MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM HANTAR BELIA MALAYSIA KE YOUTH ASSEMBLY AT THE UNITED NATIONS

KENYATAAN MEDIA

SDR. MUA’AMAR GHADAFI JAMAL JAMALUDIN

PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM HANTAR BELIA MALAYSIA KE YOUTH ASSEMBLY AT THE UNITED NATIONS

Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia akan menghantar lima orang belia Malaysia bagi menghadiri Perhimpunan Belia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 hingga 15 Februari 2015 di New York, Amerika Syarikat.

Delegasi belia Malaysia ini merupakan pemenang-pemenang Your Action Project Competition (YAPC) anjuran MBM pada tahun lalu. Peserta berkenaan adalah seperti berikut :

  • Keshvan Raj Chandra (Projek We Treat System)
  • Samsol Bahari Hamdan (Projek Poly Agropreneur NFT)
  • Zakwan Buang (Projek ASEAN Internship)

Delegasi ini turut disertai oleh Sdr. Hasnul Haniff Harun, Ahli Jawatankuasa Kerja MBM selaku Ketua Delegasi dan Sdri. Suraya Abd Warif dari Politeknik Nilai sebagai Pegawai Pengiring.

Untuk makluman, YAPC merupakan salah satu action plan yang telah dibentangkan oleh delegasi MBM di Perhimpunan yang sama pada tahun 2013 ke arah mencapai misi pengantarabangsaan belia Malaysia. MBM melihat projek-projek yang dipertandingkan dalam YAPC boleh dikembangkan dan dikongsi bersama masyarakat global untuk pembangunan mapan.

Matlamat utama penyertaan MBM dalam Perhimpunan kali ini adalah untuk mengangkat hasil inovasi belia Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui medium Social Venture Challenge. MBM yakin penyertaan belia dalam Perhimpunan ini dapat menghakupayakan peranan belia Malaysia ke peringkat global menerusi garapan dan pelaksanaan idea yang kreatif. Ini secara tidak langsung memberi galakan dan suntikan semangat kepada golongan belia Malaysia sebagai agen perubahan yang signifikan dalam masyarakat.

Secara tidak langsung, penyertaan aktif belia di persada antarabangsa mampu mengangkat profil Malaysia di mata dunia selain memperlihatkan sokongan dan komitmen belia terhadap pemilihan Malaysia sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-2016 dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun 2015.

Selain menghadiri Perhimpunan Belia di PBB, delegasi juga akan menyertai Social Venture Challenge dan mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Malaysia di Amerika Syarikat dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB. Beberapa siri dialog bersama belia Malaysia di sana juga akan turut diadakan.

Sekian, terima kasih.

MUA’AMAR GHADAFI JAMAL JAMALUDIN

Presiden

Majlis Belia Malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »