MAJLIS BELIA MALAYSIA

NGO Lipis anjur gunting rambut percuma kepada pelajar

KUALA LIPIS 1 Jan. – Sebanyak 75 pelajar sekolah menerima perkhidmatan gunting rambut secara percuma sempena Program Jom Kembali ke Sekolah yang diadakan di Kampung Kuala Medang Hulu Jelai di sini hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) Lipis, Pemuda UMNO cawangan Kuala Medang, Gerakan Belia 4B (GB4B) dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Medang.

Perasmian program itu disempurnakan Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Daniar Ismail dan turut dihadiri Ketua Kampung Kuala Medang, Ismail Mat Sam.

Menggunakan dua tukang gunting rambut, kebanyakan pelajar sekolah yang menyertainya dari Kampung Kuala Medang, Kampung Kuala Serau dan Perkampungan Orang Asli Pos Pantos.

Menurut Ahmad Daniar, program berkenaan disifatkan tepat pada masanya sebagai persiapan pelajar sebelum sesi persekolahan esok.

“Program ini mampu membentuk sikap dan disiplin pelajar di samping mengetahui peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerja sukarela dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita.

Ahmad Daniar berkata, komitmen NGO menerusi program berkenaan antara alternatif mengurangkan beban ibu bapa.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerjasama NGO terhadap kerja amal amat dialu-alukan dalam memajukan masyarakat setempat selari dengan aspirasi transformasi bidang sosial.

“Program ini sekali gus menzahirkan usaha NGO melaksanakan kewajipan sosial untuk membantu pelajar dari keluarga miskin dan sederhana menikmati kemudahan menggunting rambut secara percuma,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »