KANGAR 18 April – Jelajah ‘Menggerak Belia’ sempena Hari Belia Negara (HBN) 2026 terus memperkukuh momentum apabila singgah di checkpoint kedua bertempat di Denai Larian, Kangar, Perlis, dalam usaha memastikan sambutan ini benar-benar dirasai oleh golongan sasar iaitu anak muda, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Program ini berjaya menghimpunkan penyertaan aktif belia serta komuniti setempat yang bersama-sama memeriahkan suasana melalui pelbagai aktiviti interaktif dan berenergi seperti senamrobik, brisk walk serta cabaran 60 saat. Penglibatan ini jelas mencerminkan semangat kesukanan, gaya hidup sihat dan keterlibatan sosial yang semakin kukuh dalam kalangan generasi muda.
Selain mempromosikan amalan hidup aktif, jelajah ini turut menjadi platform penting dalam memupuk nilai kebersamaan, mempererat hubungan komuniti serta menyemai semangat kenegaraan dalam kalangan belia selaras dengan aspirasi Hari Belia Negara.
Jelajah ‘Menggerak Belia’ akan meneruskan perjalanan ke checkpoint seterusnya di Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah sebagai kesinambungan usaha mendekati lebih ramai belia di seluruh negara.








