadap kami di bawah ini.
Bertarikh : 15 Mac 2021