Walaupun Malaysiakini cende­rung menyokong pembangkang, namun ia bukanlah tiket bagi membenarkan segala komen berunsurkan kebencian terhadap kerajaan dipaparkan di portal terbabit.

Zambri Mohd ISa, Presiden GPMS

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, Malaysiakini perlu bersikap lebih sensitif terhadap komen yang berbaur kebencian bagi mengelakkan daripada timbul rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

“Malaysiakini perlu memadam komen yang dirasakan tidak relevan terutama komen berbaur kebencian dan provokasi bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti salah faham dan fitnah yang dibimbangi akan menjadi isu lebih besar.

“Selain itu, masyarakat juga tidak harus terlalu emosional sehingga budaya Timur yang menekankan nilai positif seperti saling menghormati dan kepentingan tatasusila tidak lagi diendahkan.

“Setiap komen berbaur negatif patut dipadam dan tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja kerana akan tercetusnya konflik dan kesannya pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang sikap Malaysiakini yang dilihat lepas tangan dengan membiarkan pembacanya memberi komen berunsur kesat dan biadab terhadap mang­sa nahas helikopter di Subayau, Sarawak, Khamis lalu.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula berkata, Malaysiakini perlu menjadi sebuah media yang bersifat lebih adil dan telus dalam menyampaikan maklumat kepada pembacanya.

“Sepatutnya Malaysiakini mema­dam segala komen yang dianggap biadab terutamanya komen yang mendoakan keburukan seseorang. Walaupun media diberi kebebasan, namun bukanlah bermaksud bebas untuk menyebarkan dan mendidik masyarakat mengenai kebencian. Media perlu menerapkan nilai-nilai murni kepada masyarakat Malaysia amnya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau me­nye­ru kepada masyarakat agar lebih berhati-hati sewaktu meng­utarakan pendapat dengan mengambil kira sensitiviti ke­luarga dan kenalan mangsa nahas yang masih bersedih berikutan tragedi helikopter terbabit.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’mar Ghadafi Jamal Jamaluddin berkata, Malaysiakini sepatutnya tidak mempromosikan perkara berbaur negatif, sebaliknya sebagai sebuah media, mereka perlu bersikap lebih matang dan profesional.

“Seharusnya Malaysiakini tidak membiarkan komen negatif begitu sahaja. Prinsip Kesopanan dan Ke­su­silaan dalam Rukun Negara harus diterapkan dalam masyarakat Malaysia hari ini,” katanya.