MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia bukan askar upahan

oleh MOHD HAFIZ ISMAIL FOTO AFIQ RAZALI

GOLONGAN belia merupakan bakal pemimpin negara masa hadapan, justeru mereka perlu dibentuk untuk menjadi golongan berfikiran matang untuk menapis segala maklumat yang diterima.

Pada zaman teknologi di hujung jari, ada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan menyebarkan maklumat palsu dan idealisme bagi mempengaruhi pemikiran golongan belia.

Golongan belia ini akhirnya dilabelkan sebagai askar upahan untuk turun ke jalanan bagi menunjukkan protes demi kepentingan politik.

Bagi mengulas mengenai isu tersebut, wartawan Sinar Harian, Mohd Hafiz Ismail dan jurufoto, Afiq Razali menemu ramah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), MUAMMAR GHADAFI JAMAL JAMALUDDIN bagi mendapatkan pandangan beliau.

Golongan belia didakwa sering menjadi golongan yang dipergunakan pihak tertentu untuk kepentingan politik semata-semata sehingga ada dalam kalangan mereka tidak tahu apa tujuan atau matlamat sebenar. Situasi ini telah mewujudkan persepsi bahawa mereka ini askar upahan bagi kepentingan pihak tertentu, boleh ulas mengenai perkara itu.

Belia sekarang ini ramai yang sudah cukup matang berfikir, tapis maklumat (dalam konteks politik) tanpa mengira parti. Kita boleh nilai berita-berita itu tepat atau tidak. Tidak ramai golongan muda yang menggelar diri mereka dipergunakan secara sedar atau tidak. Namun kita akui sehingga sekarang ada ramai pihak ambil kesempatan dengan cara memberikan upah, menggunakan pengaruh persatuan ataupun mempengaruhi cara pemikiran dengan idealisme.

Secara peribadi, belia ini perlu didekati dan didengari suara mereka. Sebab itu apa yang  dilaksanakan oleh MBM, jika ada idea-idea atau cadangan dari orang muda, kita adakah Majlis Perundingan Belia. Ia cukup penting kerana kita bawa suara anak muda dari sudut dasar sehingga boleh tertubuhnya polisi serta dasar kerajaan hasil daripada suara anak muda ini.

Berkenaan dengan penyalahgunaan tenaga anak muda yang dibawa ke jalanan untuk menunjukkan kekuatan dan protes, saya rasa walaupun mungkin ada sesetengah pihak kata ia adalah cara berkesan, tetapi cara ini tidak sesuai dengan apa yang ada dalam negara kita.

Malaysia telah merdeka lebih dari 50 tahun, kita ada cara tersendiri, hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan kita aman dengan cara kita sendiri.

Kalau anak muda kita cepat terpengaruh dengan dakyah-dakyah mana-mana pihak yang menghasut atas nama kebenaran dan sebenarnya membawa perpecahan. Jadi platform sesuai untuk anak muda adalah mengundi. Jangan buat cara tidak sihat kerana kesannya lebih buruk untuk negara.

Pesanan saya kepada anak muda, jangan terlalu terikut- ikut. Kedua, kepada pihak-pihak tertentu jangan pentingkan diri sehingga menggadai generasi akan datang. Kalau kita ajar anak muda kita kurang ajar maka nanti bayangkan kita ada pemimpin kurang ajar. Apa pula akan diajar kepada anak-anak muda akan datang. Saya minta pemimpin jangan ajar anak muda jadi kurang ajar.

Pengertian belia di zaman sekarang ini mungkin berbeza dari sebelumnya kerana kecanggihan teknologi masa kini. Jadi bagaimana cara pihak MBM memenangi hati golongan belia digital ini?

Kalau kita cakap mengenai Festival Hari Belia Negara itu sendiri promosi kita melalui atas talian, media sosial dan media elektronik. Kalau dulu orang panggil arus media perdana itu televisyen tetapi hari ini, arus media perdana sebenarnya adalah media sosial. Program-program kita buat juga melibatkan media sosial seperti pertandingan video pendek Inspirasi  Belia bersesuaian dengan tema Hari Belia Negara iaitu The Future Is Now.

Pendekatan media sosial itu memang tidak boleh ditolak ke tepi. Selain itu pada 15 Mei ini kita adakan Konvensyen Belia Kebangsaan berkaitan dengan inovasi sosial dan ia adalah sambungan daripada tahun lepas.

Tahun ini kita panggil speaker yang boleh diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Hun Many iaitu anak kepada Perdana Menteri Kemboja. Beliau sekarang Presiden Asean Youth Council (AYC) dan kita panggil juga Kishva Ambigapathy (Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC). Kedua- dua individu hebat ini akan bercakap mengenai inovasi sosial.

Media arus perdana seperti televisyen dan radio telah berubah kepada media sosial. Pelbagai maklumat wujud di media sosial, ada yang sahih dan tidak. Bagaimana MBM memainkan peranan untuk beri pencerahan kepada golongan belia kini?

Salah satu program berterusan yang dilaksanakan oleh pihak kami adalah Program Literasi Media. Kita mendekati golongan muda dengan cara fizikal dan atas talian. Kita buka pendaftaran secara atas talian dan kita akan mendekati golongan ini secara fizikal seperti adakan taklimat, beri pendedahan betapa penting integriti sebagai penggiat media sosial.

Kalau kita lihat sekarang ini semua anak muda dikira penggiat media sosial di mana mereka ada Facebook, Instagram, Twitter dan blog.

Sebenarnya usaha mengubah pemikiran anak muda hari ini, ia tidak boleh terletak pada satu pihak semata-mata. Sebab itu saya suka menyarankan setiap rakyat di negara ini lebih beretika dalam menyampaikan sebarang berita kepada orang ramai. Periksa dan pastikan faktanya itu betul baru kita viralkan. Begitu juga dengan komen-komen kita terhadap sebarang isu, pastikan kita bertanggungjawab dan beretika dalam memberi pandangan.

Berkenaan dengan isu kemasukan maklumat tidak bertapis mempengaruhi pemikiran golongan belia, adakah anda bersetuju ia boleh menjadi bom jangka masa?

Media sosial ini bukan sahaja mempengaruhi pemikiran belia, malah orang yang lebih daripada paras umur belia juga terkesan. Saya rasakan bukan belia yang menjadi bom jangka tetapi rakyat Malaysia boleh menjadi bom jangka masa jika perkara ini tidak dapat dikekang.

Kekangan ini bukan dengan mewujudkan akta atau undang-undang semata-mata tetapi kesedaran masyarakat itu dalam berfikir. Jangan kita jadi malas untuk berfikir dan anak muda negara ini perlu rajin berfikir supaya dapat tahu maklumat sebenar. Kita tidak boleh terlalu pasif dengan benar-benar mempercayai dan menyebarkan maklumat tanpa pengesahan sahih. Jangan terlalu ghairah untuk menyampaikan berita. Bagaimana jika berita itu mengenai fitnah seseorang dan kita tanpa selidik menyebarkan maklumat itu. Apa akan jadi?

Wajarkan pihak Kementerian Pendidikan memperkenalkan subjek berkaitan pengurusan maklumat di media sosial?

Saya bersetuju dengan cadangan itu, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. Saya ingat kalau bukan menjadi satu mata pelajaran atau subjek, mungkin boleh dimasukkan sebagai salah satu bab dalam mata pelajaran tertentu.

Boleh ulas sedikit kelainan yang dibawa pada Hari Belia Negara tahun ini?

Kelainan tahun ini adalah seperti memberi fokus kepada jelajah kampus dan kita akan menjelajah ke kampus-kampus tertentu yang akan bermula di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan akan ke universiti terpilih seluruh negara. Kita akan fokuskan kepada program-program yang hampir sama seperti program kerohanian, aktiviti sukan, aktiviti sukan lasak, konvensyen dan beberapa program lain. Fokus kita adalah kepada anak-anak muda yang berada di kampus-kampus.

Pada 10 Mei, kita adakan Konvokesyen 1Belia 1Kemahiran yang kita kumpulkan kira-kira 500 graduan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Selain memberi fokus kepada mahasiswa kita juga beri fokus kepada pelatih-pelatih bidang kemahiran. Kita mahu ubah mentaliti anak muda bahawa bidang kemahiran ini adalah jalan terakhir sekiranya tidak berjaya melanjutkan pendidikan ke peringkat universiti. Kita mahu bidang kemahiran ini sebagai salah satu bidang utama.

Dalam usaha Malaysia menuju kepada negara maju berpendapatan tinggi bidang kemahiran juga penting bagi membangunkan negara. Kami berasakan kita wajar ajak seluruh rakyat Malaysia ubah pandangan mereka terhadap bidang kemahiran. Jangan kita meletakkan mereka ini alam kelompok belakang sebaliknya letak mereka ini sebaris dengan bidang-bidang lain.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »