GEORGE TOWN 19 April – Bahang Hari Belia Negara (HBN) 2026 semakin terasa apabila Jelajah ‘Menggerak Belia’ singgah di checkpoint keempat di Padang Kota Lama, Pulau Pinang dengan pelbagai aktiviti santai dan interaktif yang berjaya menarik penyertaan anak muda serta komuniti setempat.
Suasana di lokasi bertukar meriah dengan pengisian seperti mini golf, perlawanan persahabatan biliard serta tayangan skrin besar perlawanan akhir Penang FC menentang Sabah FC yang menyuntik semangat kebersamaan dan kesukanan dalam kalangan belia.
Program ini turut menyaksikan penyerahan rasmi gimik kotak HBN 2026 oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi anak Bimol kepada Sdr. Vincent Tan Chor Lim, Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang sebagai simbolik kesinambungan semangat dan gerakan belia menuju sambutan kemuncak HBN 2026.
Turut hadir memeriahkan program ialah Sdri. Eng Chor Eng, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), serta barisan Exco MBM iaitu Sdr. Amirul Abdul Safar dan Sdri. Nuriffah Ismail yang bersama-sama menyantuni dan menggerakkan aspirasi belia di peringkat akar umbi.
Dengan sokongan padu pelbagai pihak, Jelajah ‘Menggerak Belia’ terus menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan komuniti, mencungkil potensi serta menyemarakkan semangat patriotisme anak muda.
Ayuh anak muda Malaysia!
Inilah masanya untuk anda menjadi sebahagian daripada gelombang perubahan. Sertai siri Jelajah ‘Menggerak Belia’ dan nantikan kemuncak sambutan Hari Belia Negara 2026 yang lebih gah, lebih bertenaga dan penuh inspirasi.
Selepas Pulau Pinang, jelajah ini akan meneruskan perjalanan ke Negeri Perak. Jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama mencipta pengalaman, membina jaringan dan mengangkat suara belia!










