MAJLIS BELIA MALAYSIA

Program Santuni Pertubuhan Belia Sejati Madani X Belia Peringkat Negeri Sarawak 2026 Perkukuh Pembangunan Belia

KUCHING 18 April – Program Santuni Pertubuhan Belia SejaTi MADANI x Belia Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 berjaya dilaksanakan dengan penyertaan aktif pertubuhan belia dari seluruh negeri Sarawak, sekali gus menjadi platform penting dalam memperkasa pembangunan belia dan komuniti setempat.

Program ini dianjurkan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Sarawak dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Sarawak serta Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sarawak.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Farhan Rosli turut hadir bagi menyantuni serta memperkukuh jaringan bersama kepimpinan pertubuhan belia di negeri ini.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi Bimol yang menekankan kepentingan penyertaan pertubuhan belia dalam program santuni sebagai syarat utama bagi permohonan Geran SejaTi MADANI x Belia.

Menurut beliau, masih terdapat pemimpin dan pertubuhan belia yang belum menyedari bahawa kehadiran ke program santuni ini merupakan keperluan wajib sebelum permohonan geran dapat dipertimbangkan.

“Geran sehingga RM100,000 ini merupakan perluasan kepada program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dan membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan serta ekonomi belia di seluruh negara,” jelas beliau.

Turut hadir ialah Pendaftar Pertubuhan Belia, Encik Hasnata Hasan serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Encik Lamat anak Nyalau.

SejaTi MADANI merupakan inisiatif baharu kerajaan yang memberi fokus kepada pengukuhan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti, sekali gus meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Program ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada pertubuhan belia untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan komuniti serta memanfaatkan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »