Terletak 40 kilometer dari bandar Gua Musang dan kereta api menjadi pengangkutan utama penduduk, Kampung Limau Kasturi merupakan kawasan yang masih terjejas teruk akibat bencana banjir akhir Disember lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di kampung berkenaan hari ini mendapati kemusnahan teruk akibat bah dapat dilihat dengan jelas apabila deretan rumah penduduk ranap dan keadaan sekeliling yang masih berdebu.

 Bencana banjir di luar jangkaan itu bukan sahaja menenggelamkan 90 peratus kawasan kampung malah turut menjejaskan landasan dan aset Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengakibatkan perkhidmatan pengangkutan itu tidak dapat beroperasi untuk satu tempoh yang lama.

Berikutan itu, tinjauan mendapati sebuah kereta api empat gerabak yang tersadai di Stesen Kereta Api Limau Kasturi menjadi saksi kepada kejadian itu apabila kini hanya sebagai tempat kanak-kanak bermain.

Seorang penduduk, Rohani Seman, 55, berkata, kereta api yang dalam perjalanan ke Kota Bharu itu terperangkap di stesen berkenaan kerana landasannya dinaiki air dan berlaku tanah runtuh kira-kira dua kilometer dari stesen berkenaan.

“Bencana banjir hujung tahun lalu merupakan kejadian terburuk kerana kebanyakan penduduk kampung menggunakan kereta api sebagai pengangkutan untuk ke bandar Gua Musang.

 “Kini, kereta api berkenaan hanya menjadi tempat kanak-kanak bermain dan ada juga orang luar mengabadikan kenangan mereka dengan bergambar di dalam gerabak yang berlumpur itu,” katanya yang tinggal lebih 40 tahun di kampung berkenaan.

Sementara itu, seorang warga emas, Zainab Ahmad, 80, yang lumpuh tidak dapat menahan kesedihan apabila mengingati bencana itu yang turut digelar sebagai bah kuning.

Katanya, ini berikutan kampung tersebut tidak pernah mengalami kemusnahan yang begitu teruk se­perti mana dibawa bah kuning.

“Suatu ketika dahulu kampung ini pernah popular apabila menjadi tempat penggambaran drama berkenaan kisah seorang guru itu namun kini segalanya berubah apabila kampung ini seperti dilanda tsunami yang mengakibatkan kemusnahan teruk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Normawani Yusoh, 26, berkata, apa yang diinginkan penduduk ketika ini adalah sebuah kediaman yang selesa kerana mereka tidak berkemampuan untuk membaik pulih rumah.

“Selain tinggal di dalam khemah yang disediakan, terdapat juga penduduk yang mengambil risiko duduk di rumah yang tidak kukuh dan menunggu masa untuk roboh,” katanya.