MAJLIS BELIA MALAYSIA

Agenda Suara Anak Muda Malaysia

Cadangan: Majlis Belia Malaysia

28. Seiring usaha mencapai objektif dan fokus tersebut, penglibatan anak muda amat diperlukan. Untuk itu, saya pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini.

29. Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara.

Sedutan ~ Amanat Sulung Perdana Menteri ke-9, 22 Ogos 2021.

MUKADDIMAH:

Menyambut jaminan dan tawaran YAB Perdana Menteri ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) tampil secara proaktif menyahutnya dengan menawarkan diri menjadi jambatan antara pihak Kerajaan dengan pelbagai kelompok anak muda di luar sana.

Kerajaan perlu menjadi pendengar yang empati manakala anak muda perlu mengambil peluang keemasan dengan untuk sama-sama memainkan peranan menjadi pemulih kesejahteraan ekonomi rakyat sekaligus menjadi pemacu kemajuaan negara.

Suara merupakan perkara asas hak dan permintaan anak muda yang sudah tentu datang dengan tanggungjawab yang besar. Anak muda atau belia akan menjadi peserta yang aktif dan warga yang efektif apabila mereka mempunyai suara majoriti dalam pembuatan keputusan. MBM pernah mencadangkan agar jaminan bersuara belia diabadikan sebagai salah satu hak utama belia namun haruslah berlandaskan undang-undang dan norma masyarakat.

YAB Perdana Menteri telah pun menebarkan jala harapan dan tiba masanya MBM dan seluruh kelompok anak muda untuk merealisasikan dalam bentuk cadangan dan tindakan yang konkrit bagi mensejahterakan ekonomi, pemerkasaan suara dan perwakilan anak muda dalam platform pembuatan dasar dan polisi dan memacu kemajuan masa depan negara.

Justeru itu sukacita MBM mencadangkan:

1.) Menjayakan idea penubuhan Penasihat Anak Muda Perdana Menteri (PM2PM) yang telah diinstitusikan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MBM;

2.) Sebuah kumpulan pemikir belia perlu diwujudkan di setiap kementerian bagi membolehkan kerjasama dibina antara golongan dewasa dalam kepimpinan negara dan golongan belia dapat dibentuk, melihat hasil yang telah dibuktikan di dalam KBS maka tidak mustahil hasil yang sama dapat dihasilkan di seluruh kementerian lain;

3.) Melantik senator belia mewakili kepentingan golongan belia dan gerakan belia di samping menimbang cadangan bagi menurunkan umur untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara daripada 30 tahun ke 25 tahun;

4.) Meneruskan usaha pemerkasaan institusi Parlimen termasuklah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hal Ehwal Belia, Sukan dan Kanak-kanak;

5.) Mewujudkan Kumpulan Merentas Parti di Parlimen (APPG) berkenaan Hal Ehwal Belia;

6.) Menyemak semula kelayakan menjadi Ahli Parlimen di samping meletakkan tempoh perkhidmatan menjadi Ahli Parlimen;

7.) Menjadikan MBM sebagai medium mengumpulkan suara anak muda Malaysia dengan penganjuran Dialog Nasional Suara Anak Muda Malaysia di seluruh Malaysia;

8.) Mengiktiraf gerakan belia sebagai warisan tidak ketara negara sebagaimana menghargai sumbangan besar negara dalam membina negara bangsa;

9.) Mengadakan sidang khas tergempar Parlimen Belia membincangkan usaha Belia membantu Kerajaan menangani Covid dan pemulihan ekonomi;

10.) Mengkaji semula sistem pendidikan Malaysia. Segera menubuhkan unit ‘special task force’ untuk membincangkan ‘radical simplications’, kaedah pengajaran-pembelajaran praktikal atau hibrid serta tidak tergendala dan memudahkan penimbaan ilmu bagi pelajar-pelajar dari semua lapisan masyarakat.

11). Kementerian Pendidikan mesti dengan secepat mungkin membentangkan pelan mengatasi jurang yang timbul dalam sistem pendidikan semasa pandemik. Pelan ini mesti merangkumi isu-isu dan faktor berlakunya jurang, cara mengatasi, garis masa pelaksanaan pelan. Status pelaksanaan pelan ini perlu dibentangkan kepada masyarakat umum kerana para pelajar di seluruh Malaysia telah terjejas secara negatif;

12.) Program pendidikan seks dan program pendidikan kesihatan mental perlu diterapkan secara menyeluruh dalam sistem pendidikan negara ini. Kejadian gangguan seksual berlaku di pelbagai tempat termasuk sekolah dan para pelajar pada masa ini juga dibelenggu oleh masalah kesihatan mental. Para guru di sekolah dan guru kaunselor mesti menjalani latihan berkaitan yang komprehensif untuk menolong para pelajar di sekolah;

13.) Kos sara hidup semakin tinggi, tetapi gaji permulaan tidak mampu menampung kos ini. Golongan Belia perlu membayar kos tinggi apabila bekerja di bandar untuk tempat sewa dan kenderaan. Tingkatkan gaji minimum. Sediakan kawasan perumahan mampu milik – salah satu cara adalah dengan menukar bangunan terbiar di bandar kepada kawasan perumahan mampu milik untuk golongan Belia, miskin dan orang yang tiada tempat tinggal. Sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan yang mempunyai “last mile connectivity” yang bagus boleh mengurangkan kos petrol dan kenderaan;

14.) Pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh bagi pelajar sekolah boleh dijalankan secara tahunan. Pada masa ini, hanya pemeriksaan gigi dijalankan oleh doktor gigi di sekolah dan pemeriksaan mata dijalankan oleh guru sendiri;

15.) Pihak sekolah perlu mengenal pasti para pelajar yang meemrlukan bantuan dari segi internet, gajet seperti komputer atau komputer riba dan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan pihak penaja untuk membekalkan para pelajar dengan fasiliti yang diperlukan;

16.) Bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan NGO seperti Imagined Malaysia untuk menambah baik kualiti silibus mata pelajaran Sejarah yang merangkumi aspek Sejarah yang lebih holistik, luas dan menggalakkan para pelajar berfikir secara kritis. Pendidikan politik (Political education) juga perlu diterapkan;

17.) Melaksanakan Undi 18 segera;

18.) Menggubal segera Akta Anti Lompat Parti;

19.) Mempertimbang mewujudkan kembali bantuan pentadbiran persatuan belia sebagaimana bantuan semasa YAB PM menjadi YB Menteri Belia dahulu;

20.) Sijil-sijil kegiatan orang muda dan belia dalam semua program yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, sudah masanya diberikan merit dalam tujuan perjawatan baik peringkat sektor awam mahu pun swasta. Sebuah Lembaga Akreditasi Persijilan dan Pengiktirafan boleh diwujudkan dengan penzahiran Institut Pembangunan Belia Negara di atas jua;

21.) Penasihat Muda kepada YBM di Kementerian-Kementerian, Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri, dan Penasihat Muda kepada TYT Duta-Duta Malaysia di semua Kedutaan Malaysia di Luar Negara;

22.) Menjadi agenda Jom Masuk Belia dan Rakan Muda sebagai agenda penting negara bagi memupuk semangat kesukarelawan, pendidikan sivik dan patriotisme;

23.) Perjawatan hakiki di wujudkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dengan ambilan pertama dalam skala khusus Pegawai Tadbir Diplomatik yang digazet sebagai Pegawai Kerja Orang Muda dan kumpulan ini dijadikan aset kepada Bahagian-Bahagian strategik dalam Jabatan dan Agensi untuk penugasan sebagai liaison officicer kepada program Tier 2 dan Tier 3;

24.) Menjalankan kajian kesejahteraan politik belia Malaysia;

25.) Melibaturuskan wakil pimpinan belia dalam Majlis Tindakan Pembangunan Daerah;

26.) Memberikan kefahaman kepada pegawai tadbir dan diplomatik tentang kepentingan gerakan belia dan ngo sewaktu kursus diploma pentadbiran awam.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »