MAJLIS BELIA MALAYSIA

Ulasan Buku: Mencari Tuhan Di Dasar Laut

Oleh :

Hasnur Faridah Abbas

Kota Marudu, Sabah

Sedari dulu saya memang meminati karya sajak dan puisi. Sudah bermacam tema yang saya temui – kasih sayang, patriotik, keluarga, alam. Tetapi belum pernah bertemu dengan tema dasar lautan. Ketika pertama kali melihat buku Mencari Tuhan di Dasar Laut ini, saya begitu teruja apatah lagi setelah mengetahui penulis berasal dari negeri kelahiran saya sendiri, Sabah. Saya menekuni tiap baris ayat dan puisi demi puisi; setiap selakan helaian menyihir saya. Saya hanya mampu menggeleng kepala terpesona setiap kali selesai membaca satu-persatu puisi Rita Robert.

Rita menulis tentang realiti kehidupan di dasar lautan dan di atas laut. Realiti itu banyak yang menyakitkan kerana berkait dengan kemanusiaan manusia yang berakal. Tetapi enggan terlalu berbunyi kasar, Rita mengubahnya menjadi sindiran maha halus yang sesekali berirama sama dan kadangkala terpamer marah dan sedihnya. Sebagai insan yang berperasaan, kita harus bijak menterjemah setiap kejadian yang disaksikan mahupun yang kita tempuhi sendiri kepada suatu pengajaran penuh hikmah dan itulah yang cuba dilakukan oleh Rita didalam buku ini. Tidaklah alam ini diciptakan melainkan untuk kita memerhatikan tanda-tanda kebesaran Pencipta dan menginsafi kekerdilan diri kita sebagai makhluk yang lemah.

Adapun hidup ini penuh dengan cabaran, hendaklah kita meninggikan kesabaran dan tawakal, tidak memaksa kehendak hanyut tanpa panduan. Ayuh belajar daripada Hikayat Penyu (II) yang dinukilkan Rita (halaman 15) :

dengan kayuh dua kaki belakang

ia menggali padat pepasir sekuat kudrat

berkeringat, ia lelah namun tabah

lalu lembut telur-telur bermukusnya

ke sarang, dijatuhkan satu per satu

dipercayakannya pada angin, bulan

sinar matahari juga redup daun-daun

biar nantinya dieram Rahim kota pepasir

untung nasib ketentuan diputuskan alam

Penyu biasanya bertelur didalam pasir dan menimbusnya sebelum kembali ke laut. Ia sama sekali tidak akan datang lagi untuk menjenguk. Segala tugas pengeraman telur diserahkan bulat-bulat kepada pepasir. Ibu penyu mempercayai alam adalah penjaga terbaik. Jika berjaya menetas, anak-anak penyu akan menuju laut meski tidak akan pernah mengenali siapa ibu mereka. Entah dimana silapnya, rakus manusia datang mengorek timbusan pasir, mencuri amanah ibu penyu daripada pepasir, memperdagangkan pada harga tidak manusiawi! Mengapa manusia tidak mahu belajar daripada tawakal ibu penyu, tetapi lebih rela menghapus jejak pelajaran itu dengan mencuri telur-telur penyu? Jika penyu boleh berbicara, pasti mereka akan berbisik sesama sendiri tentang manusia yang penuh dengan keanehan. Bahkan disaat manusia sanggup menahan sengguk mata menjadi penonton ketika tibanya musim penyu melepaskan telur. Mereka juga akan bertanyakan kepada manusia mengapa hanya hak-hak manusia sahaja yang diagungkan dan dibesar-besarkan.

Dimanakah hak mereka sebagai makhluk Tuhan untuk dilindungi dan dihormati meski fizikal dan kedudukan akal saling berbeza?

Rita juga menukilkan akan kebiadaban manusia terhadap laut apabila sesuka hati membuang sampah dikeranakan akal fikiran yang cetek bahawa sampah akan ditelan laut.

sejak berzaman, derita kita hadiahkan pada lautan berlagu ombak

sampah, kita humban ke dalamnya dimana saja tercapai benak

Rasa hormat manusia pada laut hilang seperti debu yang ditiup meski telah sekian lama laut membiarkan isi perutnya dikaut buat mengisi pula perut manusia.

Mencari Tuhan di Dasar Laut saya anggap mewakili suara lautan dan isinya walaupun masih tidak sepenuhya kerana rahsia laut masih terlalu dalam untuk dikorek. Tetapi sekurang-kurangnya melalui pena Rita, kita harus mula mempersoalkan apa relevennya eksistensi kita kepada lautan. Lautan sudah memberi terlalu banyak disaat kita hanya mampu membalas dengan memberinya buangan kekotoran yang kita anggap tidak berguna. Begitu pula apabila penemuan sains tentang lautan telah lama terkuak di dalam Al-Quran sejak 15 abad yang lalu. Firman Allah yang membenarkan fungsi serta manfaat lautan sebagai salah satu punca rezeki kepada manusia dinyatakan dalam Surah An-Nahl ayat 14 : “Dan Dialah yang menundukkan lautan (untukmu), agar kamu dapat memakan daging yang segar (ikan) darinya, dan (dari lautan itu) kamu mengeluarkan perhiasan yang kamu pakai. Kamu (juga) melihat kapal belayar padanya, dan agar kamu mencari sebahagian kurniaan-Nya, dan agar kamu bersyukur.” Atau dapat juga dilihat dalam Surah Faatir ayat 12 : “…dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan padanya kamu dapat melihat kapal-kapal belayar membelah laut supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan supaya kamu bersyukur.”

Lihatlah bagaimana bahan iktibar kepada manusia itu diletakkan jelas dihadapan. Tidaklah manusia dapat mensyukuri nikmat lautan itu melainkan dengan kerahan seluruh kekuatan akal fikiran. Jika ada yang bertanya seruan apa yang dapat didengar melalui nukilan puisi-puisi Rita Robert ini, ia adalah seruan untuk rendah diri dan hati dengan mencintai lautan sebagai sebuah anugerah terbesar Tuhan kepada makhluk di bumi serta tidak melakukan aniya terhadap lautan sebagai tanda manusia berakal. Usah melihat laut pada sebatas pandangan mata sahaja, ia bahkan lebih daripada itu ; laut adalah panggilan untuk mencari Tuhan.

Saat aku lupa mengingati betapa besarnya kuasa Tuhan,

Ku luruhkan pandangan pada setiap sisi dan tepian lautan,

Dan ku cuba membacakan puisiku,

Kelu lidah dan hilang bicaraku

Laut sudah punya puisinya sendiri

Tidak mampu ku tiru setiap narasi

Merdunya terbias di permukaan Maknanya terhimpun di dasar paling dalam.

Bertarikh : 8 Jun 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »