MAJLIS BELIA MALAYSIA

Desak PM letak jawatan tidak rasional

SHAH ALAM – Majlis Belia Malaysia membidas desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan yang disuarakan oleh satu kumpulan kecil mahasiswa yang kononnya bersolidariti dengan suara majoriti rakyat negara ini.

Presidennya, Mua’amar Gaddafi Jamal Jamaluddin berkata, tindakan pihak berkenaan adalah bercanggah dengan perlembagaan negara dan tidak seiring dengan amalan yang sudah diterima pakai hari ini.

Beliau berkata, berbeza pandangan atau tidak bersetuju dengan sesuatu dasar ataupun kaedah pentadbiran sesebuah institusi adalah suatu yang lumrah, namun tindakan memaksa agar pandangan dan tuntutan mereka diterima hanya akan mengundang kecelaruan sistem pada masa akan datang.

“Oleh itu, sistem dan peraturan sesuatu institusi perlu berjalan dengan sediakala dan sebarang usaha pembaikan mesti melalui kaedah-kaedah yang sewajarnya.

“Desakan tidak berasas bersandarkan kepada bukti tidak relevan sama sekali tidak boleh diterima akal dan sepatutnya pihak berkaitan meneliti secara terperinci terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

Mua’amar berkata demikian ketika mengulas kenyataan di satu portal berita yang melaporkan sekumpulan anak muda yang mendesak Perdana Menteri meletakkan segala jawatan yang dipegang untuk memberikan laluan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap tuduhan yang dilemparkan melalui media luar negara.

Beliau menegaskan MBM mempercayai dan meyakini bahawa sesebuah negara akan teguh dengan tertegaknya institusi dan pentadbirannya.

“Sesebuah institusi pula terbina dengan peraturan dan ketertibannya agar tidak mudah berubah hanya kerana satu-satu isu ataupun perkara-perkara yang baru muncul.

“Sebegitu juga dengan institusi Perdana Menteri yang mempunyai ketertiban dan perjalanannya yang tersendiri,” katanya.

Mua’amar menyeru rakyat supaya berpegang kepada prinsip sesuatu khabar perlu disahkan terlebih dahulu dan memerlukan kita berhati-hati dalam semua perkara agar tidak menjadi prasangka buruk.

“Malah perkara yang telah pun sah perlu juga dibuat penelitian mendalam oleh mereka yang benar-benar arif bagi menentukan kesahihannya.

“Jika prinsip ini dijadikan amalan dalam masyarakat seluruhnya, ia akan menjamin kerukunan masyarakat daripada prasangka dan prejudis,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/desak-pm-letak-jawatan-tidak-rasional-1.505831

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »