SUDAH amat kerap kita mendengar mengenai belia yang disifatkan sebagai aset negara.
Setiap tahun berlangsungnya sambutan Hari Belia, peri pentingnya peranan golongan berkenaan dalam mengerakkan hala tuju dan masa depan negara terus diberi penekanan oleh pemimpin.
Hakikatnya, negara bergantung harap kepada kira-kira 12.9 juta belia yang merupakan kumpulan demografi terbesar rakyat negara ini dalam memikul tanggungjawab untuk menjayakan agenda nasional dan wawasan negara.
Belia yang sering dilabelkan sebagai golongan yang mempunyai semangat yang tinggi serta keterujaan dalam melakukan sesuatu, adalah penentu kepada kejayaan kesemua program dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusannya sempena Hari Belia Negara 2011 semalam, mahu golongan itu menyalurkan semangat dan azam yang membara dalam diri mereka itu ke arah perkara bermanfaat yang dapat membangunkan diri dan mengambil peluang daripada sosioekonomi yang kian bertambah.
Sudah tentunya, Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Model Baru Ekonomi (MBE) bersama dengan Rancangan Malaysia Ke-10 yang menjadi asas lonjakan negara bagi pusingan terakhir ke arah wawasan 2020 memerlukan sumbangan serta pro-aktif belia untuk mencapai matlamatnya.
Bagaimanapun, persoalannya, adakah ramai di kalangan mereka sedar akan tanggungjawab besar itu sehingga mereka dinilai sebagai harta kepada negara?
Sedangkan, pada masa sama, golongan inilah juga yang sering terlibat dengan kegiatan-kegiatan negatif dan tidak bermoral yang menjadi penyumbang kepada banyak masalah sosial kepada negara.
Perkara inilah yang menjadi kebimbangan semua. Masih ramai lagi dalam kalangan mereka yang menganggur, terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan perlakuan tidak bermoral yang lain.
Justeru di sinilah pentingnya peranan persatuan-persatuan belia di negara ini, untuk menarik perhatian mereka supaya berpersatuan.
Tidak kira sama ada ia membabitkan sukan, kesenian, rekreasi, kepenggunaan atau apa saja yang bermanfaat untuk kepentingan umum. Belia perlu dipesongkan daripada terjerumus dalam kegiatan yang membawa kepada kemusnahan diri dan negara.
Dan mereka juga perlu disedarkan mengenai pentingnya memiliki ilmu dan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu ke arah merealisasikan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Sesungguhnya, pembabitan belia dalam membangunkan negara bukan satu ajakan kosong.
Ini kerana kejayaan negara banyak bergantung atas tindakan mereka. Sekiranya mereka tidak memainkan peranannya, sudah pasti setiap apa jua program atau dasar yang dibuat sebaik mana sekalipun, akan gagal.