Oleh :
Mohd Fauzi Hj. Fadzil
Exco Majlis Belia Malaysia / Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyatakan kekesalan terhadap kegagalan Persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk bertindak menyelesaikan konflik di Semenanjung Gaza. Laporan terkini menyatakan bahawa tidak kurang 7,000 rakyat Palestin telah terkorban, jumlah tersebut akan terus meningkat akibat kegagalan UNSC menghentikan perbuatan terkutuk Zionis membedil orang awam Palestin. Pada masa sama bekalan elektrik dan internet telah dipotong serta bantuan makanan telah dihalang untuk disalurkan kepada rakyat Palestin, perbuatan ini sengaja dilakukan oleh rejim Zionis apabila masyarakat dunia mulai sedar dan menyatakan sokongan dan simpati terhadap kesengsaraan rakyat Palestin.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa Malaysia tidak peduli dengan keputusan UNSC yang gagal mencapai kata putus berhubung perang Israel-Palestin, malah Malaysia akan terus kekal dengan pendirian supaya kekejaman di Palestin mesti dihentikan selain bantuan kemanusiaan disalurkan segera. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyahut pendirian Perdana Menteri untuk menyatakan solidariti terhadap perjuangan dan kesengsaraan rakyat Palestin melalui penganjuran Minggu Solidariti Palestin yang bermula pada 29 Oktober hingga 3 November 2023 (satu minggu).
Namun terdapat insiden terpencil di mana sebuah sekolah telah menganjurkan program solidariti untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin diluar waktu dan garispanduan yang ditetapkan oleh KPM. Sekolah berkenaan membenarkan pelajarnya bersolidariti dengan melibatkan replika senjata mainan. Perbuatan tersebut telah mengundang tindakbalas negatif daripada sesetengah pihak yang menggesa KPM mengkaji semula kesesuaian program sedemikian di sekolah.
MBM mengambil pendirian untuk menyokong solidariti terhadap perjuangan dan kesengsaraan rakyat Palestin seperti yang dianjurkan oleh Perdana Menteri, malah polemik penganjuran Minggu Solidariti Palestin oleh KPM di sekolah harus dihentikan serta-merta. Perbuatan pihak pentadbiran sekolah yang menganjurkan program solidariti yang tidak mengikut waktu dan garispanduan yang ditetapkan oleh KPM tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Siddiq.
Perbuatan sesetengah pihak yang menyemarakkan polemik Minggu Solidariti Palestin telah mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu sebenar iaitu solidariti terhadap kesengsaraan dan perjuangan rakyat Palestin. Niat murni KPM semenjak awal lagi adalah untuk mengetengahkan isu dan nilai kemanusiaan sejagat.
KPM juga mengambil tanggungjawab mewujudkan garispanduan program Minggu Solidariti Palestin secara terperinci menerusi pekeliling bertarikh 21 Oktober 2023 (tidak dibenarkan membakar atau memijak bendera, tidak dibenarkan membawa logo militan atau keganasan di sekolah).
Seharusnya rakyat Malaysia menyokong usaha KPM yang mahu mewujudkan advokasi melalui program Minggu Solidariti Palestin supaya maklumat yang diterima pelajar tidak diselitkan dengan usur militan atau subversif di luar pagar sekolah. Kita harus meyakini bahawa KPM sama sekali tidak bermaksud mengheret pelajar ke arah konflik keganasan, tetapi mahu memberi kesedaran kepada pelajar sekolah.
Bertarikh : 31 Oktober 2023