ARTIKEL
MUHAMAD HANAPI JAMALUDIN
FELO PENYELIDIK MAJLIS BELIA MALAYSIA/
TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG, FEDERASI KEBANGSAAN PEKERJA BELIA
ISU HARGA GETAH DAN SAWIT
APA KHABAR PEKEBUN KECIL?
Secara keseluruhan, 3.2 juta rakyat Malaysia merangkumi pekebun kecil, keluarga dan anak mereka serta masyarakat luar bandar bergantung kepada JUALAN minyak sawit untuk kelangsungan hidup. Manakala, sebanyak 440,000 keluarga pekebun kecil seperti yang direkodkan daripada sumber Kementerian Industri Utama bergantung kepada industri getah sebagai punca pendapatan utama. Angka ini bukanlah kecil. kejatuhan merudum harga kedua-dua komoditi ini telah memberikan kesan yang menjejaskan kehidupan sebahagian besar golongan ini.
SUARA MARHAEN DATANG DAN PERGI
Idea gerakan masyarakat sivik dan demokratik berkisar atas semangat kolektif untuk membasmi keciciran ekonomi, kesamarataan hak dalam negara, pendemokrasian pendidikan dan tentu sekali untuk mengangkat suara golongan marhaen yang ketinggalan. Petani dan pekebun kecil antara golongan yang sering terpelanting jauh daripada deruan arus deras pembangunan negara. Sedangkan, mereka juga pembayar cukai yang seharusnya mendapat pembelaan dan dorongan daripada pelbagai insentif daripada pihak kerajaan walaupun skalanya kecil tidak seperti insentif dan galakan pelaburan yang diterima oleh golongan yang bermewahan di atas. Justeru itu, mewakili kumpulan belia yang dianggarkan seramai 20% terlibat dalam sektor ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa pihak kerajaan untuk menangani isu ini dan menumpukan lebih perhatian terhadapnya dalam waktu-waktu sukar ini. Bukankah kepada mereka juga ditaburkan janji-janji “kehidupan yang lebih baik, poket lebih tebal” apabila mereka mengundi Kerajaan Pakatan Harapan sebagai kerajaan dalam pru baru-baru ini?
Memandangkan komoditi getah termasuk harga komoditi yang dapat dikawal oleh kerajaan. Kementerian Pertanian sebagai pemegang taruh tertinggi sektor pertanian negara menjadi pengawal (regulator) dan mencadangkan mekanisme jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani isu harga getah ini. Harga sawit 1 tan menurun lagi sekitar RM300 dan getah 1 kilogram sekitar RM1.80 yang merupakan penurunan harga terendah dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
Sebanyak 20% daripada 40% pekebun kecil dalam negara ini merupakan belia. Mereka adalah kumpulan yang sedia menyahut hasrat kerajaan “pertanian adalah perniagaan” yang menggalakkan orang muda untuk bekerja di sektor yang lazimnya tidak mendapat tempat dikalangan mereka. Kejatuhan harga sawit dan getah bukan hanya meresahkan rakyat Malaysia sahaja, bahkan warga belia dalam industri pekebun kecil telah menerima tempias penurunan taraf kehidupan belia di luar bandar akibat kuasa beli yang rendah, pendapatan merosot. Di pihak MBM, kami berharap kerajaan mengambil berat dan melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini.
PERUBAHAN PERDAGANGAN SAWIT DAN GETAH GLOBAL
Berdasarkan jawapan daripada YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama pada 6 Ogos 2018, harga minyak sawit tempatan merosot disebabkan lebihan bekalan komoditi itu di seluruh negara. Selain faktor lebihan bekalan, katanya, Malaysia juga berdepan tindakan Kesatuan Eropah (EU) memboikot minyak sawit tempatan dan perlu bersaing dengan Indonesia yang memasarkan komoditi itu pada harga lebih rendah.
Walau bagaimanapun, MBM beranggapan, tindakan kerajaan mengenakan cukai lima peratus terhadap eksport minyak kelapa sawit turut menjadi faktor penyumbang dalam penurunan eksport komoditi tersebut kepada negara. MBM mencadangkan agar pihak kerajaan memansuhkan dahulu cukai berkenaan bagi menstabilkan harga pasaran. Susulan lanjut seterusnya diharapkan agar bantahan di meja rundingan dengan negara Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara pengimport minyak sawit Malaysia seperti China hendaklah segera diadakan bagi mencari kesepakatan atas keputusan perdagangan yang diambil.
Manakala, kejatuhan harga getah perlu diselesaikan mengambil kira beberapa pendekatan. Antaranya menggalakkan kerjasama kerajaan dengan institusi pengajian tinggi dan sektor swasta untuk berusaha mempertingkatkan penggunaan getah bagi memastikan permintaan getah terus berada di tahap yang tinggi.
Sebagai contoh usaha terpuji yang pernah diambil ialah apabila Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menggunakan getah beku bagi teknologi penurapan jalan raya melalui kaedah Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA). Perluasan penggunaan getah ke industri baru seperti ini boleh mempertingkatkan permintaan getah beku dalam negara, sekaligus meningkatkan kestabilan harga getah di pasaran.
Seterusnya, Kerajaan juga perlu mengkaji semula paras harga getah bagi membolehkan penoreh getah menerima Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berikutan kejatuhan harga getah. Namun, memandangkan musim tengkujuh yang berlaku pada setiap hujung tahun di negara ini tetap memberikan kesan kepada penoreh untuk keluar ke kebun. Justeru, inisatif Bantuan Tunai kembali diwujudkan sebagai cadangan alternatif yang diharap dapat dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Ditambah lagi dengan musim-musim persediaan untuk naik ke penggal baru persekolahan di negara ini. tentu ramai ibu bapa yang terkesan.
REALISASI SEMANGAT DEMOKRATIK MALAYSIA BAHARU
Pembelaan terhadap golongan pekebun kecil ini merupakan suara klasik para pejuang demokrasi dahulu yang berlanjutan ke hari ini. Para pejuang rakyat tertinggal ini sering mengapi-apikan supaya kebijakan diambil bagi mengembalikan hak golongan ini ke tempatnya yang wajar. Mereka menerima faedah daripadanya. Dukungan golongan kelas pekerja dan rakyat kecil memenuhi tulang belakang mereka. Berbekalkan semangat ke arah Malaysia yang lebih baik, semoga nasib golongan ini akan benar-benar terbela, bukan terpopular hanya pada musim-musim pilihan raya.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau selaku Felo Penyelidik MBM/Timbalan Setiausaha Agung, Federasi Kebangsaan Pekerja Belia. Pandangan beliau tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi MBM.
Tarikh : 28 November 2018
Telefon : 013 281 8981
E-mel : hanapidarwis@gmail.com