ARTIKEL
AZUWAN BIN MARJAN
NAIB PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA
TIMBALAN PRESIDEN MAJLIS BELIA NEGERI SABAH
BELANJAWAN 2019
DARI SUDUT PANDANG BELIA SABAH
Majlis Belia Sabah (MBS) secara dasarnya menyambut baik Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan YB. Lim Guan Eng baru-baru ini. Bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” golongan belia khususnya dari Malaysia Timur mengharapkan sesuatu yang lebih eksklusif dihidangkan kepada mereka tetapi tidak banyak pembaharuan besar yang diberikan oleh kerajaan.
Walaubagaimanapun, Belanjawan 2019 yang dibentangkan kali ini dilihat kurang perinciannya khususnya dalam hal-hal yang melibatkan Malaysia Timur (Sabah /Sarawak). Tidak dinafikan belanjawan kali ini mempunyai ciri ciri inklusif berkebajikan dan perbelanjaan yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi kecara keseluruhannya.
Bila dilihat pada pengumuman pengagihan peruntukan pembangunan luar bandar yang diberikan kepada Sabah (RM 5.009 Billion) dan Sarawak (RM 4.346 Billion) ia boleh didefinasikan sebagai kurang memuaskan jika hendak dibandingkan dengan keluasan serta jumlah pembangunan yang harus dilakukan di Wilayah Malaysia Timur ini. Tidak dinafikan beberapa inisiaif yang diumumkan oleh Menteri Kewangan turut menyebut negeri-negeri ini. Namun, ia seharusnya perlu lebih spesifik bagi memastikan Negeri Malaysia Timur ini tidak lagi ketinggalan jauh dari segi pembangunan infrastruktur dan perkara-perkara lain.
Bagi kerajaan yang mengamalkan sikap keterbukaannya, Belanjawan kali ini seharusnya lebih transparent dan diperincikan bagi memastikan Rakyat di Malaysia Timur ini tahu pengaliran peruntukan serta manfaat yang diperolehi hasil sokongan yang ditunjukkan kepada kerajaan baharu pada Pilihanraya Umum Ke-14 baru-baru ini.
Jika dilihat analisis pembentangan belanjawan 2019 baru-baru ini, Malaysia Timur bakal menerima suntikan sebanyak RM 150 Juta bagi membantu penyelarasan harga barangan asas. Walaubagaimanapun, sebagai Negeri yang merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan negara, kerajaan perlulah memastikan modusoperandi yang bakal digunakan mampu membantu penyelarasan harga barangan asas secara total.
Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak pula, saya berpendapat projek mega sebegini sememangnya sangat-sangat diperlukan di sini. Kerajaan melalui konsesi yang dilantik perlu memastikan projek ini berjaya dan tidak terlalu mempolitikkan tentang kewujudan serta pelaksanaannya. Menjadi tanggungjawab utama kerajaan memastikan infrastruktur sebegini diteruskan tanpa terlalu banyak menyalahkan kerajaan terdahulu.
Bagi menyuarakan harapan dan aspirasi anak-anak muda di Malaysia Timur, beberapa perkara dilihat perlu ditambah atau penelitian pihak kerajaan bagi memastikan Belanjawan 2019 ini turut sama dapat dinikmati sepenuhnya oleh mereka. Aspek-akpek tersebut dapat dihuraikan sebagai;
- Menambah Peluang Pekerjaan
Penghijrahan Belia-Belia Sabah/Sarawak ke Semenanjung Malaysia adalah sesuatu yang baik dari sudut integrasi nasional. Walaubagaimanapun, jika dilihat dari sudut yang lain penghijrahan ini sebenarnya disebabkan peluang-peluang pekerjaan yang sangat kurang di Malaysia Timur.
Kajian semula atau pembantalan terus projek-projek mega di Malaysia Timur boleh menyebabkan peluang-peluang pekerjaan baru hilang. Walaubagaimana pun, MBS mengharapkan kerajaan baharu pimpinan YAB. Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri bekerjasama mewujudkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan baru melalui usahasama atau menarik lebih banyak pelabur dalam membantu merancakkan lagi pergerakan ekonomi negara khasnya.
- Program Pembangunan belia di peringkat akar umbi
Jika di lihat pada pembentangan belanjawan 2019, hanya 3 perkara utama diumumkan. Kerajaan perlu menyenaraikan Belanjawan bagi mengurus tadbir program-program pembangunan belia yang lebih khusus. Kegagalan menyediakan peruntukan bagi tujuan khusus ini akan menyebabkan belia-belia di peringkat umbi terutamanya di Malaysia Timur akan semakin ketinggalan dan terabai. Selain daripada itu, pemerkasaan belia juga akan terencat sekiranya tiada bajet khas diperuntukkan dalam membantu anak-anak muda di sini.
- Jurang Pendapatan dan Kuasa Beli Rakyat
Perbezaan Harga barangan asas yang ketara di antara Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia, Peluang Pekerjaan yang kurang dan Gaji Minumum antara isu yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan.
Perkara-perkara utama ini perlu dititik beratkan oleh kerajaan selain membantu mencari solusi agar jurang pendapatan serta kuasa beli rakyat dapat ditingkatkan.
Berkaitan Gaji minimum yang diumumkan berkuatkuasa tahun hadapan, MBS merasakan ianya perlu diperhalusi lagi kerana jumlah tersebut masih rendah jika dilihat kos sara hidup yang semakin tinggi.
- Rumah Pertama
Menjadi kerisauan anak muda yang baru menamatkan pelajaran, baru bekerja dan baru berumah tangga untuk memiliki rumah sendiri. Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu bagi memastikan golongan ini mampu memiliki rumah pertama sendiri. Walaubagaimanapun, inisiatif ini hanya terpakai di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, MBS mengharapkan sebarang program atau perancangan yang di buat oleh Kerajaan yang baharu ini perlulah mempertimbangkan juga Sabah dan Sarawak.
Kita mahu sama-sama merasakan perancangan serta program yang dirancang oleh Kerajaan dan tidak hanya menumpukanya di Semenanjung Malaysia semata-mata.
- PTPTN
Dalam pembentangan belanjawan 2019, Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng mengumumkan peminjam PTPTN berpendapatan lebih RM1,000 akan dipotong gaji di antara dua hingga 15 peratus.
MBS berpendapat, tindakan ini akan menyebabkan peminjam (rata-rata lepasan IPT/IPTS) terbeban. Perlu ada satu makanisme perlaksanaan pemotongan tersebut yang lebih mesra belia. Contohnya, pemotongan hanya akan dikenakan/ dimulakan kepada peminjam yang sudah bekerja 5 tahun ke atas atau bekerja dengan pendapatan RM 5,000.00 ke atas. Cara sebegini dirasakan lebih sesuai agar belia-belia yang baru ingin memulakan kehidupan atau kerjaya mampu merancang dengan baik kewangan mereka.
Seperkara lagi, amat malang kepada mereka yang telah menamatkan pelajaran namun belum berjaya memperolehi kerjaya tetapi terpaksa membayar pinjaman pelajaran. Paling menyedihkan, peminjam dan penjamin akan disenarai hitamkan walhal kerajaan harus melihat situasi ini dan mempertimbangkan satu kaedah yang lebih efisyen agar peminkam-peminjam dapat membayar balik pinjaman dengan lebih teratur.
Tarikh : 7 November 2018
Telefon : 016-8952047
E-mel : azuwanmarjan@gmail.com