JEMPOL 19 Julai 2013 – Golongan belia perlu bangkit membuktikan bahawa mereka bukan golongan yang lemah dengan tidak menjadikan kehadiran Ramadan sebagai alasan untuk duduk di rumah tanpa melakukan kerja-kerja sukarela.
Menurut Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Wan Salwati Abdullah, alasan bahawa kehadiran Ramadan memerlukan belia mengehadkan aktiviti adalah tidak tepat.
“Belia merupakan golongan muda yang pastinya mempunyai tenaga yang kuat. Kehadiran Ramadan tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menjalankan aktiviti malah mereka boleh mengadakan pelbagai aktiviti dengan cara berbeza.
“Walaupun belia sering dikaitkan dengan aktiviti sukan tetapi ramai yang terlupa persatuan belia juga banyak melibatkan diri dalam program kebajikan. Kehadiran Ramadan boleh dijadikan bonus untuk mereka mempelbagaikan aktiviti kemasyarakatan menerusi idea baharu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau yang juga Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan berkata, MBM telah menganjurkan kembara Indahnya Ramadan iaitu konvoi menjelajah beberapa daerah di negeri ini.
“Konvoi yang melibatkan lebih 50 belia itu telah melawat seorang belia yang sakit di Seremban pada malam semalam. Konvoi ini diteruskan ke daerah Jempol pagi semalam dengan pengisian bersahur bersama penduduk Kampung Bukit Kelulut.
“Pada majlis itu, kita telah sampaikan sumbangan barang keperluan harian kepada 15 belia atau anak-anak belia yang susah. Konvoi ini berakhir di Jelebu pada malam semalam dengan acara berbuka puasa,” katanya.
Beliau memberitahu, program tersebut pastinya dapat merapatkan hubungan antara belia dan golongan susah.
“Kita bawa belia sama-sama jelajah kerana kita mahu mereka mendapat pengalaman yang baharu. Ia juga membuktikan bahawa golongan belia bukan golongan yang sukar mendekati masyarakat,” jelasnya.