MAJLIS BELIA MALAYSIA

3,796 pertubuhan belia tidak aktif

Putrajaya 4 Feb 2013: Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) memberi notis atau membatalkan pendaftaran 3,796 atau 80 peratus daripada 4,305 pertubuhan belia tunggal di seluruh negara, kerana tidak aktif dan gagal menghantar laporan mesyuarat tahunan kepada agensi berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya memandang serius perkara itu serta menyifatkan jumlah pertubuhan belia tunggal yang tidak bergiat aktif di seluruh negara besar. Menurutnya, antara faktor pertubuhan berkenaan tidak aktif ialah kelemahan dari aspek pentadbiran, pemimpin kurang berwibawa, tidak berwawasan, tiada perancangan, masalah pembahagian tugas dan kewangan, tidak mendapat kerjasama dari agensi berkaitan, gagal mendapat sokongan masyarakat serta tiada semangat kesukarelawan.
“Sebelum ini, mungkin ramai ingat apabila berdaftar sebagai pertubuhan belia, kerajaan memberikan peruntukan tertentu walaupun ahlinya tidak aktif dan gagal menghantar laporan mesyuarat agung tahunan kepada ROY. “Namun, sebenarnya setiap persatuan belia berdaftar perlu mempunyai barisan kepemimpinan, objektif dan perancangan jelas serta menghantar laporan mesyuarat agung tahunan bagi membolehkan mereka mendapat geran tahunan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan geran bantuan RM10.1 juta kepada wakil pertubuhan belia, di sini, semalam. Berikutan itu, Ahmad Shabery berkata, ROY perlu berbincang bersama wakil pertubuhan belia kebangsaan seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Gerakan Belia 4B bagi mencari penyelesaian mengenai pertubuhan yang tidak aktif di negara ini. “Pertubuhan belia tunggal ini tidak bersama MAYC, Gerakan Belia 4B atau pertubuhan belia yang dikenali di negara ini. Jika persatuan tunggal ini ditubuhkan di bawah pertubuhan berkenaan, masalah seperti ini mungkin dapat diatasi,” katanya. Ahmad Shabery berkata, pemberian bantuan pentadbiran RM10.1 juta antara yang terbesar disalurkan kerajaan kepada pertubuhan belia kebangsaan, negeri dan daerah.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »