KUALA LUMPUR 2 Jan. – Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang kecewa melihat anak muda Melayu cukup mudah diperalatkan oleh pihak tertentu untuk menjayakan perhimpunan haram.
Keng Liang berkata, pemerhatian mendapati dalam setiap perhimpunan haram termasuk Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka kelmarin, kehadiran anak muda Melayu melebihi 90 peratus.
Tegasnya, kehadiran anak muda kaum lain dalam perhimpunan sedemikian adalah sangat rendah iaitu di sekitar 500 orang bagi jumlah kehadiran 10,000.
“Dalam siri perhimpunan haram di ibu negara, anak muda Melayu didapati menjadi benteng hadapan.Ini satu trend yang tidak bagus, kenapa mereka ini terlalu mudah dipergunakan,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Keng Liang menasihatkan anak muda Melayu yang berminat dengan politik supaya lebih cerdik dalam apa jua tindakan.
Katanya, anak muda Melayu perlu sedar jika ditangkap pihak berkuasa, pihak yang mempergunakan mereka akan lepas tangan.
“Mereka kena cerdik, nak main politik janganlah sampai dipergunakan pihak yang mempunyai agenda peribadi.
“Maaf cakap, anak muda bangsa lain lebih tahu apa yang lebih penting untuk masa depan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Keng Liang menjelaskan bahawa teguran dan kritikan yang dibuat terhadap anak muda Melayu tidak bermaksud beliau bersikap perkauman.
“Saya menegur kerana menganggap anak muda Melayu sebagai keluarga besar saya sebagaimana kaum-kaum lain.
“Jika ada orang yang mahu saya berjuang dan ambil tahu tentang bangsa Cina sahaja, itulah orang yang sebenarnya rasis,” tegasnya.
© Utusan Melayu (M) Bhd