MAJLIS BELIA MALAYSIA

10 resolusi masa depan

PUTRAJAYA 25 Mei 2012: Konvensyen Belia Negara 1Malaysia menghasilkan 10 resolusi membabitkan kepentingan dan masa depan belia, termasuk aspek memperkasakan keupayaan dan penyertaan di setiap peringkat khususnya dalam jawatankuasa pihak berkuasa tempatan serta jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung.

Wakil Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan, Hamizan Zainal Abidin berkata, melalui konvensyen itu belia juga mahu kerajaan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada mereka, sesuai dengan sumbangan dicurahkan dalam menyokong usaha pembangunan negara.

Menurutnya, resolusi itu juga menyarankan kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan supaya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendekati mahasiswa kerana mereka bakal pemimpin masa depan.

“Belia (pula) dikehendaki memperkuatkan jati diri dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, sekali gus tidak terpedaya dengan budaya merosakkan imej negara, malah mereka juga perlu mengamalkan sikap berprestasi tinggi dalam kepimpinan, selain mempunyai sifat kesederhanaan, toleransi dan integrasi selaras dengan konsep 1Malaysia.

“Mereka perlu berfikiran kreatif dan inovatif serta membentuk idealisme radikal, tetapi rasional untuk memimpin negara pada masa depan.

“Malah, belia perlu mengamalkan demokrasi dalam kepimpinan serta adil dan bijaksana untuk membuat keputusan serta penilaian terhadap sesuatu isu. Pemimpin pertubuhan belia juga harus turun ke akar umbi menggalakkan belia berpersatuan,” katanya ketika membaca resolusi berkenaan pada majlis penutup konvensyen itu di sini, semalam.

Resolusi itu kemudian diserahkan Hamizan dan Exco Kanan Majlis Belia India Malaysia, S Balaganesh kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim. Konvensyen bertemakan Menyalakan Obor Karisma Pemimpin Muda itu adalah platform bagi belia menyuarakan pendapat dan idea bernas untuk diambil perhatian oleh kerajaan.

Hamizan berkata, resolusi itu juga mengkehendaki belia mempersiapkan diri dan minda menghadapi arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan melalui pembabitan dan jaringan antarabangsa, malah mempunyai sifat sukarelawan yang tinggi dalam membantu masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan warna kulit.

“Pertubuhan belia harus mempunyai sifat non partisan untuk memperkasakan lagi perjuangan belia supaya lebih relevan,” katanya.

Sementara itu, Razali menganggap resolusi yang dihasilkan itu adalah baik kerana ia memerlukan tindakan semua pihak termasuk kementerian, belia dan persatuan.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »